Fotografi itu seni dan sains! Marvin Heiferman berkata, kaedah fotografi digunakan artis (jurugambar) dan saintis, mengklasifikasikan pengumpulan maklumat serta menyampaikan objektif tertentu bagi tujuan sama.
Ia bertujuan sebagai sistem dalam komunikasi di antara data penyelidikan, penyelidik dan komuniti penyelidikan.
Teknologi fotografi amat penting dalam pemudah cara membantu saintis melakukan kajian saintifik. Sebagai contoh, kepakaran jurufoto di dalam teknik sumber cahaya rendah atau astrophotography mampu menghasilkan visual yang tidak mampu dilihat mata kasar manusia.
Dalam pengkajian astronomi, melalui teknik long-exposure, pendedahan lama yang diambil dan adakalanya memerlukan teleskop mampu mendapatkan butiran keindahan cakerawala semesta.

Pada 1932, kewujudan neutron dibuktikan dengan menggunakan gambar, seperti juga kewujudan virus pada 1942 menurut (science.Jrank) dan juga planet Pluto ditemui melalui perbandingan peta fotografi yang diambil melalui teleskop.
Selain itu, saintis turut menggunakan fotografi sebagai cara mengumpul maklumat dan meneroka bidang penyelidikan saintifik pengukuran. Teknologi dan kepakaran teknik fotografi diperlukan di mana data visual dihasilkan perlu jelas dan mampu menampakkan ketepatan komponen kajian bagi tidak menjejaskan kandungan data.
Fotografi turut berperanan dalam penyelidikan kualitatif. Kaedah fotografi membolehkan jurufoto merakam manakala saintis menganalisis tingkah laku dalam konteks penggunaan.
Ia memberi memberikan penyelidik masa untuk memerhati dan menganalisis tingkah laku sesuatu spesies.

Apresiasi fotografi itu bukan sekadar nilai estetika visual sebaliknya turut berperanan luas tanpa ada sekatan dan sempadan. Yang penting bagaimana teknologi itu digunakan dengan sebaik-baik mungkin untuk memberi manfaat kepada semua golongan.
- Penulis adalah bekas jurufoto Utusan Malaysia dan kini berkhidmat sebagai pensyarah di Jabatan Fotomedia Kreatif, Fakulti Seni Lukis & Seni Reka, UiTM.










