Bila sebut tentang laksa, ada beberapa jenis laksa yang terkenal di Malaysia dan digemari oleh masyarakat kita. Setiap jenis hidangan tersebut mempunyai keunikan yang tersendiri.
Kebiasaannya, kuah laksa menggunakan ikan sebagai bahan utama, laksa beras dan spaghetti.
Namun apa yang istimewanya Laksa Sarawak ini adalah ia menggunakan isi ayam dan juga bihun.
Ingin cuba masak sendiri Laksa Sarawak di rumah? Ikut sahaja resipi dan cara penyediaannya yang dikongsi Esther Michael ini. Nang nyaman Laksa Sarawak ya!
LAKSA SARAWAK: (hidangan untuk enam orang makan
BAHAN KUAH:
500 gram (g) pes Laksa Sarawak (boleh dibuat sendiri atau beli pes di pasaran)
1 paket santan atau susu krimer sejat
3 liter air rebusan kulit udang dan ayam
Garam (mengikut cita rasa)
Serbuk perasa (mengikut cita rasa)

BAHAN HIASAN:
1 paket (425gm) bihun
500 gm udang yang dikupas kulit (untuk air rebusan kemudian stimkan sehingga masak
500 gm isi ayam (tanpa kulit) direbus untuk kuah laksa kemudian dicarik kecil
150 gm taugeh
6 biji telur ayam
6 biji limau kasturi
1 ikat daun ketumbar
Sambal belacan (ikut cita rasa)
BAHAN SAMBAL BELACAN:
3 sudu besar belacan mentah (lebih sesuai belacan Sarawak)
3 ulas bawang putih
3 biji bawang merah
Ikan bilis (ikut cita rasa)
Limau kasturi (ikut cita rasa)
Cili padi (ikut cita rasa)
CARA PENYEDIAAN:
A. Kuah Laksa Sarawak
1. Rebus pes Laksa Sarawak bersama air (hasil rebusan ayam dan juga udang) garam dan bahan perasa yang secukupnya.
2. Setelah mendidih, perlahankan api. Masak selama sejam. (pastikan tudung periuk tidak ditutup sepenuhnya bagi mengelakkan sebarang tumpahan akibat mendidih)
3. Tapis air rebusan yang dimasak bersama pes laksa.
4. Masukkan santan atau susu cair ke dalam air rebusan yang ditapis tadi mengikut cita rasa.
5. Tambahkan garam dan perasa ikut cita rasa.
B. Bahan untuk hiasan
1. Rebus bihun dan toskan.
2. Stim atau rebus udang, kemudian asingkan.
3. Rebus dada ayam hingga masak dan asingkan.
4. Goreng atau rebus telur ayam, kemudian asingkan.
5. Rebus taugeh dalam air yang sudah mendidih selama lima saat dan asingkan.
6. Potong daun ketumbar (tak perlu potong halus), kemudian diasingkan.
C. Sambal belacan
1. Goreng belacan mentah sehingga naik bau.
2. Ketuk atau kisar bersama ikan bilis, bawang merah, bawang putih dan cili padi sehingga hancur dan sebati.
3. Perah dan masukkan jus limau kasturi sehingga rasa dan kepekatan sesuai mengikut cita rasa masing-masing.
Nota
Gunakan santan asli untuk rasa lebih berlemak
Kulit udang boleh dibiar atau dikopek atau buang sesuai cita rasa
Sekiranya ingin kuah yang lebih pekat, kurangkan air rebusan semasa membuat kuah laksa.
Jika telur goreng, hiris mengikut saiz sesuai.










