PETALING JAYA: Program Keusahawanan Asnaf (ISHRAF), program khusus pembangunan usahawan Asnaf oleh SME Bank dengan rakan strategiknya, kini diperbesarkan dengan kerjasama Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) yang akan melibatkan usahawan Asnaf dari enam negeri.
Negeri terbabit ialah Perlis, Kedah, Negeri Sembilan, Melaka, Sabah dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
Majlis pelancaran Program ISHRAF 2.0 dan sesi menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara SME Bank dan YaPEIM telah disempurnakan oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC), Tan Sri Noh Omar dan turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Idris Ahmad.
“Melihat kepada kejayaan peserta Program ISHRAF 1.0 di mana 20 peserta telah berjaya mencatatkan jumlah jualan terkumpul sebanyak lebih RM1.35 juta bagi tempoh satu tahun menyertai program ini, ISHRAF 2.0 diluaskan skopnya dengan penyertaan 79 orang usahawan Asnaf dari hampir seluruh negara agar lebih ramai mendapat manfaat,” katanya Noh.
ISHRAF ialah inisiatif pembangunan usahawan Asnaf bersaiz mikro dan kecil yang akan membolehkan mereka meningkatkan kemahiran dan kebolehan untuk mengembang dan mengekalkan perniagaan dengan menggunakan teknologi digital.
Selain itu, seiring dengan Wawasan Kemakmuran Bersama dan konsep Keluarga Malaysia, mereka juga disasarkan untuk keluar daripada kategori penerima zakat kepada pembayar zakat.
Presiden Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank,Aria Putera Ismail berkata, SME Bank telah menyediakan dana zakat berjumlah RM600,000, manakala SME Corp. Malaysia (SME Corp.) turut menyokong program ini dengan menyediakan dana tambahan sebanyak RM190,000.
“Selain daripada mengikuti program latihan dan bimbingan yang komprehensif, setiap peserta akan diberi RM10,000 untuk digunakan bagi tujuan pembangunan perniagaan,” katanya.
Pusat Kajian dan Pembangunan Usahawan (CEDAR) telah dilantik sebagai pembimbing perniagaan yang akan menyediakan latihan dan memantau perkembangan peserta sepanjang program. – UTUSAN










