SEPANG: Kerajaan memperuntukan sejumlah RM1.756 bilion untuk negeri Selangor di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, peruntukan untuk 2022 itu adalah bagi membiayai projek sambungan dan projek baharu aset-aset kerajaan.
Beliau berkata, sebanyak RM1.684 bilion daripada peruntukan itu melibatkan projek sambungan manakala baki RM72 juta adalah untuk projek baharu.
“Peruntukan untuk projek sambungan termasuk untuk menaik taraf jalan raya, pembinaan jalan baharu di Serendah, pembinaan pusat kardiologi Hospital Serdang dan pembinaan Hospital Tanjung Karang,” katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri sesi jelajah Pasca RMK12, Unit Perancangan Ekonomi Jabatan Perdana Menteri (JPM) bersama Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari di sini, semalam.
Mustapa berkata, kerajaan mengambil maklum tentang isu infrastruktur yang dibangkitkan oleh Menteri Besar yang juga relevan di semua negeri dalam hasrat menjadi negara berpendapatan tinggi, kerajaan berusaha menyediakan infrastruktur terbaik kepada rakyat termasuk kemudahan air, jalan raya, sekolah dan hospital.
Sementara itu dalam pertemuan tersebut, kedua-dua pihak turut memberi fokus kepada tiga lagi isu utama yang perlu diselaraskan di peringkat negeri dan pusat iaitu melibatkan bidang aeroangkasa, digital dan kemahiran serta peluang pekerjaan kepada golongan muda.
“Daripada pertemuan ini banyak yang telah kita bincangkan, dan banyak yang boleh kita selaraskan dalam aerongangkasa yang ada di Selangor dan pelan tindakan peringkat Pusat di mana kedua-dua bidang memerlukan libat urus yang lebih berkesan supaya lebih sehaluan.
“Begitu juga dalam bidang digital di mana Selangor mempunyai Smart Selangor manakala MyDigital di peringkat pusat. Kita telah bersetuju untuk mengadakan sebuah platform mengumpulkan kerajaan pusat dengan semua kerajaan negeri untuk berkongsi perancangan dan mesyuarat pertama berkaitan penyelarasan ini akan diadakan pada Januari depan,”katanya.
Selain itu, Mustapa berkata, dalam pertemuan itu mereka juga berbincang untuk melatih kemahiran anak muda untuk mengurangkan penggunaan buruh asing melalui penyelarasan dengan Kementerian Sumber Manusia membabitkan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
“Kita akan latih dan beri kemahiran kepada anak muda untuk mengurangkan penggunaan buruh asing. Kita ada ramai pemuda tiada pekerjaan tapi dalam satu sudut masih ramai buruh dan pekerja asing.
“Perkongsian daripada semua kerajaan negeri perlu diselaraskan dengan kementerian-kementerian termasuk Kementerian Sumber Manusia yang banyak merancang aktiviti melibatkan TVET untuk memastikan keperluan industri dapat dipenuhi,” katanya.
Sementara itu, Amirudin berkata, di bawah RMK12 sebanyak 10 projek sambungan akan diteruskan pada tahun depan termasuk membina dan menaik taraf Lingkaran Pulau Indah Fasa Tiga melibatkan kos sebanyak RM887 juta dan pembinaan jalan baharu di kawasan UMW High Value Manufacturing Park (UMW HVMP) di Serendah melibatkan kos RM121 juta.
“Ini (jalan baharu) penting sebab UMW HVMP adalah kawasan seluas 323.75 hektar untuk pembinaan sektor aeroangkasa.
“Sekarang ini dalam sekitar 121.4 hektar saja baru digunakan. Dengan adanya jalan ini, saya percaya ada banyak lagi perkilangan baharu yang akan dibuka di sana dan akan menggerakkan Serendah sebagai kawasan bernilai tinggi,” katanya. – UTUSAN










