PETALING JAYA: Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) dan Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) menegaskan naratif bahawa Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) disokong sepenuhnya oleh warga bukan bumiputera tetapi ditolak oleh bumiputera sahaja adalah salah dan mengelirukan.
Presiden DPMM dan Pengerusi MTEM, Abdul Halim Husin berkata, ratifikasi tersebut bukan sahaja memberi kesan kepada bumiputera di negara ini sebaliknya kepada seluruh rakyat Malaysia.
Kata beliau, manfaat yang diperoleh melalui perjanjian itu terlalu kecil jika dibandingkan dengan risikonya dan ia membahayakan ekonomi negara melihat kepada kesannya terhadap keseimbangan pegangan ekonomi antara kaum serta risiko tindakan undang-undang yang boleh dikenakan terhadap negara.
Beliau menjelaskan, CPTPP yang telah diratifikasi tertakluk kepada undang-undang Mekanisme Penyelesaian Pertikaian Pelabur-Negara (ISDS) yang kebiasaannya lebih memihak kepada pelabur.
“Kenyataan oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri baru-baru ini menunjukkan pengecualian untuk hak keistimewaan bumiputera adalah dalam bentuk tarik keluar (carve-out) terhad kerana ia terbatas kepada mengadakan lesen dan permit baharu atau lesen tambahan kepada bumiputera secara bersyarat.
“Tambahan pula, pengecualian ini hanya tertakluk kepada empat peruntukan di bawah bab Pelaburan dan Perdagangan dalam Sektor Perkhidmatan yang tidak akan dikecualikan daripada peruntukan Layanan Adil dan Saksama, Perampasan dan ISDS.
“Peruntukan inilah yang sering digunakan bagi menyaman negara yang ingkar,” katanya dalam kenyataan semalam.
Menurut Abdul Halim, telah banyak kajian oleh pakar tempatan dan asing yang merumuskan bahawa ratifikasi CPTPP hanya akan merugikan Malaysia dan pihaknya mengulangi pendirian supaya kerajaan lebih berhati-hati dan tidak terburu-buru meratifikasinya.
Beliau membangkitkan beberapa dapatan kajian seperti peningkatan nilai import sebanyak RM10 bilion berbanding eksport yang hanya meningkat RM516 juta serta kerugian RM6.4 bilion setahun melalui penghapusan duti import jika Malaysia meratifikasi CPTPP.
Kata beliau, perjanjian itu juga merugikan petani apabila Malaysia terpaksa menyertai konvensyen Kesatuan Antarabangsa Bagi Perlindungan Varieti Tumbuhan Baharu (UPOV) 1991 yang menyekat hak petani untuk menukar dan menjual benih yang dilindungi serta meningkatkan harga input pertanian. – UTUSAN










