BERAKHIRNYA Pilihan Raya Umum (PRU) 2018, menyaksikan perubahan politik Melayu semakin lama semakin menyempitkan bagi setiap pemain politik. Terdapat masa kini parti arus perdana dan juga bukan arus perdana.
Parti politik arus perdana adalah yang mempunyai kerusi dalam setiap PRU selama 20 tahun dan dipimpin oleh tokoh politik dikenali umum.
Ia membawa satu aliran politik yang didominasi oleh parti tersebut. Mana-mana parti yang cuba merampas dominasi parti itu akan dilawan dengan pelbagai cara untuk menghalangnya.
Ini dilihat seperti Pas mendominasi aliran politik Islam, UMNO (nasionalis etno-Melayu), PKR (pluralis), DAP (sosialis demokrat), MCA (etno-Cina Semenanjung) dan sebagainya.
Dalam persaingan arus perdana, UMNO dilihat melawan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) dan lain-lain dalam satu kolam yang sama.
Pas pula melawan Parti Amanah Negara (Amanah), Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa), Parti Hizbul Muslimin Malaysia (Hamim) dan sebagainya.
PKR dan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) cuba mendominasi aliran politik nasionalis etno dan politik Islam tetapi kurang berjaya disebabkan hanya segmen politik Melayu kecil yang menyokongnya.
Dalam segmen politik Melayu, perlu dinilai dari empat ciri iaitu peranan kelas menengah, golongan berpendidikan agama, kesedaran politik anak-anak muda dan akhir sekali peranan wanita.
Untuk melihat penilaian segmen politik Melayu, sokongan ke atas aliran politik etnik Melayu masih kuat iaitu 50 peratus masyarakat Melayu.
Terdapat pula pertindihan antara aliran politik Islam dan nasionalis etno-Melayu iaitu 25 peratus. Ini bermakna terdapat pengundi yang merupakan ahli UMNO tetapi menyokong Pas dan sebaliknya ahli Pas tetapi menyokong UMNO.
Bagi aliran politik Islam juga mendominasi 50 peratus masyarakat Melayu. Aliran politik wanita masyarakat Melayu pula merangkumi 30 peratus yang berada dalam pelbagai aliran politik tetapi majoritinya hanya nasionalis etno dan politik Islam.
Bagi kesedaran politik dalam kalangan anak-anak muda, hanya 20 peratus daripada segmen politik Melayu yang terbahagi kepada pelbagai aliran politik termasuk parti baharu iaitu Muda yang condong liberal demokratik.
Untuk segmen politik Cina hanya terbahagi kepada dua iaitu aliran politik etnik Cina dan komunal. Gerakan yang merupakan aliran politik komunal telah dilemahkan semasa PRU 2008 oleh DAP. Ini menyebabkan segmen politik Cina hanya melihat MCA melawani DAP.
Bagi segmen politik India, juga terdiri daripada satu segmen iaitu aliran politik etno dan komunal iaitu MIC melawani DAP. Bagi parti-parti India lain, kurang memberi kesan ke atas penguasaan politik India.
NASIONALISME
Kesimpulannya, politik Melayu kini amat sesak dan sempit bagi mana-mana parti yang ingin menang dalam PRU15. Politik Cina dan India pula semakin lapang dan mampu menyatukan kaum bukan Melayu disebabkan persaingan adalah terhad dan boleh dimonopoli berbanding politik Melayu.
Jika diperhatikan, politik Melayu masih condong kepada nasionalisme etnokeagamaan manakala ada yang dilihat terbuka pada kerencaman etnik dan inklusif tetapi dalam julat yang kecil antara 20 hingga 25 peratus.
Perpaduan orang Melayu dari segi politik adalah rencam dan sukar. Ada masa perpaduan itu wujud bila ada ancaman dan wujudnya keinginan bekerjasama. Ada masa pula disebabkan ketokohan dan kepimpinan yang dapat menyatukan Melayu.
Walau apa pun, perpaduan politik Melayu perlu berlegar di sekitar prinsip keadilan, kepercayaan, belas ihsan serta kasih antara sesama parti Melayu termasuk rakyat marhaen dengan memberikan kebebasan untuk bersuara.
Suara rakyat adalah suara keramat dalam menentukan kuasa politik mana-mana parti untuk membentuk kerajaan.
Prinsip politik perpaduan Melayu sebegini turut dapat menyatukan warga Malaysia dari pelbagai etnik yang boleh digunakan sebagai pendekatan perpaduan merentas kaum.
Ini menjelaskan mengapa slogan Keluarga Malaysia yang memimpin perlu menjemput mana-mana parti yang tertarik kepada idea ke-Keluarga-an Malaysia.
Apa yang dipersepsikan sebagai kesesakan dalam ruang politik Melayu boleh digambarkan sebenarnya secara harfiah iaitu kebanyakan parti politik Melayu memainkan retorik sama dengan melaungkan perkataan demi Melayu dan demi Islam.
Ini bermakna UMNO terpaksa bersaing dengan parti politik Melayu lain yang juga mahu mempertahankan Melayu dan cuba bernafas dalam kolam sama.
Terlalu banyak parti politik Melayu menyebut dan melakukan atas perkara nama Melayu selama ini, yang sering kali meninggalkan Melayu tetap miskin serta bumiputera lainnya mengakibatkan mereka terpinga-pinga, mengapa mereka masih tertinggal secara sosioekonomi walaupun sudah 64 tahun negara ini merdeka?
Disebabkan itu, jika mana-mana parti politik Melayu yang mahu terus hidup secara politiknya seperti UMNO perlu membezakan diri mereka daripada yang lainnya dengan berusaha untuk membawa suara rakyat marhaen yang miskin dan terpinggir serta bukannya golongan elit yang berkuasa dan kaya.
Rakyat kini dapat membezakan politikus yang benar-benar mahu berkhidmat kepada rakyat dalam keadaan sosioekonomi yang tertekan dengan kenaikan harga barangan keperluan sehinggalah harga untuk pembinaan perumahan.
Apa yang pasti, rakyat dapat melihat lapangan politik Melayu sebenarnya sesak dengan politikus yang meletakkan kepentingan agenda peribadi berbanding rakyat umum.
DR. Iskandar Hasan Tan Abdullah ialah Pensyarah Kanan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kelantan.











