Proses pembenihan ikan merujuk kepada aktiviti penghasilan ikan yang dirancang dengan teliti dalam persekitaran terkawal. Semua jenis ikan boleh dihasilkan secara pembenihan namun teknik dan cabarannya adalah berbeza.
Sesetengah spesies benih ikan memerlukan penjagaan sangat rapi seperti benih ikan kerapu, ikan patin, ikan ketutu dan beberapa spesies yang lain.
Sebabnya morfologi dan tingkah laku bagi setiap spesies ikan adalah berbeza. Ini menyebabkan keperluan makanan dan cara penternakan termasuk kualiti air turut berbeza.
PROSES PEMBENIHAN IKAN
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Timbalan Pengarah Penyelidikan dan Inovasi, Institut Penyelidikan Marin Borneo, Universiti Malaysia Sabah (UMS), Dr. Faihanna Ching berkata, lazimnya proses pembenihan ikan mempunyai empat peringkat asas iaitu pengurusan induk, pemilihan induk, penyediaan sistem pembenihan ikan dan penyediaan makanan hidup.
Katanya, bagi pengurusan induk, ia perlu diternak sebaik mungkin sebelum pembenihan ikan boleh dilakukan memandangkan kualiti induk memainkan peranan yang penting untuk menentukan keberhasilan aktiviti pembenihan ikan.
Jelas beliau, pengurusan induk termasuklah penjagaan kualiti air dan pemberian makanan yang memenuhi keperluan nutrisi ikan agar induk ikan boleh mencapai kematangan optimum dan seterusnya menghasilkan telur berkualiti.
“Pemilihan induk ikan merupakan langkah penting di mana hanya induk ikan yang matang dan sihat tanpa sebarang kecederaan sahaja akan dipilih.
“Ini kerana induk ikan yang dipilih lazimnya akan menggunakan tenaga tinggi dalam proses pembiakan dan tahap kesihatan induk ikan perlulah dalam tahap optimum,” katanya.

Dr. Faihanna memberitahu, penyediaan sistem pembenihan ikan perlu dilakukan dengan betul terutama dalam penyediaan tangki asuhan dilengkapi dengan kualiti air baik bagi menyokong proses penetasan dan kemandirian benih ikan yang dihasilkan.
Katanya, memandangkan sistem tangki asuhan ikan adalah berbeza mengikut jenis ikan, penternak perlu terlebih dahulu mengetahui morfologi dan tingkah laku ikan agar sistem tangki asuhan betul boleh disediakan untuk mengoptimumkan kemandirian benih.
Menurut beliau, peringkat terakhir ialah penyediaan makanan hidup, kemandirian ikan di peringkat awal adalah bergantung kepada pemakanan awal yang diberikan.
“Makanan hidup seperti zooplankton adalah makanan terawal yang boleh dimakan dan dihadam oleh ikan dan ia perlu disediakan dalam kualiti yang baik dan kuantiti yang cukup bagi menampung keperluan nutrisi ikan.
“Kebanyakan aktiviti pembenihan ikan gagal disebabkan oleh pengurusan makanan hidup yang tidak mampan,” kongsinya.
Pembenihan ikan boleh dijalankan setelah keempat-empat peringkat asas ini dilakukan.
Teknik pembenihan ikan adalah berbeza bergantung kepada spesies tetapi lazimnya terbahagi kepada tiga teknik asas iaitu pembenihan secara semula jadi, pembenihan secara aruhan dan pembenihan separa aruhan.
Penternak boleh memilih teknik pembenihan ini bergantung kepada keupayaan dan keadaan.
KELEBIHAN PEMBENIHAN IKAN
Mengenai kelebihan pembenihan ikan, Dr. Faihanna berkata, proses itu memberikan lima faedah iaitu penghasilan ikan di luar musim pembiakan, kadar kemandirian dan pertumbuhan ikan boleh dimaksimumkan, pengeluaran makanan pantas, sumber ekonomi dan kualiti ternakan ikan lebih terjamin.

Selain itu, katanya, proses pembenihan ikan boleh dilakukan pada bila-bila masa tanpa perlu menunggu musim pembiakan yang lazimnya berlaku pada masa-masa tertentu dalam setahun.
“Apabila pembenihan ikan dilakukan dengan perancangan baik dalam persekitaran terkawal, kemandirian dan pertumbuhan spesies tersebut adalah lebih tinggi berbanding ikan yang dihasilkan di persekitaran semula jadi.
“Dengan mengambil faktor keselamatan benih ikan daripada dimakan oleh pemangsa, makanan yang tidak mencukupi dan ancaman kualiti air yang boleh membawa kematian kepada benih ikan.
“Antara tujuan pembenihan ikan adalah menghasilkan ikan sebagai sumber makanan. Akuakultur adalah industri pengeluaran makanan yang terpantas dibandingkan dengan industri penternakan binatang seperti lembu, ayam dan sebagainya.
“Contohnya, pembenihan ikan keli boleh menghasilkan maksimum 200,000 benih ikan dalam masa 24 jam.
“Pembenihan ikan yang dilakukan dalam persekitaran terkawal turut menjamin kualiti ikan yang diternak.
“Ini sekali gus meningkatkan kepercayaan orang awam terhadap kebersihan dan kualiti ikan yang diternak berbanding ikan ditangkap dalam persekitaraan semulajadi tanpa mengetahui tahap kebersihan air,” katanya.
KAWASAN PEMBENIHAN IKAN
Menurut Dr. Faihanna, tempat pembenihan ikan ataupun lebih dikenali sebagai pusat penetasan (hatcery) boleh dibuka di mana-mana asalkan berdekatan dengan sumber air tidak tercemar dan mempunyai kemudahan logistik (jalan raya) yang mudah membawa masuk atau keluar benih ikan dan keperluan penetasan.

Katanya, sebaik-baiknya pusat penetasan ini mempunyai dua bahagian yang mempunyai ruang terbuka dan tertutup untuk mengekalkan persekitaran ikan pada tahap optimum.
“Pembenihan ikan adalah tidak susah. Dengan teknik, ilmu pengetahuan dan persediaan yang betul, semua orang boleh menghasilkan benih ikan seterusnya membantu penghasilan makanan negara,” kongsinya.










