PETALING JAYA: Hanya lima peratus syarikat tersenarai mendedahkan imbuhan terperinci pengurusan kanan mereka, menurut Suruhanjaya Sekuriti (SC).
Menurut SC, ia merupakan tahap pemakaian paling rendah di bawah pemakaian Kod Tadbir Urus Korporat Malaysia (MCCG).
Pengerusi SC, Datuk Syed Zaid Albar berkata, ketelusan mengenai gaji adalah penting untuk meningkatkan kesejajaran antara gaji dan prestasi.
“(Ia juga) untuk pemegang saham menilai sama ada struktur insentif memacu tingkah laku yang sewajarnya,” katanya dalam kenyataan sempena pengeluaran Keutamaan Strategik Tadbir Urus Korporat (Keutamaan Strategik CG) 2021-2023.
Keutamaan Strategik CG antara lain meningkatkan pencapaian matlamat alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dan kepimpinan lembaga pengarah.
SC menggariskan 11 inisiatif yang disasarkan seperti program induksi untuk para pengarah mengenai kemampanan, siri pendidikan pelabur berhubung tadbir urus korporat dan kemampanan dan peningkatan kerjasama dengan universiti untuk meningkatkan kefahaman belia mengenai isu semasa tadbir urus korporat dan kemampanan.
“Kesediaan dalam ESG bukan lagi satu pilihan bagi syarikat, kerana pihak berkepentingan menjangkakan tingkah laku yang lebih bertanggungjawab, mampan dan memberi tumpuan kepada iklim.
“Jangkaan ini akan meningkat dari semasa ke semasa dan oleh itu, lembaga perlu bersedia dari segi ESG,” katanya.
Dalam pada itu, SC mengingatkan syarikat tersenarai bahawa mereka perlu berusaha mencapai sasaran 30 peratus pengarah wanita dalam meraih manfaat dengan mempunyai kepelbagaian dalam lembaga pengarah.
“Pada masa ini, hanya 162 syarikat tersenarai mempunyai sekurang-kurangnya 30 peratus wanita dalam lembaga pengarah mereka,” katanya.
Menurut laman web Bursa Malaysia, terdapat sebanyak 948 syarikat tersenarai pada tahun ini.
Syed Zaid Albar berkata, agar sesebuah syarikat kekal bertahan dan berdaya saing, semasa dan selepas pandemik, lembaga pengarahnya harus mampu memanfaatkan idea, pandangan dan penyelesaian yang berbeza daripada para pengarah.
“Pengerusi Jawatankusa Penamaan harus bertindak dan memastikan proses pemilihan pengarah memudahcarakan pelantikan individu yang layak dalam lembaga pengarah,” jelas beliau. – UTUSAN











