MANILA: Google Alphabet Inc memberitahu, pihaknya akan mengharamkan pengiklanan politik di platformnya menjelang pilihan raya Presiden Filipina pada Mei depan.
Langkah itu dibuat di tengah-tengah tekanan kepada platform media sosial berhubung pengendalian pengiklanan politik mereka semasa pilihan raya Presiden Amerika Syarikat (AS) pada 2020.
Platform media sosial telah menjadi medan pertempuran politik di Asia Tenggara, dengan kajian menunjukkan rakyat Filipina menduduki tempat teratas di peringkat global untuk masa yang dihabiskan di media sosial.
Iklan pilihan raya yang mempromosikan atau menentang mana-mana parti politik atau pencalonan mana-mana individu atau parti untuk jawatan awam, tidak akan dibenar disiarkan bagi tempoh antara 8 Februari hingga 9 Mei 2022, kata Google dalam kemas kini dasar kandungan politiknya.
Tarikh tersebut meliputi tempoh berkempen di Filipina sehingga hari pilihan raya pada 9 Mei bagi memilih pengganti Presiden Rodrigo Duterte.
Google berkata pemberitahuan akan dihantar kepada pengiklan yang terjejas tentang dasar terbaharu itu.
Google telah melarang pengiklanan politik pada platformnya sebelum ini, termasuk dalam pilihan raya persekutuan Kanada pada 2019 dan sebelum pilihan raya di Singapura pada 2020.
Menurut laporan, platform media sosial seperti Facebook telah membantu mengukuhkan asas sokongan terhadap Duterte, dengan penganalisis menganggap mereka memainkan peranan penting dalam kemenangan pilihan rayanya pada 2016 dan kekalahan pencabar beliau dalam pemilihan penggal pertengahan tahun lalu.
Rakyat Filipina akan memilih pengganti Duterte, yang di bawah perlembagaan tidak dibenarkan untuk bertanding bagi penggal berikutanya. Beliau bagaimanapun dibolehkan bertanding untuk kerusi senator. – AGENSI










