Terdapat pelbagai spesis ketam yang mempunyai banyak nama mengikut tempat dan negara. Di Malaysia, antara nama ketam popular dikenali ramai ialah ketam bunga, ketam biru, ketam batu, ketam nipah dan sebagainya.
Secara semula jadi ketam hidup dan membiak di sekitar paya bakau, kuala sungai, tepi sungai atau laut, dalam air payau atau masin mengikut pasang surut air.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengurus Hatcheri Udang, Institut Penyelidikan Marin Borneo, Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof. Madya Annita Yong Seok Kian berkata, ketam bakau ataupun ketam nipah adalah ketam yang boleh didapati di kawasan paya bakau.
“Terdapat empat spesies ketam bakau bertaburan luas dari lautan Indo-Pacific ke Jepun dan Australia.
“Empat spesies ketam ini termasuklah Scylla Serrata, S. Olivacea, S. Tranquebarica and S. Paramamosain. S. Serrata adalah spesies terbesar yang boleh mencapai berat badan dua hingga tiga kilogram seekor.
“Sementara tiga spesies lain mempunyai saiz badan lebih kecil berbanding S. serrata. Di Malaysia, setakat ini hanya tiga spesies ketam bakau dilaporkan termasuklah S. Olivacea, S. Tranquebarica dan S. Paramamosain yang boleh didapati di seluruh negara,” katanya.

SUMBER KETAM BAKAU
Kongsi Annita, sehingga kini, kebanyakan sumber ketam bakau adalah hasil tangkapan perikanan di habitat semula jadi.
“Disebabkan permintaan semakin tinggi dan hasil penangkapan terhad, ia tidak dapat menampung permintaan ketam bakau yang semakin meningkat terutamanya dalam penghasilan ketam cengkerang lembut.
“Penghasilan benih ketam dari akuakultur amat diperlukan untuk meningkatkan pengeluaran bagi memenuhi permintaan pasaran.
“Penyelidikan dan usaha dalam membangunkan akuakultur ketam bakau ini giat dijalankan oleh beberapa universiti awam termasuk UMS,” katanya.
PEMBENIHAN KETAM BAKAU
Dalam pada itu, Annita berkata, untuk memulakan pembenihan, induk ketam sihat dengan saiz sesuai adalah faktor pemilihan utama.
Induk ketam bakau sama ada bertelur ataupun matang selalunya boleh diperolehi hasil tangkapan nelayan.
Namun, ketam diperolehi dari luar mempunyai masalah jangkitan penyakit contohnya jangkitan kulat Lagenidium Thermophilum sukar dirawat seperti yang dilaporkan oleh kumpulan penyelidik di UMS.
Oleh itu, katanya, penghasilan induk ketam bakau di hatcheri dalam keadaan lebih terkawal boleh mengurangkan risiko jangkitan penyakit.
“Sehingga kini, industri akuakultur ketam bakau masih bergantung kepada penangkapan dari habitat asal.
“Ia digunakan sama ada untuk tempoh penternakan singkat dalam penghasilan ketam lebih berisi ataupun penghasilan ketam bercengkerang lembut,” jelasnya.

Namun, pengambilan bersaiz kecil terutamanya ketam betina secara berleluasa akan mengancam populasi ketam kerana saiz tersebut belum cukup matang untuk menyumbang kepada penghasilan dalam populasi asal.
Katanya, benih yang dihasilkan oleh hatcheri boleh menjadi sumber berterusan untuk menyokong aktiviti penghasilan ketam bercengkerang lembut tanpa mengganggu populasi di habitat asal.
“Malah, ia juga memberi manfaat dari segi penghasilan spesies sama. Apabila anak ketam dikumpul dari habitat semula jadi untuk pembesaran di dalam kolam akuakultur, spesies anak ketam bakau ini tidak dapat dibezakan melalui pemerhatian luaran disebabkan rupa bentuk anak ketam yang hampir sama pada peringkat umur yang kecil,” katanya.
Annita berkata, kajian awal mendapati spesies ketam yang berlainan menunjukkan tahap tingkah laku agresif. Jadi adalah penting untuk memastikan spesies ketam yang sama diternak di dalam kolam akuakultur.
“Dengan permintaan ketam bakau yang semakin meningkat, ini akan semakin memberi tekanan kepada penangkapan ketam bakau.
“Dengan adanya pembenihan ketam bakau ini dari hatcheri, program pelepasan benih ketam berkala boleh dijalankan untuk menambah baik stok semula jadi di kawasan paya bakau. Ini penting untuk memastikan stok populasi ketam bakau dalam keadaan sihat dan seimbang,” katanya.
INOVASI PENTERNAKAN INDUK KETAM DI UMS
Dalam UMS, pembenihan ketam bakau dilakukan di hatcheri Institut Penyelidikan Marin Borneo di mana induk ketam matang boleh dihasilkan dengan menggunakan sistem tangki penternakan direka bentuk khas untuk ketam.
Secara amnya, penternakan ketam induk memerlukan keadaan air dan pasir bersih untuk tujuan pengeluaran telur.
“Pasir ini juga berfungsi sebagai tempat perlindungan ketam bercengkerang lembut. Ia juga memerlukan kawasan lebih gelap dan berjauhan dengan aktiviti lain.
“Di samping itu, sistem penternakan ini juga dilengkapi pengaliran air berkitar dan boleh mengawal ketinggian paras air dalam tangki peternakan mengikut keadaan air pasang dan surut seperti di habitat semula jadi kawasan paya bakau.
“Dengan gabungan sistem peternakan dan makanan induk tersebut, UMS berjaya menternak ketam bakau sehingga menjadi induk di hatcheri dan induk ketam bakau yang matang boleh dihasilkan sepanjang tahun.
“Usaha kajian telah membolehkan kitar penghasilan benih ketam bakau dibuat secara tertutup tanpa bergantung kepada induk dari luar.
“Kajian tentang penjagaan larva juga dijalankan terutamanya tentang makanan dan teknik penternakan larva ketam,” jelasnya.

Makanan larva merupakan antara faktor penting yang perlu dijaga dengan rapi untuk memastikan pembenihan larva ketam yang berjaya.
Sama seperti larva ikan, larva ketam juga memerlukan asid lemak omega-3 yang seimbang terutama asid lemak dokosaheksaenoik (DHA) and asid lemak eikosapentaenoik (EPA).
Menurut Annita, kajian UMS mendapati keseimbangan kandungan asid lemak dalam makanan larva ini amat mempengaruhi kemandirian larva terutama dalam peringkat sebelum menjadi megalopa dan anak ketam.
“Usaha dan kajian masih diperlukan untuk meningkatkan penghasilan benih ketam bakau kerana peratusan kemandirian anak ketam masih rendah.
“Pihak industri juga perlu berganding bahu dengan universiti untuk bersama-sama membangunkan industri akuakultur ketam bakau di Malaysia,” katanya.










