NESTI platform pengkomersialan sistem simpanan tenaga - Utusan Malaysia

NESTI platform pengkomersialan sistem simpanan tenaga

ADHAM Baba mencuba Kereta Lumba Elektrik Berkuasa Hidrogren (HyPER) selepas pelancarannya, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Program Inisiatif Teknologi Penyimpanan Tenaga NanoMalaysia (NESTI) akan dilaksanakan bermula tahun hadapan sebagai platform perintis nasional dalam usaha membangun dan mengkomersialkan sistem penyimpanan tenaga untuk mobiliti elektrik, kegunaan di dalam sektor domestik dan industri serta penyelesaian mudah alih.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, peruntukan pembangunan khusus sebanyak RM2 juta pertama bakal diberi untuk program NESTI yang akan diusahakan dalam tempoh dua tahun.

Ujarnya, NanoMalaysia merupakan agensi pelaksana dan pemantau yang dilantik bagi Dana Penyelidikan Strategik untuk program Enabling Mobility Electrification for Green Economy (EMERGE) bagi melengkapkan ekosistem teknologi tenaga boleh diperbaharui dan penyimpanan tenaga dengan penyertaan daripada industri, komuniti penyelidik dan pengguna akhir.

“Program ini dijangka dapat menarik cadangan untuk mengatasi isu strategik nasional termasuk berkenaan teknologi tenaga lestari, mengembangkan rantaian nilai dan penciptaan perkhidmatan atau produk baharu dalam ekosistem teknologi yang mesra alam sekitar dan pengurangan penggunaan bahan api.

“MOSTI ini merupakan langkah yang wajar dan tepat pada masanya untuk menyelaraskan keperluan industri dan seterusnya meningkatkan kadar pengkomersialan dengan lebih pesat,” katanya pada majlis pelancaran Nesti dan Kereta Lumba Elektrik Berkuasa Hidrogren (HyPER), di sini semalam.

Mengulas mengenai HyPER, Adham menjelaskan, kereta lumba elektrik berkuasa hydrogen itu dijana oleh Sistem Penyimpanan Tenaga Hidrogen dan Hibrid (H2SS) yang merupakan gabungan sistem penyimpanan tenaga hibrid dengan bateri lithium ion (Li-Ion) dan ultracapacitor berasaskan graphene, serta susunan sel bahan api dengan sistem penjanaan hidrogen.

Kata beliau, penggunaan penjanaan hidrogen di dalam sistem H2SS membolehkan ketumpatan kuasa yang lebih tinggi dan pengecasan pantas berbanding kenderaan berasaskan Li-Ion konvensional.

“Pengenalan HyPER ini adalah bertepatan dengan visi MOSTI yang memberi tumpuan kepada pembangunan industri pengeluaran kenderaan cekap tenaga.

“Justeru, diharap industri sukan permotoran yang mempunyai pembangunan yang pantas akan mendapat manfaat daripada HyPER dan seterusnya kepakaran yang diperolehi dapat dimanfaatkan pula oleh sektor-sektor lain kelak,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×