Kali terakhir saya bertemu penyanyi ini sekitar tahun 2018. Dia ketika itu merupakan salah seorang peserta program televisyen popular, Gegar Vaganza 5.
Jodoh, saya dan Zamani sekali lagi dipertemukan. Lebih tepat lagi setengah jam sebelum berlangsungnya sidang media konsert Slam Mentari Muncul Lagi baru-baru ini.
Penyanyi legenda ini berada pada liga tersendiri. Jujur, saya cukup menghormatinya. Popular dan disegani itu asbab kedua. Tetapi indah peribadinya, itu yang paling saya kagumi.
Maaf kalau terlalu memuji. Tetapi jarang sekali ada artis seperti ini, terlalu merendah diri. Buat Zamani, teruskan sifatnya yang seperti ini.
Saya mengajak dia duduk bersama, berborak-borak. Dia menyambut baik dan memudahkan kerja saya yang ditugaskan untuk menemu bualnya.
Zamani yang sebelum ini tular tentang masalah kesihatan, bersemangat. Tidak langsung menampakkan dia sakit atau apa.
Saya bertanyakan kepadanya, adakah dia sudah sihat sepenuhnya dan apa perkembangannya. Almaklumlah, banyak yang kita lihat dan baca sebelum ini.
“Setakat ini Alhamdulillah, kesihatan saya okay. Bagaimanapun, saya masih meneruskan rawatan. Alhamdulillah ada banyak kemajuan.
“Karier nyanyian saya baru nak bermula semula. Iyalah, dua tahun terpaksa diperlahankan gara-gara wabak Covid-19, banyak tertangguh.
“Sepanjang itu saya banyak duduk di rumah sahaja. Apabila keadaan sedikit stabil, ada juga saya buat dua tiga persembahan. Kemudian kes meningkat dan kita semua terpaksa berkurung balik. Jadi, saya buat aktiviti di rumah, latih nyanyian dan sebagainya,” jawabnya.
Saya selepas itu mengajak anak kelahiran Kuala Lumpur ini mengimbau, ketika dia mula-mula menceburkan diri, sebelum bersama Slam lagi.
Bukan apa, sebagai seorang yang membesar dengan lagu-lagu Slam, saya terpanggil untuk meminta figura ini berkongsi zaman itu, susah senang dia bermula sebagai penyanyi.
“Memang susah. Sebelum jadi artis, kerja keras. Dekat Kompleks Wilayah, saya selalu menyanyi di situ. Band sendiri pun ada, Karisma namanya. Ini cerita sebelum bersama Slam lagi. Kami hampir-hampir nak rakam lagu. Tapi ‘sangkut’.
“Saya pernah berdepan penolakan, waktu itu lah. Dua kali gagal. hantar demo dia orang tak mahu. Itu tempoh saya belajar. Tidak terus jadi penyanyi. Sampai putus asa pun ada.
“Kemudian saya beralih bidang, masuk pula bidang kewangan jadi kerani. Ketika itu sudah kerja sepenuh masa. jadi menyanyi pun saya tinggalkan,” ceritanya.
Tetapi rezeki tidak salah alamat. Pada 1993, penyanyi bersuara emas ini diundang untuk menghadiri uji bakat bagi mencari vokalis Slam.
“Slam asalnya memang ada penyanyi. Tetapi jodoh dia dengan kumpulan ini tidak lama selepas mengalami lumpuh peti suara. Jadi mereka pilih saya untuk menggantikannya.
“Mereka ini bukanlah kenalan saya dari kecil. Saya masuk kemudian. Mereka pula sesama sendiri sudah kenal lama. Tetapi mereka terima saya dengan cara yang cukup baik. Sampai sekarang, apa-apa pun saya akan berikan keutamaan untuk Slam,” ceritanya lagi.
Sejujurnya, penulis melihat betapa sayangnya Zamani terhadap Slam. Dia luahkan, betapa dia terlalu kecewa apabila kumpulan itu berpecah pada 1998.
“Sepanjang kerjaya sebagai penyanyi, kenangan pahit yang paling saya tak boleh lupa adalah apabila Slam berpecah. Kami bermula pada 1994 dan berpecah pada 1998. Empat tahun itu terlalu singkat. Sepatutnya tidak jadi begitu sebab banyak lagi yang tak capai.
“Kami tidak pernah bergaduh, jauh sekali tak sebulu. Perpecahan pun disebabkan masalah dari segi pengurusan.
“Masa itu saya dah putus asa, malas nak menyanyi. Mak saya setahun sebelum itu meninggal dunia. Saya pernah hilang arah hidup dan kemurungan. Hampir setahun jugalah saya hilangkan diri dari dunia seni,” ujarnya.
SEJARAH 3 OGOS 1996
Sejarah tercipta 25 tahun lalu. Pada 3 Ogos 1996 menjadi tarikh yang signifikan. Satu semenanjung Malaysia bergelap, terputus sambungan elektrik selama 12 jam.
Bagi kumpulan Slam, tarikh tersebut adalah momen paling bermakna, apabila mereka terpaksa melakukan konsert besar-besaran dengan bantuan set jentera untuk sumber elektrik.
“Masa itu Slam itu baru dua tahun. Kami gembira sebab dapat membuat konsert besar ketika itu. Tetapi bayangkan, bagaimana keadaannya ketika itu.
“Terpaksa guna set jentera untuk menghiburkan ribuan penonton yang datang menyaksikan konsert kami pada ketika itu. Mahu atau tidak, kena jalan juga.
Zamani menganggap konsert tersebut sebagai kenangan paling manis sepanjang 27 tahun dalam industri hiburan.
Katanya, kerana konsert itu, peminat mengabadikan Slam dalam ingatan mereka.
“Bagi saya, itulah kelebihan yang ada pada Slam. Kumpulan ini mungkin sama sahaja dengan band lain, tetapi orang ingat kami mungkin disebabkan konsert itu.
“Bagi kami itu satu sejarah yang kami cipta sendiri. Satu ketentuan yang membuatkan Slam masih diingati sehingga ke hari ini,’ katanya.
ZURIAT? ALLAH BAGI KAMI TERIMA
Hampir dua tahun penyanyi ini melayari kemanisan rumah tangga bersama suri hati pilihan, Nur Juliana Abdul Rani yang juga rakan karib sejak sekian lama.
Zamani nyata bahagia, begitu juga Juliana yang menjadi peneman setia ke mana sahaja penyanyi lagu Syair Si Pari-Pari ini berada.
Sebelum saya bertanyakan soal zuriat, saya terlebih dahulu memohon maaf sekiranya soalan itu sensitif buat kedua pasangan ini. Iyalah, lain orang lain penerimaan mereka berhubung soal ini.
Tetapi Zamani dan isteri tidak menolak memberi pendapat tentang itu. Katanya, dia serahkan semua kepada Tuhan.
“Kami tetap usaha untuk dapatkan zuriat. Walau apa pun saya tetap berserah kepada Allah. Apa sahaja yang Allah bagi kami terima.
“Usaha tetap ada. Saya pun dah masuk 50 tahun, nak juga ada anak. Tetapi itulah, kami berserah sahaja,” ujarnya.
Kata Zamani lagi, dia bersyukur kerana keadaan tidak memaksa untuk dia dan isteri mendapatkan zuriat.
“Tapi kami tetap cuba, mana tahu ada rezeki. saya selalu bincang perkara ini dengan isteri supaya kami tidak tertekan. Saya minta semua doakan,” tambahnya.











