TOPIK perbincangan yang kembali hangat dalam kalangan peminat dan penulis karya sastera kebangsaan ialah perihal kes ciplak dan plagiat.
Isu ini rancak dibincangkan di pelbagai media susulan majalah Dewan Sastera baru-baru ini menyiarkan sebuah puisi yang ternyata merupakan karya ciplak.
Ada persatuan penulis nasional meminta orang ramai tidak masuk campur kerana kes ciplak dan plagiat dikatakan kes sivil yang hanya boleh dibicarakan di mahkamah.
Orang ramai pula menyedari hak dan tanggungjawab mereka memperkatakan isu ini secara terbuka kerana jenayah plagiat tidak patut dibiarkan menjadi suatu budaya.
Saya sempat berbincang dengan beberapa rakan penulis dan pembaca karya pelbagai bahasa. Kami memberi tumpuan kepada aspek membimbing penulis baharu dan bakal penulis bagi memastikan mereka tidak melakukan sebarang plagiat dalam karya. Hukuman yang wajar bagi penciplak juga dibincangkan.
Rushida Abdul Wahid dari Klang, Selangor berpendapat, para penulis perlu ada jati diri dan kejujuran sebagai manusia yang bertanggungjawab dan dikurniakan akal.
“Karya asli semestinya ada ‘jiwa’ tersendiri dan orang yang plagiat tidak akan mampu merampas ‘jiwa’ itu daripada tuan punya karya asal. Karya ciplak tidak akan ada ‘jiwa’,” katanya.
Veralona Mollon Perrin, rakan dari Sabah yang kini menetap di Perigueux, Perancis turut terkejut dengan perkembangan dalam dunia penulisan tanah air. Beliau mencadangkan saman sivil ke atas penciplak dan pampasan kepada penulis asal.
“Plagiat sama seperti mencuri dan pesalah harus dihukum. Selain hukuman di mahkamah, para penerbit juga perlu sepakat tidak lagi menyiarkan karya orang itu di mana-mana media,” beliau mengusulkan.
Sambil menegaskan pendirian tidak akan berkompromi dengan jenayah plagiat dalam mana-mana bidang, Yow Chong Lee dari Kuching, Sarawak menekankan aspek didikan sejak awal, termasuk pada peringkat sekolah rendah.
Orang ramai perlu diberitahu dan diajar bahawa sesebuah karya penulisan adalah usaha kreatif pengkarya yang harus dihayati dan dihormati.
Sajak awal saya berjudul Apologi Buat Panther termuat di majalah sekolah pada 1989. Lebih sedekad kemudian, saya terbaca sajak yang 100 peratus sama di majalah sekolah yang sama dengan nama orang lain.
Saya tidak mengambil tindakan tegas kerana mengasihani pelajar yang menciplak sajak itu. Rencana saya mengenai drama tari kathakali orang Malayali tersiar di majalah Dewan Siswa pada Oktober 1995.
Kemudian, diciplak orang dan tersiar pula di majalah Dewan Budaya keluaran Februari 2012. Kali ini, saya membuat aduan rasmi kepada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) selaku penerbit. Individu terbabit disenarai hitam sebagai hukuman.
JENAYAH
Dalam isu plagiat yang masih berleluasa, penulis veteran dalam sastera kebangsaan dan Tamil, M. Mahendran dari Bentong, Pahang merasakan perlunya memberi tunjuk ajar kepada peserta bengkel penulisan.
“Selain itu, kesan dan implikasi negatif jenayah plagiat perlu diuar-uar kepada masyarakat umum,” katanya.
“Penulis muda harus diberi galakan untuk menulis karya asli dan karya mereka diterima walaupun menggunakan gaya bahasa mudah. Sambutan positif seperti ini akan menghindar mereka melakukan ciplak dan plagiat,” kata Anuradha Chelliah, seorang penulis dan guru dari Banting, Selangor.
Pandangan hampir sama diketengahkan Vickneswaran Achuthan, rakan pembaca dari Ayer Itam, Pulau Pinang. Beliau menasihati penulis muda menulis dengan jujur berdasarkan imaginasi, pengetahuan dan pengalaman sendiri.
“Penulis baharu wajar ada kesedaran bahawa kerja menulis bukan untuk populariti atau portfolio dalam bidang diceburi. Kerja menulis sepatutnya mengangkat nilai kemanusiaan,” kata Nursyuhaidah A. Razak dari Cheras, Selangor.
Kita selalu bising secara bermusim apabila timbul kes karya ciplak. Misalnya, seorang penulis dikesan menciplak cerpen Azman Hussin di akhbar Berita Minggu pada Disember 2001 dan karya plagiat itu tersiar di akhbar sama pada Februari 2002.
Penulis sama didapati menciplak karya dari China dan Taiwan, lalu tersiar di beberapa akhbar Cina tempatan. Malah, masih banyak sajak dan cerpen penulis itu mendapat tempat di majalah DBP.
Pada pandangan Rushida, kesemua karya individu yang didapati menciplak perlu diboikot. “Jangan benarkan mereka bergerak di bawah naungan mana-mana persatuan penulis. Jangan terima mereka menyertai mana-mana program rasmi walaupun bukan acara berkaitan dunia penulisan,” beliau mencadangkan.
Chong Lee merasakan, penciplak wajib memohon maaf secara terbuka menerusi platform yang boleh diakses orang ramai; bukan permohonan maaf secara tertutup kepada mangsa karya yang diciplak sahaja.
“Senarai karya ciplak dan nama penciplak perlu disiarkan di media cetak dan dalam talian supaya boleh dirujuk semua orang,” tegasnya.
Mahendran bersetuju dengan cadangan itu serta mahu semua penerbit memboikot penciplak terbabit, khususnya penciplak tegar yang terbukti banyak mencuri karya orang lain.
“Tarik balik segala gelaran dan anugerah yang pernah diberi. Minta mereka bayar ganti rugi kepada penulis asal dan penerbit,” katanya.
“Karya plagiat wajar didedahkan supaya pembaca tahu karya itu diciplak. Segala anugerah yang diterima harus ditarik balik kerana penciplak tidak boleh dijadikan contoh dalam kalangan penulis,” kata Anuradha menyokong.
Vickneswaran juga senada apabila mendesak karya ciplak ditarik balik dari pasaran dan hasil jualan atau honorarium (jika ada) diberi kepada penulis asal.
Beliau juga mencadangkan penciplak digam terus atau disenarai hitam daripada semua penerbit.
Demikian pandangan Nursyuhaidah yang turut mahu karya ciplak ditarik balik, penciplak diboikot dan namanya dipaparkan kepada umum sebagai pengajaran kepada semua pihak bagi membendung budaya plagiat.
PENULIS ialah pengasas Kumpulan Sasterawan Kavyan.











