Koleksi pereka fesyen Syomirizwa Gupta menerusi Syomir X Poplook, menampilkan inspirasi bunga liar, yang menjadi mainan zaman kanak-kanak pereka berbakat itu. Beliau melukis gambar bunga yang diingati sewaktu kecilnya itu sewaktu tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu di balkoni rumahnya.
Fikirannya menerawang jauh mengimbau waktu memungut bunga kecil yang waktu itu dia tidak diketahui arah tujuannya, melainkan keseronokan bermain.
Bunga yang siap dilukis, lantas dipindahkan dalam helaian santai berwarna sederhana seperti hijau, putih dan krim. Baginya warna sedemikian memudahkan wanita menyuaipadan.
Koleksi indah sentuhan pereka itu adalah untuk kerjasama dengan jenama Poplook. Suatu koleksi yang dikatakan antara dinantikan peminat fesyen tempatan lantaran buah tangan pereka ini memang tidak dinafikan sentiasa kreatif dan berbeza.
Menariknya koleksi ini tersedia untuk wanita pelbagai saiz tubuh badan. Malah potongan ringkas yang tidak telalu sarat, menjadikan ia pilihan sesuai wanita daripada pelbagai lapisan latar belakang.
36 HELAIAN

Koleksi ini mempunyai 36 helaian terdiri daripada gaun panjang, gaun dan celana untuk wanita dan kanak-kanak.
Kolaborasi ini menggabungkan estetika label Syomirizwa Gupta, yang terkenal dengan bold prints dan special silhouettes manakala Poplook terkenal dengan warna dan perincian feminin. Koleksi ini dijangka digemari ramai.
Seperti kata Syomir, koleksi itu menampilkan praktikaliti yang menawarkan kebebasan bergerak dan menawarkan fabrik selesa.
Penggunaan fabrik sutera menerusi kaedah cetak ini dilihat amat sesuai dipakai seharian sama ada waktu bekerja ataupun kala bersantai. Sementara sweater dan kemeja- T bercetak dalam koleksi ini yang dihasilkan daripada fabrik kapas pula, yang amat sesuai untuk cuaca tropika di negara ini.










