PETALING JAYA: Penemuan bukti-bukti baharu kemungkinan besar tetap tidak dapat membantu pasukan petugas khas untuk mencabar keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) terhadap pemilikan Pulau Batu Puteh.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr. Rais Yatim yang merupakan bekas Menteri Luar pada Mac 2008 hingga April 2009 menyifatkan, sebarang penemuan bukti-bukti baharu menjadi tidak bermakna jika rayuan tidak dibuat dalam tempoh ditetapkan oleh ICJ.
Justeru katanya, pasukan petugas khas perlu mengkaji sedalam-dalamnya sama ada wajar membongkar semula bukti-bukti pemilikan pulau tersebut.
“Saya mendapati pembuktian setelah kes ini diputuskan tidaklah boleh dianggap sebagai membantu, walaupun ada pihak yang mengatakan dia mempunyai penemuan baharu dari segi dokumen di London dan sebagainya.
“Satu perkara ialah di bawah peraturan ICJ, apabila sudah terlewat 10 tahun, maka usaha untuk mengkaji semula secara penghakiman sudah habis. Ia mesti dalam tempoh 10 tahun, itu kena dikaji oleh pihak berkenaan,” katanya.
Pada masa sama, beliau juga tidak yakin keputusan itu boleh dicabar berdasarkan fakta-fakta yang dikemukakan kepada ICJ, lebih 10 tahun lalu.
“Mesti dilihat konteks dan bukti sejarah tentang peranan negeri Johor dalam mengendalikan Batu Puteh dan telah diputuskan oleh mahkamah sebagai bukti bahawa Kerajaan Negeri Johor menyerahkan kuasa pada 1953 kepada pihak British itu, diambil oleh ICJ sebagai bukti substantif.
“Kedua ialah bukti bahawa Johor tidak ada memainkan peranan pengawasan, pengelolaan ataupun lawatan rasmi dalam tempoh hampir 100 tahun. Jadi, alasan-alasan ini sudah diambil oleh ICJ yang menyatakan kes tuntutan oleh Malaysia itu tidak dapat dipertimbangkan. Justeru ia masih berada dalam genggaman kuasa pengawasan dan pengelolaan British yang telah diambil alih kuasanya menerusi kemerdekaan Singapura sendiri,” katanya.
Beliau mengulas mengenai peluang negara untuk mencabar keputusan terhadap pemilikan Pulau Batu Puteh, selepas 11 individu membentuk pasukan petugas khas minggu lalu.
Pasukan yang dipengerusikan oleh bekas Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali akan menumpukan kepada semakan semula undang-undang berhubung tuntutan Pulau Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan, yang perlu mengemukakan dapatan dan syor kepada mesyuarat Kabinet dalam tempoh enam bulan.
ICJ pada 23 Mei 2008 memutuskan Pulau Batu Puteh sebagai milik Singapura manakala Batuan Tengah sebagai hak kedaulatan mutlak Malaysia, namun status Tubir Selatan belum dimuktamadkan.











