KOTA BHARU: Siapa sangka, lelaki yang berniaga barang basah murah di sebuah gerai di pasar pagi Kampung Parit, Pasir Tumboh, di sini semalam rupa-rupanya pelakon tersohor, Datuk Adi Putra.
Di gerai tersebut, Adi Putra atau nama sebenarnya, Mohamed Hadi Putera Halim, 40, sekadar mengenakan harga RM10 bagi setiap dua kilogram ikan atau ayam bersama sayur-sayuran dijualnya.
Memandangkan harga ditawarkan luar biasa murah, orang ramai tidak putus-putus singgah membeli sambil beramah mesra bersama aktor yang sinonim dengan watak Jai dalam filem KL Gangster itu.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Adi Putra berkata, jualan murah tersebut adalah aktiviti khidmat masyarakat beliau bersama Puteri UMNO menerusi Program Pasar Pagi Puteri bagi membantu rakyat yang terkesan akibat pandemik Covid-19.
“Program ini bukan sahaja kita buat di Kelantan, sebaliknya diperluas di seluruh negara kerana kita ingin bantu dan menyantuni golongan yang terjejas akibat pandemik menyerang negara kita.
“Sesuai dengan slogan Keluarga Malaysia, kami berusaha mendekatkan diri dengan masyarakat berbilang bangsa sambil meringankan beban mereka, ” katanya ketika ditemui di gerai tersebut, semalam.
Turut kelihatan tidak menang tangan melayan pelanggan di gerai ialah Naib Ketua Puteri UMNO, Datuk Nurul Amal Mohd. Fauzi.
Nurul Amal dalam pada itu berkata, program pasar pagi tersebut mendapat sambutan menggalakkan apabila penduduk keluar beramai-ramai membeli barang basah untuk keperluan keluarga masing-masing.
“Saya lihat jualan murah kami buat besar maknanya bagi rakyat, terutama kepada mereka yang dihimpit kemiskinan. Kami gembira dapat bantu ringankan beban orang ramai.
“Bayangkan, ada antara pelanggan bawa RM10 yang digenggam erat dalam tangan kerana hanya itu sahaja yang dia ada,” katanya sambil memberitahu program itu akan dibuat secara berperingkat di seluruh negara. – UTUSAN ONLINE










