PETALING JAYA: Seramai 903 penagih remaja berusia 13 tahun hingga 18 tahun dikesan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dalam tempoh dua tahun bermula 2019 hingga September lalu daripada jumlah keseluruhan 57,465 orang yang ditahan.
Selain 903 remaja itu, seramai 41,895 penagih lagi berusia 19 hingga 39 tahun manakala baki 14,667 adalah mereka berusia 40 tahun ke atas.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) AADK, Datuk Dr. Muhamad Sade Mohamad Amin berkata, kajian pihaknya mendapati antara faktor remaja terjebak dengan dadah adalah melalui gejala melepak dan ingin mencuba.
Malah, menurut beliau, ada antara mereka yang tidak menagih namun dijadikan penghantar dengan diberi upah sehingga RM50 bagi setiap penghantaran.
“Lebih malang, ada yang tidak tahu barang yang mereka kena hantar itu adalah dadah,” katanya.
Dalam pada itu, menurut Mohamad Sade, kesemua tangkapan terdiri daripada 54,783 lelaki dan 2,682 wanita.
Ujarnya, bagi tahun 2019 hingga 2020, pihaknya mendapati kebanyakan penagih yang ditahan mempunyai taraf pendidikan rendah iaitu daripada sekolah rendah hingga menengah (37,205 orang).
“Seramai 285 penagih didapati mempunyai Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) manakala 5,749 lagi tidak bersekolah.
“Bagaimanapun, kita juga membuat tangkapan terhadap 1,172 penagih yang tamat pelajaran di peringkat diploma dan 223 lagi untuk ijazah, sarjana serta doktor falsafah,’’ katanya.
Kata beliau, sejak Januari hingga September lalu pula, seramai 11,343 penagih telah ditahan AADK.
Menurut beliau, pihaknya mendapati daripada jumlah itu, seramai 14,911 yang ditahan itu adalah mereka yang kembali menagih dan selebihnya kes baharu.
Bagaimanapun, beliau berkata, hanya lima peratus daripada penagih yang menerima rawatan kembali menyalahgunakan dadah manakala kebanyakan mereka pulih sepenuhnya.
“Di AADK, kita menggunakan modul I-pulih yang mana pendekatan biopsikososial spiritual iaitu merawat dan memulihkan dari semua aspek dalam diri klien.
“Jika dahulu, kita lebih kepada ingin mendisiplinkan mereka jadi rawatan agak tegas namun kini kita memberi fokus bagaimana kita nak pulihkan mereka sepenuhnya dari segi emosi, fizikal, rohani serta sosial,’’ katanya. – UTUSAN ONLINE











