Saya berkesempatan menonton filem Roh, sekitar tahun lepas. Penceritaannya menarik, digarap bernas dan tersusun.
Saya mengenali Farah Ahmad daripada filem yang diarahkan Emir Ezwan itu. Pada saya, Farah bukanlah asing, kerana pernah juga melihat lakonannya dalam drama dan filem sebelum-sebelum ini.
Dia ialah pelakon yang sebenar-benarnya. Pada saya, antara pelakon hebat lain di Malaysia, terselit seorang Farah Ahmad.
Sekarang ini, bukan senang untuk jumpa pelakon yang beridentiti. Tetapi dia miliki kelebihan itu. Senang cerita, Farah dilahirkan untuk menjadi pelakon.
Hasrat untuk saya tampilkan dia sebagai penghias sampul hadapan Pancaindera sudah lama disuarakan.
Kami temuinya di Majlis Sidang Media, Festival Filem Malaysia ke 31 Rabu lalu. Esoknya, dia hadir ke pejabat Media Mulia Sdn. Bhd. untuk sesi fotografi dan wawancara. Allah SWT permudahkan, meskipun semuanya berlaku di saat akhir.
Senang bekerja dengan Farah. Sentiasa positif, berjenaka dan tidak langsung berlagak Diva. Betul orang kata, orang hebat ini kebanyakannya merendah diri.
Katanya, cabaran seorang anak seni itu berat. Dia sedih, kerana kebanyakan orang memandang yang indah sahaja. Walhal, dunia hiburan itu jalannya berliku.
“Anak seni kena kuat semangat. Letaklah martabatnya di bawah sekalipun. Sedihnya, orang hanya melihat yang indah-indah. Susahnya anak seni itu, siapa yang nampak?
“Tidak semua anak seni kaya. Ada yang hidup merempat, melarat. Pendapatan, kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Tidak semua hidup mewah.
“Tetapi, dalam apa keadaan sekalipun, anak seni sentiasa ingin ke depan untuk menghiburkan. Meskipun kami dicaci maki, dihina. Jadi, Saya hormat orang lama, walaupun susah, masih bekerja dalam bidang ini sehingga ke hari ini,” katanya.
Tambah Farah, pelakon perlu sentiasa berkongsi ilmu. Katanya, populariti itu bukan keutamaan. Ilmu itu lebih penting.
“Saya sedia menjadi diri sendiri, tidak terkilan sekiranya dipandang sepi di media sosial. Yang penting, saya berkongsi ilmu dan nasihat dengan sesiapa dalam apa juga platform yang ada.
“Sebagai pelakon yang miliki sedikit ilmu lakonan, saya sedia kongsikan apa yang saya tahu dengan pelakon lain. Ada orang, belum merasa, tersadung, dia tidak sedar,” katanya lagi.
Tuhan terlalu sayangkan dia
Pada awal, agak ralat untuk saya bertanyakan tentang perasaan Farah ketika ini, setelah kehilangan suaminya yang juga pengarah dan penulis skrip, Allahyarham Mohd. Firdaus Mohamad Hanif yang ditemukan tidak bernyawa setelah hilang di Sungai Mela, Kuala Lipis, Pahang sekitar dua tahun lalu.
Tetapi saya tahu, Farah pasti menjangkakan saya bertanyakan soal itu kepadanya. Ketika bercerita, saya melihat matanya ‘berkaca’. Tentunya dia memendam emosi tatkala mengimbau kembali tragedi menyayat hati itu.
“Saya cuba positif. Ya, kesannya mendalam. Tapi, saya cuba kuat, tak mahu terlalu bersedih. Terus bersemangat untuk hidup jaga anak-anak.
“Kekuatan saya dapat dari rasa kasih dan sayang kepada arwah. Saya pujuk hati, jangan sedih. Pemergian dia, dalam syahid adalah hadiah yang sangat besar Tuhan beri. Saya tak boleh sedih. Itu anugerah yang hanya Allah sahaja yang dapat beri. Saya katakan, Ya Allah, Engkau terlalu menyayangi dia.
“Sebagai seorang isteri, kita selalu mendoakan agar suami kita dilindungi Allah. Tapi, Allah beri yang terbaik. Kematiannya dalam cara yang cukup dicemburui. Saya kena reda dengan ketentuan itu,” ceritanya tenang.
Kongsi Farah lagi, ketika kejadian berlaku, dia risau keadaan jasad suaminya. Kerisauan itu mengcengkam mindanya, yang hanya berharap agar jasad suaminya ditemukan dalam keadaan sempurna.
“Saya kata, ya Allah, macam mana keadaan jasad suami saya, semalaman tak ditemukan. Tapi ketika pengecaman, lagi satu hadiah Tuhan beri, apabila saya melihat keadaan jasadnya, secantik-cantik seperti saya memandangnya ketika awal pertemuan kami dahulu. Kemas, tak berluka, cantik.
“Takkan saya nak nangis. Orang kecam saya kata tak ada perasaan. Saya gembira, Tuhan pelihara jenazahnya, umpama saya pertama kali bertemu dia ketika pementasan teater Bakai satu ketika dahulu,” ujarnya.
Jelas Farah, pemergian suami tercinta menjadi satu sumber kekuatan untuk dia meneruskan hidup di samping anak-anak. Namun, dia tetap berharap Tuhan kekalkan kekuatan itu.
“Saya harap Tuhan kekalkan kekuatan yang Dia beri ini. Sebab saya tak tahu. Saya masih ada ramai lagi orang yang saya sayang, yang mungkin akan pergi lebih dahulu daripada saya,” jelasnya.
Tidak bersandarkan rupa
Saya tanyakan kepada ibu tiga orang anak ini, apa cabarannya dalam dunia seni. Industri kita tidak sebesar mana. Pelakon baharu datang silih berganti.
Kata Farah, memang bukan mudah. Tetapi bakat dan ilmu itulah yang menjadi ‘senjata’ untuk bersaing dalam dunia lakonan yang serba kecil ini.
“Pada usia sekarang, saya tidak memandangkan kesusahan saya sebagai satu penyiksaan. Saya anggap itu ujian untuk saya mencari ilmu.
“Pesaing hadir macam cendawan tumbuh selepas hujan. Ada yang katakan kepada saya, tak perlulah berlakon. Mereka kata, ramai pesaing, cantik-cantik pula tu. Tapi saya tidak memandang itu.
“Seni bukanlah tentang rupa. Ia adalah satu emosi datang dari hati. Jadi saya tetapkan matlamat, tidak bersandarkan rupa paras. Tetapi lakonan itu menjadi keutamaan,” katanya.
Tambah Farah, rupa paras yang cantik adalah bersifat sementara yang esok lusa, pudar dimakan usia.
“Setiap watak ada rupa berlainan. Kalau saya memilih untuk menjadi cantik, saya tidak akan kekal lama. Satu hari nanti, saya mahu orang melihat saya, kerana bakat.
“Apabila pelakon bergantung kepada bakat dan kemahiran, mereka akan kekal. Sebaliknya, rupa tidak kekal, esok lusa berubah.
“Memang, dari segi rupa, saya tidak boleh bersaing. Tapi kalau bakat dan tenaga, ya, saya mampu,” ujarnya.











