BARU-BARU ini, seorang sahabat bertanya apakah seorang perayu boleh memohon untuk mengemukakan bukti baharu (fresh evidence) di peringkat rayuan kesnya?
Saya tanya balik sahabat itu, kenapa dia minat sangat hendak tahu isu undang-undang yang berat ini? Dia rujuk saya kepada berita hari itu tentang bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memfailkan permohonan untuk memasukkan bukti baharu dalam rayuan kes penyelewengan dana SRC International Sdn. Bhd.
Bukti baharu yang dimaksudkan oleh Najib itu adalah keterangan daripada Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki; pegawai penyiasat SPRM, Rosli Hussein dan keterangan saksi lain.
Rosli ialah saksi pendakwaan ke-57 dalam perbicaraan kes itu, manakala Azam tidak pernah dipanggil memberi keterangan di mahkamah (sama ada sebagai saksi pendakwaan atau pembelaan).
Dalam afidavit sokongannya, Najib menyatakan bahawa beliau memfailkan permohonan itu selepas mendapati keterangan mengenai pembabitan beberapa individu tertentu tidak dimaklumkan atau didedahkan kepada pasukan pembelaannya sepanjang perbicaraan.
Najib juga menyatakan dia percaya keterangan dari individu tersebut “adalah perlu demi menjaga kepentingan keadilan.” Tambahnya lagi, sekiranya keterangan baharu itu “jika tidak disorok oleh pihak-pihak tertentu” ia boleh menyebabkan keputusan Mahkamah Tinggi berpihak kepadanya.
Pada 27 November lalu, media tempatan menyatakan Najib telah membuat laporan polis terhadap beberapa pihak tertentu yang didakwa sengaja menyembunyikan bukti material berkaitan transaksi wang 1MDB dan SRC International.
Najib mendakwa barisan peguamnya tidak mengetahui tentang transaksi pemulangan RM65 juta dana 1MDB yang diambil balik dari Singapura dan disimpan oleh syarikat milik individu tertentu.
Permohonan Najib untuk membenarkan bukti baharu dikemukakan dalam rayuan bagi mengetepikan sabitan dan hukuman kes penyelewengan dana RM42 juta SRC International yang dihadapinya, akan didengar hari ini, sehari sebelum Mahkamah Rayuan membuat keputusan.
TIGA SYARAT PENTING
Tiga syarat penting mesti wujud sebelum sebuah Mahkamah Rayuan membenarkan bukti baharu dikemukakan di peringkat rayuan, iaitu –
(i) bukti baharu itu tidak boleh diperoleh dengan kerajinan wajar (due diligence) untuk dikemukakan di peringkat bicara;
(ii) sekiranya dapat dikemukakan, bukti baharu itu berkemungkinan akan mempengaruhi keputusan kes itu; dan
(iii) bukti baharu itu boleh dipercayai.
Pendekatan mahkamah ini selaras dengan tiga prinsip penting yang digariskan dalam satu kes lama, Ladd lwn. Marshall [1954] 1 WLR 1489, iaitu “nonavailability, relevance, and reliability” – (tidak diketahui semasa perbicaraan, relevan atau berkaitan kes, dan boleh dipercayai).
Tiga prinsip dalam kes terbabit itu dipetik dan diikuti oleh mahkamah kita, misalnya oleh Hakim Suffian dalam kes Lau Foo Sun lwn. Kerajaan Malaysia [1970] 2 MLJ 70.
Tiga prinsip itu juga dipakai oleh Hakim Rayuan Singapura, Chao Hick Tin, dalam kes Soh Meiyun lwn. Public Prosecutor [2014] 3 SLR 299. Dalam kes itu, perayu telah disabitkan kesalahan jenayah mendera orang gajinya dan dikenakan hukuman penjara 16 bulan.
Di peringkat rayuan, perayu memohon mengemukakan bukti baharu, iaitu satu laporan psikiatri dari Institut Kesihatan Mental yang menunjukkan bahawa sewaktu kejadian berlaku, perayu mengalami penyakit mental (obsessive compulsive disorder).
Menolak permohonan itu, mahkamah memutuskan bahawa laporan itu boleh diperoleh sewaktu kes dibicarakan dulu sekiranya usaha diambil dengan kerajinan wajar. Oleh yang demikian, permohonan perayu gagal mematuhi syarat pertama, iaitu non-availability.
Dalam kes R. lwn. Palmer [1980] 1 SCR 759, Mahkamah Agung Kanada turut memakai ketiga-ketiga prinsip penting itu, sambil menambah bahawa bukti baharu itu mesti juga relevan.
MENGAWAL PENERIMAAN
Sarjana undang-undang berpendapat bahawa tiga syarat penting yang digariskan dalam kes Ladd lwn. Marshall itu mengawal penerimaan bukti baharu di mahkamah di peringkat rayuan, bagi memastikan bukti baharu itu dibenarkan hanya dalam kes-kes yang ekstrem.
Mengikut mereka, permohonan mengemukakan bukti baharu perlu dilakukan dengan berhati-hati dan bertanggungjawab, kerana andainya mahkamah mendapati ia adalah satu penyalahgunaan proses mahkamah, pemohon berdepan dengan risiko dikenakan hukuman yang lebih berat (Adducing Fresh Evidence on Appeal: Guidance from recent Court of Appeal Decisions, [2020] SAL Prac 8).
Ada juga pakar undang-undang kita yang menyatakan bahawa prinsip yang digariskan dalam kes Ladd lwn. Marshall dalam tahun 1950-an itu mesti dibaca dalam konteks kedudukan undang-undang negara masa kini, iaitu Kaedah 7(3A) dari Kaedah-Kaedah Mahkamah Rayuan 1994, dan Aturan 55 Kaedah 7 dari Kaedah Mahkamah 2012.
Kesimpulannya, tidak ada ragu-ragu lagi bahawa undang-undang negara masa ini memang memberi peluang kepada perayu memohon kepada Mahkamah Rayuan untuk mengemukakan bukti baharu dalam prosiding rayuan kesnya.
Terserahlah kepada kebijaksanaan dan budi bicara Mahkamah Rayuan memutuskannya sama ada bukti baharu itu wajar diterima atau sebaliknya, dan sekiranya diterima, apakah nilainya serta kesannya kepada sabitan oleh mahkamah bicara?
DATUK Salleh Buang pernah bertugas sebagai Peguam Persekutuan di Jabatan Peguam Negara dan Profesor Tamu di Universiti Teknologi Malaysia (UTM). Beliau kini konsultan bebas sepenuh masa, pengarang dan kolumnis akhbar.










