HLB bantu 219 sekolah - Utusan Malaysia

HLB bantu 219 sekolah

KAKITANGAN HLB menyampaikan sumbangan barangan makanan kering di bawah kempen `Demi Kita, Demi Malaysia’ kepada Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Yu Hua Kajang, baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sebanyak 219 sekolah di seluruh negara dan lapan dapur umur sekitar Lembah Klang menerima sumbangan sebanyak 76.1 tan makanan kering daripada Hong Leong Bank dan Hong Leong Islamic Bank (HLB) melalui kempen `Demi Kita, Demi Malaysia.’

Kempen tersebut yang berlangsung selama sebulan, memberi peluang kepada warga kerja HLB di seluruh negara berganding bahu menyalurkan bantuan makanan kepada komuniti terjejas oleh pandemik Covid-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Kempen berkenaan membantu seramai 4,952 pelajar serta 9,000 individu yang memerlukan bantuan dan sokongan makanan kering.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif HLB, Domenic Fuda berkata, tahun ini HLB membawa perubahan untuk komuniti yang terjejas akibat pandemik dengan jangkauan melibatkan sekolah dan dapur umum.

“Oleh itu, untuk kempen ‘Demi Kita, Demi Malaysia,’ kami menumpukan pelajar dari kelompok berpendapatan rendah yang jarang menerima bantuan kerana mereka tinggal
bersama keluarga.

“Selain itu, HLB juga ingin menyokong usaha dapur umum komuniti dan penyedia makanan di Lembah Klang yang bertungkus lumus membantu penerima bantuan makanan harian yang bilangannya semakin hari, semakin bertambah,” katanya dalam kenyataan.

Kakitangan HLB bekerjasama rapat dengan pengetua dan guru besar sekolah di daerah masing-masing untuk mengenal pasti pelajar dan keluarga mereka yang memerlukan bantuan makanan serta barang dapur.

Untuk dapur umum pula, sumbangan wang berjumlah RM90,000 disalurkan kepada lapan  organisasi iaitu Pit Stop Community Café, SEED Foundation, Dapur Jalanan KL, Need to Feed
the Need, Kechara Soup Kitchen, Pertiwi Soup Kitchen, Seso Malaysia dan Street Feeders KL.

Ketua Pegawai Pemasaran dan Komunikasi HLB, Zalman Zainal pula berkata, ‘Demi Kita, Demi Malaysia’ ialah kempen tanggungjawab sosial tahunan HLB, dan bertujuan membantu masyarakat Malaysia di waktu kini yang serba mencabar.

“Tahun ini, kempen yang berlangsung selama sebulan berhasrat meningkatkan kesedaran awam tentang beban kewangan yang dihadapi komuniti dan keluarga disebabkan pandemik yang berlarutan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×