KALAU diikutkan impian parti-parti pembangkang Sarawak terutama DAP, Parti Sarawak Bersatu (PSB), PKR dan ikut sama Pas, masing-masing sudah tidak sabar lagi mahu membenam Gabungan Parti Sarawak (GPS).
Kalau burung kenyalang itu seperti garuda, mahu sahaja dikenderaankan parti-parti ini terutama dari Semenanjung. Sayangnya, burung-burung itu antaranya dari spesies enggang, enggang papan dan burung lilin bersaiz kecil. Bisa jatuh mereka.
Dalam kalangan orang Pas memang begitu mengharapkan setidak-tidaknya cukup satu kerusi di Bumi Kenyalang untuk ditembusi. Kawasan Dewan Undangan Negeri Beting Maro dalam Parlimen Batang Lupar, 301 kilometer (km) dari Kuching dan 122 dari Sibu yang memiliki lebih 11,187 pengundi satu-satunya sasaran melahirkan ‘anak sulung’ Pas 18 Disember ini.
Harapan menggunung Pas sejak bertapak di Sarawak 20 tahun lalu dan mula bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) 2001 jika direalisasikan, sekurang-kurangnya jadi pengubat duka yang dialami semasa PRN Melaka 20 November lalu.
Pada PRN Sarawak ke-11 pada 7 Mei 2016, Pas bertanding di 11 kawasan. Malangnya calon-calonnya hilang semua wang deposit kecuali di kawasan Pantai Damai, Samariang, Sebuyau dan Beting Maro.
Bekas rakan Pas dalam pakatan pembangkang iaitu Parti Amanah Negara (Amanah) dan PKR turut mendambakan mimpi serupa untuk menang kali ini. Dalam PRN11, sembilan calon Amanah masing-masing hilang wang deposit RM5,000 di 13 kerusi yang ditandingi.
PKR pula cuma menang tiga kerusi waktu itu. Secara keseluruhannya pada 2016, pembangkang hanya memenangi 10 kerusi yang ditandingi, dengan DAP menang tujuh daripadanya.

PULIH MARUAH
Biarpun PRN Sarawak sukar hendak dikaitkan dengan sentimen tindak tanduk parti-parti pembangkang di Semenanjung kerana rata-rata parti-parti terbabit memiliki `autonomi’ tersendiri, namun Bumi Kenyalang inilah gelanggangnya untuk misi memulihkan maruah Pas, PKR, DAP dan Amanah.
Di Melaka tempoh hari, DAP mencatat prestasi hambar hilang empat kerusi yang dimenangi dalam PRU14, PKR tewas di kesemua 11 kerusi ditandingi manakala Amanah cuma meraih satu kerusi dari sembilan kawasan dipertaruhkan.
Justeru dalam hal ini, ada pihak `menyarankan’ agar GPS diketuai pengerusinya, Tan Sri Abang Johari Tun Openg jangan sekali-kali pandang enteng cabaran pembangkang.
“Meskipun GPS dianggotai PBB, PRS, SUPP dan Parti Demokratik Progresif (PDP) optimis akan menang besar pada PRN kali ini, mereka jangan takabur,” kata seorang pemimpin kanan sebuah parti dari Semenanjung kepada akhbar ini.
Realitinya politik hari ini begitu dinamik. Barisan Nasional (BN) yang tidak diletakkan harapan menggunung di Melaka, tiba-tiba bikin kejutan menang besar. Apa lagi politik hari ini yang banyak onarnya. Ada `gunting dalam lipatan’ dan `abu jahalnya’, boleh melipat 360 darjah parti yang berkeyakinan menang.
Ini perkara biasa dalam politik berupa strategi peperangan Sun Tzu yang menawarkan formula penentangan terhadap musuh dengan cara berbaik-baik dengan musuh. Dan kemudian menghancurkannya.
Dalam taktik Sun Tzu, musuh perlu dilemahkan melalui gerakan risikan dengan melemahkan kekuatan parti yang disaingi menerusi tohmahan, propaganda, subversif serta mewujudkan ketidakstabilan.
Sesekali mengamati falsafah Sun Tzu, ahli falsafah China yang terkenal dalam bukunya Art of War, ada benarnya. Tzu mengutarakan satu pepatah atau prinsip untuk menang dalam peperangan:
“Kenalilah diri dan musuhmu, kau akan tidak diragukan lagi menang dalam 1,000 pertempuran.”
Sun Tzu menggariskan lima faktor prinsip yang digunakan untuk mempertimbangkan strategi perang – politik, cuaca, medan, kepemimpinan dan doktrin.
BERTEMBUNG
Jika diambil dari falsafah Sun Tzu, tidak dapat disangkal berdasarkan rekod dan pengalaman siri pilihan raya umum dan negeri yang lepas, pembangkang tidak berada dalam kelompok pemenang.
Sebutlah dan gariskanlah intipati manifesto atau janji yang indah-indah tetapi kalau tidak ada kesepakatan sesama sendiri sekalipun bergelar ‘pakatan’, hala tuju dan matlamat perjuangan tidak ke mana. Melaut.
Adakah GPS berkeyakinan tinggi gabungan itu memiliki prinsip Sun Tzu – konsensus atau kesepakatan dalam kalangan parti komponennya?
Kesepakatan penting. Antara penanda aras PRN12 Sarawak kali ini buat pembangkang adalah insiden 2016 yang menyaksikan lapan kerusi DUN melibatkan pertembungan DAP dan PKR – Mulu, Senadin, Murun, Ngemah, Simanggang, Bukit Semunja, Tebedu dan Mambong.
Sementara Pas dan Amanah bertembung di lima DUN, masing-masing di Beting Maro, Sebuyau, Sadong Jaya, Muara Tuang dan Semariang.
Inilah kecacatan kekal pembangkang.
Hakikatnya bukan senang untuk meniru, mencedok atau menjadi pendua kepada BN mahupun GPS.
Burung-burung kenyalang cantik, dengan antaranya memiliki paruh berwarna kuning, ekor putih serta kelepak yang hitam. Barangkali, tindak tanduk atau perangai yang tidak secantik burung kenyalang sahaja sukar untuk meraih undi penduduk Sarawak.
Di pihak GPS usah ada rasa ‘takabur’ kerana jalan yang perlu dilalui dalam 13 hari lagi bermula penamaan calon hari ini penuh ranjau dan onaknya.
Di sebelah pembangkang, biarpun underdog, segalanya mungkin dalam politik.










