IBLIS bersumpah kepada Allah SWT untuk menghasut dan menyesatkan manusia agar ingkar dan tidak bersyukur sehingga ke hari kiamat.
Oleh itu, kita harus berwaspada dan memperkukuhkan iman agar tidak mudah terpedaya oleh hasutan dan tipu daya iblis.
Mengejar kemajuan material semata-mata tanpa diimbangi pendidikan agama yang secukupnya bukanlah satu resipi yang baik untuk membentuk sebuah negara yang makmur.
Menyingkap sejarah, terdapat banyak pusat pengajian Islam terkemuka di alam Melayu sejak zaman-berzaman.
Kesultanan Melaka umpamanya, bukan setakat menjadi pusat perdagangan penting tetapi juga pusat pengajian Islam yang tersohor di rantau ini. Begitu juga kerajaan-kerajaan Islam lainnya di Nusantara seperti Kesultanan Aceh.
Seterusnya, negeri-negeri di Tanah Melayu telah berkembang menjadi pusat dakwah Islam. Ramai ulama dari seluruh dunia dijemput untuk mengajar di pusat-pusat pengajian di sini.
Raja-raja Melayu bukan sahaja terlibat secara langsung dalam merangka dan memajukan pendidikan agama, malah baginda berusaha memastikan ajaran Islam dihayati oleh rakyat.
Sebagai contoh, Sultan Selangor kelima, Sultan Alauddin Sulaiman Shah telah mengarang kitab-kitab panduan dalam hal mendidik anak-anak menurut cara Islam dan diguna pakai di sekolah-sekolah di Selangor.
Hari ini, selaras dengan Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan yang meletakkan Islam sebagai agama negara, perkembangan ajaran Islam terus diberi perhatian yang signifikan.
Dalam sistem pendidikan awam Malaysia, semua pelajar Islam diwajibkan mempelajari subjek pendidikan Islam bermula daripada pendidikan rendah sehinggalah mereka berada di universiti awam.
Perkara 12(2) pula memberi keabsahan kepada Kerajaan Persekutuan atau kerajaan negeri untuk menubuhkan atau menyenggarakan institusi-institusi Islam serta membuat perbelanjaan untuk hal-hal lain yang berkaitan dengan ajaran dalam agama Islam.
LANTANG
Malangnya, kedengaran semakin lantang desakan dan gesaan yang mahukan pendidikan keagamaan tidak lagi diwajibkan di peringkat universiti.
Alasannya, ia tidak perlu, melambatkan masa untuk mendapatkan ijazah, serta tidak menolong graduan mendapatkan pekerjaan.
Sebelum ini timbul desakan supaya dikurangkan masa pembelajaran Pendidikan Islam di sekolah-sekolah.
Bagi saya, pendapat sebegitu tidak bersendikan asas kenegaraan iaitu agama Islam. Alasan mereka adalah cetek dan tidak matang. Mungkin mereka lupa negara kita bertunjangkan agama.
Agama dan adat adalah asas pembentukan jati diri anak bangsa. Adat yang kawi (kukuh), syarak yang lazim.
Kemajuan dan kesejahteraan negara tidak boleh dibina dan dipertahankan sekiranya masyarakat tidak bermoral dan hanya mementingkan aspek material tanpa adanya roh agama.
Kita kelak akan berhadapan dengan masyarakat yang pincang, bersikap ananiah (mementingkan diri) serta tiada kekuatan spiritual apabila berhadapan dengan masalah.
Ingatlah, jangan sampai kita tunduk kepada kehendak iblis, tidak bersyukur akan ilmu agama yang diturunkan Allah SWT dan menganggap mempelajarinya sudah tidak relevan setelah kita dewasa.
Jiwa kita harus dididik untuk sentiasa mencintai Allah SWT. Tanpa didikan agama, hidup kita akan terumbang-ambing tanpa hala tuju yang jelas.
PENULIS ialah calon peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2022.











