GEORGETOWN: Pertubuhan Komuniti India Muslim Malaysia (IMcom) kesal dengan tindakan segelitir netizen yang dikatakan ‘cepat melatah’ berhubung isu penyebaran maklumat berkaitan harga makanan terutama yang dipasarkan di restoran nasi kandar di negeri ini.
Ini susulan isu harga dua ekor sotong goreng RM100 di sebuah premis popular di Pulau Mutiara yang tular dalam media sosial Facebook, kelmarin.
Presidennya, Mohamed Rizwan Abdul Ghafoor Khan berkata, tindakan menyebarkan maklumat tanpa menyelidik kepastian sehingga menimbulkan tanggapan negatif dalam kalangan warganet sepatutnya tidak berlaku.
Menurutnya, tindakan pihak tidak bertanggungjawab itu bukan sahaja mendatangkan impak terhadap pemilik premis berkenaan tetapi pengusaha restoran nasi kandar lain di negeri ini.
“Sebelum menyebarkan sebarang maklumat, selidik dahulu apa yang berlaku. Jangan cepat melatah dan pantas menularkan perkara yang boleh membangkitkan banyak kegusaran terhadap pengguna (peminat nasi kandar) lain.
“Prihatin sama nasib pengusaha restoran nasi kandar yang rata-ratanya baru hendak merasai kehadiran ramai peminat tegar makanan itu.
“Pengguna juga perlu tahu keadaan kami ketika ini yang berdepan dengan isu kenaikan harga barangan mentah yang berubah pada setiap hari termasuk sayur-sayur sejak bulan lalu,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.
Beliau memberitahu, pihaknya tetap berlapang dada dengan isu itu apabila hidangan asli nasi kandar masih mendapat sambutan yang menggalakkan dalam kalangan penggemarnya biarpun terpalit dengan isu sotong goreng tersebut.
Sementara itu, pengusaha restoran nasi kandar Hameediyah di pusat bandar Georgetown di sini, hanya mempunyai kurang 24 jam untuk memberikan maklum balas Notis Pengesahan Maklumat Barangan (NPMB) sehingga esok (26 November).
Kegagalan pengusaha mengemukakan maklum balas serta harga kos dan jualan bagi sotong goreng boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Kawalan Harga Dan Anti Pencatutan 2011.
Dalam perkembangan sama, tular pula gambar pemandangan feri ikonik Pulau Mutiara yang berlatarbelakangkan gambar seekor sotong segar yang diletakkan di lokasi keberadaan Komplek Tun Abdul Razak (Komtar).
Gambar tersebut turut mendapat perkongsian ramai netizen menerusi status WhatsApp sejak pagi semalam. – UTUSAN ONLINE











