MASYARAKAT dahulu memang mengutamakan kesihatan. Buktinya mereka mencipta peribahasa, badan sihat, otak cergas. Masyarakat ketika itu tahu bahawa otak yang cergas berpunca daripada badan yang sihat.
Kesihatan dan keselamatan tetap diutamakan dalam apa jua keadaan. Badan yang sihat memberi kekuatan untuk mereka bekerja bagi menyara hidup keluarga.
Amalan mengutamakan kesihatan dalam kehidupan kita mesti diberi perhatian semula. Kalau ia sekadar slogan, tentu tidak bermakna apa-apa. Yang penting, kesedaran masyarakat dengan mengutamakan gaya hidup sihat.
Gaya hidup sihat selalu memberi faedah kepada kecergasan fizikal. Misalnya, dengan melakukan aktiviti senaman secara kerap, kehidupan seseorang menjadi lebih sihat dan menceriakan.
Amalan bersenam akan memastikan tubuh kita menjadi cergas dengan sistem peredaran darah menjadi lebih teratur. Sistem imunisasi dalam badan kita menjadi lebih cekap dan seterusnya stamina dan kekuatan tubuh dapat dibina.
Selain itu, amalan gaya hidup yang positif ini juga dapat mengurangkan risiko menghidapi penyakit berbahaya. Melalui gaya hidup yang sihat juga melahirkan masyarakat berdisiplin, teratur pengurusannya, sihat fizikal dan mental.
Masyarakat yang sihat dan cergas amat diperlukan negara kerana mereka mempunyai badan yang lebih cergas dan bertenaga. Jika seseorang sihat itu bekerja tentu berupaya melakukan kerja yang diberi dengan baik dan berkualiti.
Kesihatan yang baik juga berperanan menjadikan keluarga itu lebih bahagia. Bayangkan seandainya Keluarga Malaysia mempunyai orientasi menjaga kesihatan dan kita aktifkan bersama.
Melihat dari segi amalan pemakanan, kita dapati masyarakat beruntung kerana mempunyai segala jenis makanan yang cukup mewah dengan pelbagai cita rasa memenuhi selera.
Masyarakat kita perlu sedar tentang penjagaan dan kawalan pemakanan seharian demi mengekalkan tubuh badan yang sihat. Pelbagai jenis juadah makanan yang dimakan setiap hari dengan keutamaan pada makanan yang menyelerakan.
Persoalan tentang adanya amalan pemakanan yang mengundang pelbagai jenis penyakit seolah-olah dilupakan dek kemaruk dengan cita rasa. Ada sebab mengapa kita rasa kecewa dalam aspek ini.
Ini kerana ada sesetengah masyarakat yang masih memandang enteng dan ambil mudah. Kadangkala mereka terlupa juadah yang dimakan itu mengandungi bahan yang boleh memudaratkan tubuh badan mereka sendiri sehingga memberi kesan negatif untuk jangka masa panjang.
Sepatutnya masyarakat kena sedar dari dari awal lagi tentang perkara ini dengan hanya memilih makanan berkhasiat. Setiap individu sepatutnya pandai memilih berasaskan amalan piramid makanan yang banyak disebut sebelum ini.
Tujuannya bagi mengelak kesan penyakit yang mungkin boleh berlaku. Semoga hasrat untuk melahirkan generasi yang sihat dan cergas dapat diterjemahkan dengan amalan pemakanan hari-hari.
Ketidakseimbangan aktiviti seharian boleh mengakibatkan kita menjadi tidak bersemangat serta memberi kesan kepada kesihatan mental dan fizikal.
Masalah tidur lewat malam, kurangnya masa bersenam dan tiada aktiviti lain yang mengeluarkan peluh boleh menyebabkan berlaku tekanan emosi secara tidak terkawal.
NORMA BAHARU
Bekerja lebih masa sehingga tiada masa untuk berehat amat berbahaya jika diamalkan untuk jangka masa panjang. Pengurusan masa yang baik dan teratur memainkan peranan penting untuk menjalani aktiviti seharian dengan lancar.
Tambahan pula ketika berada dalam tempoh cabaran Covid-19 yang banyak menyekat pergerakan masyarakat, kita terpaksa melaluinya dengan mengamalkan kehidupan norma baharu demi memutuskan rangkaian wabak ini.
Aktiviti senaman dan pergerakan badan untuk mengeluarkan peluh mestilah dilakukan selari dengan amalan kehidupan berasaskan norma baharu. Segala urusan tidak semestinya dilakukan secara fizikal tetapi boleh diselesaikan secara maya atau dalam talian. Segalanya boleh dilakukan tanpa keluar rumah, asalkan ada yang berusaha melakukannya demi menjaga kesihatan diri.
Tokoh perubatan Greek, Hippocrates menyebut: “Semua penyakit bermula dari perut.” Mungkin ada juga kebenarannya. Maksudnya, ada kemungkinan makanan yang masuk ke dalam perut itu boleh menyebabkan jangkitan kuman.
Yakinlah, mencegah lebih baik daripada merawat. Amalan hidup sihat ini juga berkaitan pemakanan sihat. Usah ambil mudah soal pemilihan makanan untuk dimakan seharian.
Jangan menyesal kerana kesilapan kita adalah ambil mudah tentang perkara itu. Ingat kata orang tua-tua, menyesal dahulu pendapatan, menyesal kemudian tidak berguna.
Masyarakat perlu mempunyai kesedaran dalam menjaga kebersihan tangan dan berperanan mendidik anak-anak mereka. Amalan membasuh tangan dengan cara yang betul juga patut diteruskan.
Tangan kita mungkin kelihatan bersih, tetapi ini tidak bermakna ia bebas daripada mikroorganisma berbahaya. Semua orang tahu, membasuh tangan itu penting khususnya dalam menghalang penularan jangkitan penyakit.
Namun, sejauh mana kita mempraktikkan kaedah membasuh tangan yang betul? Membasuh tangan dengan sabun dan air adalah cara terbaik untuk menyingkirkan kotoran, bakteria atau virus daripada permukaan kulit. Tangan yang bersih dapat mengelakkan penyebaran mikroorganisma antara individu kepada individu lain.
Amalan gaya hidup sihat juga perlu dipupuk dan disemai di peringkat rumah oleh ibu bapa agar menjadi ikutan ahli keluarga yang lain. Masyarakat perlu bijak mengimbangi cara pemakanan dengan senaman harian.
Kebijaksanaan ini bukan sahaja membolehkan kita membentuk keluarga dan menyumbang ke arah pembentukan masyarakat yang sihat dan cergas tetapi mempunyai keterampilan dalam kehidupan.
Seandainya negara ini bebas daripada wabak Covid-19, namun rakyat masih dibelenggu dengan masalah kesihatan, kebersihan dan pelbagai masalah sosial, tentu kita rasa dukacita. Isu-isu melibatkan kesihatan jangan hanya dipandang sebelah mata.
DATUK Seri Dr. Wee Jeck Seng ialah Ahli Parlimen Tanjung Piai.











