MENURUT cendekiawan dan penulis Inggeris C.S. Lewis, integrity is doing the right thing, even when no one is watching. Warga kerja berintegriti adalah aset penting yang dapat menyumbang kepada kejayaan sesebuah organisasi dan negara.
Integriti merupakan nadi utama berperanan sebagai penggerak kepada setiap individu yang cekap, kompeten dan berwibawa seterusnya membina satu pasukan atau komuniti yang bersih daripada salah laku dan rasuah.
Apabila berlakunya hakisan nilai integriti, maka terjadinya kepincangan dalam proses kerja terutamanya dalam bidang-bidang berisiko seperti projek pembangunan, perolehan atau pembelian, penguatkuasaan, pelesenan dan permit, kutipan hasil, pengurusan stor, tuntutan bayaran, pengurusan sumber manusia dan sebagainya.
Kerajaan memberi perhatian serius terhadap masalah integriti dan etika dalam kalangan kakitangan awam dengan melancarkan Pelan Antirasuah Nasional (NACP) 2019-2023 dan sektor swasta yang dikawal selia menerusi Pelan Antirasuah Organisasi (OACP).
OACP merupakan satu dokumen dasar antirasuah di peringkat organisasi bertujuan menangani permasalahan dan kelemahan tadbir urus, integriti dan rasuah dalam organisasi. Walaupun wujud akta khusus iaitu Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dengan hukuman lebih berat menggantikan akta lama iaitu Akta Pencegahan Rasuah 1997 dan pelbagai pelan integriti yang diwujudkan, masih berlaku pelbagai kesalahan jenayah melibatkan rasuah dan integriti dilaporkan.
Persoalannya, apa punca berlaku kemelut integriti dalam kalangan segelintir warga kerja ini?
INTEGRITI DIRI
Faktor utama menyebabkan perlakuan tidak berintegriti wujud apabila seseorang terjebak dengan perbuatan tidak bermoral seperti tamak, ingin cepat kaya dan bermewah-mewahan, berjudi sekali gus menyebabkan hutang yang banyak.
Dalam hal ini, pegangan agama atau etika amatlah penting didalam diri setiap individu bagi memastikan segala rezeki diperoleh berpunca daripada sumber yang halal.
Sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a., Rasulullah SAW bersabda: “Siapa yang mencari dunia yang halal untuk menjauhkan diri dari berminta-minta, dan usaha untuk keluarganya dan untuk baik dengan tetangganya, akan dibangkitkan oleh Allah pada hari kiamat dengan mukanya bagaikan bulan purnama, dan siapa yang mencari dunia halal untuk memperbanyak, berbangga dan sombong, akan bertemu dengan Allah pada hari kiamat sedang Allah murka padanya.”
INTEGRITI ORGANISASI
Dengan faktor persekitaran kita yang cepat berubah terutama dalam bidang teknologi dan teknologi komunikasi maklumat (ICT), peningkatan kepelbagaian dalam masyarakat seterusnya menjadikan cara pendekatan sesuatu organisasi dalam menyediakan perkhidmatan itu perlu berubah. Tekanan ekonomi atau kewangan negara serta dalam keadaan pandemik Covid-19 yang sedang melanda negara sendiri merupakan elemen cabaran dihadapi dan ditangani oleh pemimpin di setiap organisasi.
Pastinya pemimpin yang dapat mengadaptasi segala perubahan ini akan dapat membawa organisasi berkenaan dengan cemerlang. Oleh itu, mewujud dan membangunkan kepimpinan berintegriti dan beretika adalah penting kerana keruntuhan integriti di peringkat pengurusan boleh menyebabkan organisasi atau negara menanggung kerugian yang besar.
Naratifnya, integriti sesebuah organisasi akan terancam sekiranya terdapat kelemahan di dalam diri pemimpin itu sendiri atau wujud kelemahan di dalam sistem dan prosedur kerja seperti kurang pemantauan dan penyeliaan, tiada semak dan imbang, budi bicara tanpa kawalan, penurunan kuasa tanpa peraturan jelas, karenah birokrasi ataupun tiada kemaskini sistem mengikut arus perkembangan teknologi semasa.
FAKTOR LAIN
Kesungguhan untuk meningkatkan tahap integriti bukan terletak pada SPRM semata-mata sebaliknya ia memerlukan komitmen semua terutama warga kerja agensi kerajaan. Rasuah dan salah guna kuasa dalam kalangan penjawat awam tidak boleh diambil mudah sama sekali kerana mereka boleh disifatkan sebagai penjaga sumber awam untuk rakyat.
Pembudayaan integriti dan pencegahan rasuah hendaklah menjadi agenda utama pemimpin di jabatan masing-masing. Mendapat kepercayaan rakyat merupakan satu penanda aras jabatan kerajaan berfungsi dengan baik. Hanya dengan menegakkan integriti pentadbiran, ekonomi dapat berfungsi dengan lebih baik sekali gus menjadikan kehidupan rakyat lebih sejahtera.
Selain itu, antara faktor penting lain dalam meningkatkan integriti ialah sokongan kuat daripada pemimpin politik. Sememangnya naluri manusia amat suka kepada kekuatan dan kekuasaan, namun di sebalik semua itu perlu disulami dengan semangat integriti, kebenaran dan telus dalam melaksanakan amanah yang telah diberikan.
Sokongan awam juga penting dan dalam hal berkaitan integriti. Media cetak dan elektronik perlu memainkan peranan aktif dalam menerbitkan contoh-contoh kes rasuah melibatkan pegawai kanan awam atau ahli politik.
Pihak media boleh memberikan perincian lengkap mengenai kesalahan dan hukuman dijatuhkan. Ini merupakan salah satu medium yang memberitahu kepada masyarakat akibat perlakuan rasuah dan memupuk iklim bahawa kerajaan serius dalam menangani segala isu berkaitan dengan rasuah dan salah guna kuasa.
Pepatah mengatakan, melentur buluh biarlah dari rebungnya dan mencegah itu lebih baik daripada mengubati. Apakah vaksin utama dan penting dalam kita menghadapi masalah berkaitan integriti ini?
Pendidikan awal amat penting dalam menyampaikan pada masyarakat kita yang berbilang kaum akan keburukan kesan rasuah dan salah guna kuasa.
Wujudkan silibus pelajaran berkaitan pencegahan rasuah, persatuan atau kelab beruniform di peringkat sekolah rendah. Semoga ada dalam kalangan mereka nanti yang kita dengar bercita-cita menjadi seorang pegawai SPRM dan mereka yang menjadi pewaris kepada pemerintahan negara ini akan dilengkapi dengan antibodi yang mampu melawan ‘virus’ rasuah dan salah guna kuasa pada masa hadapan serta mampu mendukung prinsip integriti secara berterusan.
KESIMPULAN
Kelompangan akan sentiasa wujud dalam peraturan dan pertimbangan dalam menguatkuasakan undang-undang ciptaan manusia. Nilai-nilai murni kepimpinan politik, jabatan kerajaan dan masyarakat secara keseluruhan itu sendiri adalah sebagai tanda kecemerlangan kita menangani isu integriti ini.
Dengan wujudnya titik keseimbangan, taraf hidup masyarakat secara keseluruhan akan mempengaruhi daya saing ekonomi negara di peringkat globalisasi.
Akhir kata, sentiasa ingatlah kepada firman Allah SWT yang bermaksud: “Telah datang kebenaran (Islam), dan hilang lenyaplah perkara yang salah (kufur dan syirik); sesungguhnya yang salah itu sememangnya satu perkara yang tetap lenyap.” (Surah al-Israk: 81).
PENULIS ialah Pengarah Bahagian Pemeriksaan & Perundingan, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).










