PETALING JAYA: Petroliam Nasional Berhad (Petronas) menganugerahkan dua kontrak reka bentuk kejuruteraan bahagian hadapan (FEED) kepada konsortium JGC Corporation-Samsung Heavy Industries dan SAIPEM Spa.
Ia merupakan sebahagian daripada pertandingan reka bentuk FEED untuk projek gas asli cecair (LNG) dekat pesisir di Sabah.
Menurut syarikat minyak dan gas negara itu, projek tersebut dengan kapasiti minimum dua juta tan setahun (MTPA) merupakan yang pertama seumpamanya di Malaysia.
Katanya, pertandingan reka bentuk FEED tersebut dijangka berlangsung selama 10 bulan dengan keputusan pelaburan muktamad (FID) dirancang pada akhir 2022.
“Berdasarkan FID, kontraktor FEED yang memenanginya akan bergerak ke fasa Kejuruteraan, Pemerolehan, Pembinaan dan Pentauliahan (EPCC).
“Jana kuasa LNG dekat pesisir tersebut dijangka sedia untuk mula (RFSU) pada penghujung 2026,” katanya dalam kenyataan semalam.
Naib Presiden Eksekutif Petronas dan Ketua Pegawai Eksekutif Gas dan Tenaga Baharunya, Adnan Zainal Abidin berkata, Petronas akan terus menyediakan akses yang lebih besar kepada sumber tenaga bersih seperti gas asli.
“Pembangunan jana kuasa LNG dekat pesisir pertama di Sabah mencerminkan kepakaran teknologi kami.
“Kami terus menginovasikan penyelesaian moden untuk memanfaatkan sumber gas dalam kaedah yang teroptimum dan mesra alam,” katanya.
Menurut Petronas, reka bentuk dan pembinaan jana kuasa dekat pesisir tersebut dijangka lebih ringkas dan apabila siap, mempunyai potensi untuk menambah baik masa berkendali pengeluaran.
Ini kerana ia terletak di dalam kawasan teluk terlindung berbanding kemudahan LNG terapung luar pesisir yang terletak di laut terbuka.
Jelas Petronas, selepas siap, jana kuasa tersebut akan meningkatkan pengeluaran LNG Petronas dari kemudahan LNG terapung daripada 2.7 MTPA kepada 4.7 MTPA.
Ketika ini, Petronas mengendalikan dua kemudahan LNG terapung, iaitu PFLNG SATU dan PFLNG DUA, masing-masing di luar pesisir telaga minyak Kebabangan dan Rotan. – UTUSAN









