Ayam dan keselamatan makanan - Utusan Malaysia

Ayam dan keselamatan makanan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DISEBABKAN harga ayam basah melambung mendadak di pasaran runcit, kerajaan telah mengeluarkan permit import ayam beku dari China. Difahamkan tidak kurang daripada 300 kontena ayam beku dari China akan sampai ke negara ini, sekaligus menstabilkan harga.

Selepas menerima lebih daripada 300 kotena ayam beku itu, harga runcit ayam mungkin akan turun ke paras sebelum ini. Ketika ini harga ayam basah mencecah RM10 sekilogram. Mungkin akan turun RM2 atau RM3 apabila ayam beku import ini dilambakkan di pasaran.

Bagaimanapun mengimport bahan makanan disebabkan kekurangan bekalan tidak semudah menyelesaikan formula matematik. Ayam import dari China ini misalnya menimbulkan banyak persoalan lain antaranya status halalnya. Bagaimana proses untuk memastikan status halal itu?

Bayangkan lebih 300 kontena. Kita tidak tahu apakah langkah yang diambil dalam keadaan yang mendadak itu untuk memastikan status halal ayam berkenaan.

Pengeksport mungkin akan berjanji bulan dan bintang termasuk memastikan status halal. Tetapi tidak boleh dibiarkan begitu sahaja kerana difahamkan ini import kali pertama. Oleh kerana itu, walaupun dapat menstabilkan harga tetapi status halal masih menjadi persoalan utama.

Oleh hal yang demikian, mengimport ayam beku bukanlah langkah terbaik dalam jangka masa berulang atau panjang. Kenal pasti dahulu punca kenaikan harga ayam segar sama ada permainan kartel atau harga jualan permintaan lebih besar daripada bekalan.

Pendekatan yang sebaiknya untuk jangka masa panjang ialah menambah bekalan. Kerajaan mesti memikirkan kaedah mengurangkan kebergantungan pada bahan makanan yang diimport. Walaupun untuk kali ini berjaya menstabilkan harga ayam, tetapi itu bukan penyelesaian.

Untuk jangka masa pendek memanglah mengimport bahan makanan misalnya ayam beku ini pilihan terbaik. Tetapi akar masalah ini mesti dicari dan diatasi dengan iltizam yang tinggi. Bukannya terus mengambil jalan mudah, tetapi sebenarnya rumit.

Kalau lima atau enam tahun lalu kerajaan memulakan tindakan menambah bekalan ayam, hari ini masalah kenaikan harga disebabkan kekurangan bekalan tidak berlaku. Bayangkan kalau kerajaan ketika lima atau enam tahun lalu berfikiran sedemikian.

 

NEGARA memiliki sumber yang mampu menampung keperluan negara yang diusahakan oleh usahawan dalam sektor ternakan, pemprosesan dan pengedaran ayam.

 

Begitulah yang difikir rakyat dalam keadaan seperti ini. Bagaimanapun tidak semua pihak terutama yang berkaitan bekalan makanan berfikir daripada laras yang sama. Kebergantungan yang memulu pada bahan import memberi ancaman dari sudut keselamatan makanan.

Ayam hanya salah satu daripada ketergantungan kita pada import. Sebenarnya serba serbi kita diimport walaupun boleh diusahakan sendiri untuk mengukuhkan benteng keselamatan makanan. Misalnya negara kita mempunyai kawasan muka bumi yang luas tetapi sesuai untuk tanaman dan ternakan.

Sepatutnya siasat juga kebarangkalian ada penglibatan kartel. Kartel ini boleh menjadikan seolah-olah bekalan sesuatu bahan makanan tidak cukup di pasaran. Mereka ada strategi untuk memperlihat keadaan seperti benar-benar berlaku. Pihak berkuasa yang berkaitan perlulah perkukuhkan rantaian pengedaran untuk mengekang manipulasi kartel.

Bercakap pasal ayam tidak akan habis. Tentu ada baiknya kalau membelek dasar-dasar yang berkaitan keselamatan makanan. Semuanya ada, cuma tidak banyak yang ambil endah. Salah satunya Dasar Pertanian Negara Ketiga (DFN3).

Dasar itu digubal dengan matlamat meningkatkan keselamatan makanan, pengeluaran serta menambahkan daya saing sektor pertanian dengan sektor lain. Sebenarnya inilah masalah yang dihadapi selama ini terutama keselamatan makanan.

Bagaimanapun DFN3 macam terperap apabila semuanya hendak bergantung pada bahan makanan import. Hal ini menjadikan kebergantungan itu di tahap yang serius. Kalau banyak bergantung dengan bahan import, susahlah hendak bercakap tentang keselamatan makanan.

Matlamat DPN3 sememangnya cukup bagus. Tetapi realitinya sumbangan sektor pertanian kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menurun daripada 13.5 peratus pada tahun 1995 kepada 7.1 peratus tahun 2010. Itu statistik sepuluh tahun lalu, sekarang mungkin semakin kecil.

Hakikatnya pengeluaran bahan makanan kita tidak mencapai tahap sara diri yang sepatutnya. Malah makanan asasi seperti beras pun terpaksa diimport dalam jumlah yang besar. Menurut statistik Agro Makanan 2019, pengeluaran tempatan tidak mencapai tahap sara diri yang sepatutnya.

Pengeluaran beras hanya mampu menampung 63 peratus daripada keperluan dalam negara. Maknanya selebihnya terpaksa diimport dari beberapa negara. Begitu juga dengan sayuran yang hanya menampung 44.4 peratus daripada keperluan, buah-buahan pula mencapai tahap yang agak tinggi iaitu 78.2 peratus keperluan tempatan.

Statistik tahun 2019 mencatatkan import bahan makanan kita mencapai RM51.4 bilion. Hal ini menunjukkan negara gagal mengeluarkan bahan makanan mencapai sara diri yang diperlukan oleh keselamatan makanan.

Kalau lambat mengambil langkah-langkah perlu, jumah ini akan bertambah menjadi lebih besar.

Terlalu bergantung pada import adalah jerangkap samar yang bila-bila masa sahaja boleh berlaku sesuatu yang tidak diingini. Bayangkan kalau pengeksport beras misalnya memulaukan kita kerana hal-hal yang memggores peasaan pemimpin mereka.

Pada era di mana geopolitik yang tegang kendurnya tidak menentu ini, kita berada dalam keadaan yang sangat bahaya daripada sudut keselamatan makanan. Hal ini amat membimbangkan. Bukan setakat tidak boleh makan ayam, beras pun tidak cukup.

Keadaan yang melingkari kita sekarang adalah membimbangkan. Pengeksport mempunyai kuasa dan tidak semua keadaan ada duit semua jadi. Cash is king tidak selalu benar. Negara lain pun ada duit lebih banyak dan menawarkan sesuatu yang boleh menguntungkan pengeksport.

Bayangkan kalau hari ini lebih kurang 120 negera pengeksport bahan makanan asasi memulaukan import dari Malaysia. Apakah tindakan kecemasan kita waktu itu? Harap tidak berlaku seperti tikus mati dalam beras dan kita kebuluran di bumi yang subur untuk bercucuk tanam.

PENULIS adalah editor portal kuseman.com

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×