MUKADIMAH
SEHINGGA hari ini, wabak Covid-19 masih belum menunjukkan tanda-tanda untuk reda menyebabkan rakyat semakin runsing memikirkan hal kelangsungan hidup. Lebih-lebih lagi kos sara hidup dijangka meningkat antara 30 hingga 200 peratus menjelang tahun depan.
Bukan sahaja ramai yang hilang sumber pendapatan dan menganggur, malah dianggarkan 600,000 isi rumah dari kumpulan berpendapatan sederhana (M40) jatuh ke dalam kumpulan berpendapatan rendah (B40).
Kini, rakyat dihimpit dan ditekan dengan kenaikan harga barangan yang tidak masuk akal dalam semua sektor.
Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), DATUK NADZIM JOHAN lantang bersuara supaya satu tindakan menyeluruh di semua peringkat diambil bagi mengatasi isu ini.
Beliau ketika dihubungi wartawan Utusan Malaysia, AQILAH MIOR KAMARULBAID, kelmarin, mahu masyarakat mengubah gaya hidup dan tidak terikut-ikut rentak budaya Barat yang gemar membazir.
UTUSAN: Kecoh pasal kenaikan mendadak harga makanan dan barangan. Bagaimana Datuk melihat perkara ini?
NADZIM: Ada beberapa aspek yang perlu dilihat. Ada kelemahan yang jelas di peringkat pengurusan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan jabatan yang perlu ditangani segera. Kalau ikutkan, tak perlulah sampai mengimport serai serta halia dari Vietnam dan Indonesia. Tak masuk akal nak import benda yang boleh dapat di negara sendiri. Nampak kerajaan tiada arah tujuan.
Begitu juga masalah kartel yang kerjanya mengaut untung. Tidak kurang juga masalah individu kerana tiada polisi yang jelas. Disebabkan itu, kita hanya harapkan kerajaan untuk bertindak dan menyelesaikan masalah.
Sepatutnya jika rakyat menyedari harga pasaran cili mahal, tak payahlah makan cili. Itu masalah orang kita, kena ikut budaya, tak boleh lari. Macam tukar langsirlah, kena tukar setiap kali raya. Kalau tidak, rasa pelik.
Tiada jalan tangani kartel?
Selain menjadi punca kenaikan harga, kartel juga mempengaruhi polisi kerajaan. Mereka pula yang tentukan apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan. Mereka sabotaj bidang pertanian dan penternakan negara.
Apa pasal pula kita tidak boleh bela lembu sedangkan di negara panas dan sejuk pun bela lembu tapi kita tak boleh? Ini masalah orang Melayu yang sangat berat. Kita ikut sahaja kehendak mereka. Kita tak mahu berubah sebaliknya sibuk bermain politik.
Bagaimana rakyat mahu tampung perbelanjaan jika kenaikan barang mendadak dan melampau?
Sekarang masuk era yang amat mencabar. Kalau ikutkan, harga barangan akan naik dan terus naik sampai barang pun tak ada lagi. Kita tiada pilihan, kena ikut saja.
Jika tidak ubah mindset, cara hidup dan tiada penyelesaian holistik, maka tidak mustahil Malaysia akan menjadi seperti Rohingya.
Contohnya, kenapa perlu kita beli serai import? Buat apa? Kita juga yang buka peluang itu sedangkan ia boleh didapati dalam negara. Orang kampung banyak tanam. Jangan kata tak tahu perkara ini, kebanyakan menteri berasal dari kampung.
Masyarakat sudah dididik cara begitu iaitu mengikut rentak orang lain. Kerana itu kerajaan perlu melihat semula polisi sedia ada. Apa KPDNHEP buat dalam isu ini? Mana kedaulatan negara dalam urus tadbir perniagaan? Kita biarkan mereka import. Kita okey sahaja. Jadi, orang ambil kesempatan. Justeru, kerajaan perlu buat polisi baharu berkaitan barangan import.
Kita kalau nak eksport barang ke luar negara punyalah susah. Pelbagai peraturan yang dikenakan tetapi orang luar senang-senang eksport barang ke sini.
Bukan sahaja polisi kerajaan tetapi polisi keselamatan dan budaya rakyat juga memerlukan perubahan.
Beberapa pihak mengatakan kenaikan ini disebabkan masalah cuaca dan ketergantungan terhadap produk import. Relevan lagikah alasan ini sedangkan ia berlaku setiap tahun?
Samalah kesnya apabila hari raya. Asal hari raya, harga naik berkali-kali ganda. Sedangkan kerajaan patut peka apabila tiba musim perayaan atau musim hujan, boleh sahaja mereka gandakan pengeluaran barangan. Perlu ada persiapan awal. Boleh sahaja ternak lebih sebelum musim hujan atau siapkan produk sejuk beku. Ada pelbagai cara untuk selesaikan masalah ini.
Esok anak cucu akan tanggung perkara ini. Silap-silap kita jadi hamba abdi kerana tidak ada makanan. Malaysia akan menjadi negara miskin.
Peranan PPIM?
Sudah buat bermacam-macam tetapi kita sekadar organisasi yang kecil. Yang kita ada semangat untuk mempertahankan hak pengguna tetapi tetap sukar untuk bawa perubahan kerana perkara-perkara saya cakap tadi.
Kita puas turun padang memantau harga dan mendengar keluhan rakyat. Kita lihat sendiri bagaimana harga barang binaan naik 100 peratus. Mana penguatkuasaan? Betulkah mereka bekerja? Kita tutup kelemahan dan mengharapkan bantuan selain mahu berseronok. Tanpa sedar ini adalah formula kehancuran.
Apa yang perlu dilakukan pengguna?
Sebenarnya didikan perlu bermula dari rumah. Anak-anak perlu diajar cermat dan tidak membazir.
Bayangkan jika tempah makanan untuk 100 meja di sebuah majlis di hotel tetapi hanya 70 meja dipenuhi. Awak tahu mana lebihan makanan pergi? Masuk tong sampah sedangkan makanan itu tidak dimakan atau disentuh lagi.
Kita bina negara ini dengan tabiat buruk konon demi menjaga kualiti. Terikut sangat dengan polisi Amerika Syarikat yang perlu buang makanan selepas tiga minit tidak di makan. Itu pembaziran luar biasa.
Rakyat Malaysia sudah dididik dengan konsep pakai dan buang. Contoh, di Jepun masih lagi menggunakan napkin kepada bayi atas pelbagai faktor seperti jimat, alam sekitar dan sebagainya, Tapi di sini ibu bapa lebih memilih lampin pakai buang. Untuk beli setiap bulan sahaja memerlukan bajet yang banyak.
Zaman saya dulu, kanak-kanak diajar buang air sendiri sejak usia enam bulan. Pada awal usia itu kita dah tahu setiap kali ibu bawa ke tandas, adalah masa untuk membuang air kecil atau besar. Sekarang, umur tiga tahun pun masih pakai lampin.











