Untung bersih S3 SD Plantation meningkat kepada RM610 juta - Utusan Malaysia

Untung bersih S3 SD Plantation meningkat kepada RM610 juta

Menurut syarikat itu, hasil bagi tempoh itu juga meningkat 19 peratus kepada RM4.38 bilion berbanding RM3.67 bilion bagi tempoh sama tahun sebelumnya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Untung bersih Sime Darby Plantation Berhad (SD Plantation) pada suku ketiga (S3) bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021, meningkat kepada RM610 juta daripada RM190 juta suku sama tahun sebelumnya.

Bagi tempoh sama, keuntungan sebelum cukai dan faedah (PBIT) SD Plantation turut meningkat kepada RM925 juta daripada RM332 juta S3 2020.

Pencapaian itu diterjemahkan kepada prestasi cemerlang untuk tempoh sembilan bulan berakhir 30 September 2021, dengan Kumpulan mencatatkan PBIT sebanyak RM2.65 bilion dan untung bersih RM1.79 bilion, peningkan masing-masing sebanyak 74 dan 73 peratus tahun ke tahun, jelas syarikat tersebut dalam kenyataan.

Pengerusinya, Tan Sri Megat Najmuddin Megat Khas berkata, Kumpulan gembira kerana berada di landasan untuk menghampiri tahun kewangan 2021 yang kukuh.

“Harga minyak sawit mentah (MSM) tinggi sememangnya satu rahmat untuk seluruh industri.

“Keadaan Covid-19 yang semakin pulih secara global memberi petanda baik untuk industri dan perniagaan di mana sahaja, dan Kumpulan akan terus mengharapkan sokongan pasukan yang dihargai semasa kami bersedia untuk memanfaatkan pemulihan ekonomi pada masa akan datang,” katanya.

Pengarah Urusan Kumpulan, Mohamad Helmy Othman Basha pula berkata, tempoh 21 bulan yang lalu merupakan cabaran buat Kumpulan dengan kekurangan tenaga buruh yang serius ditambah pula dengan sekatan pergerakan.

“Justeru, Kumpulan mengalu-alukan keputusan kerajaan membenarkan industri mengambil semula pekerja asing.

“Pandemik memerlukan Kumpulan untuk memberi tumpuan kepada keperluan kritikal dalam mempercepatkan mekanisasi, automasi dan pendigitalan operasi perladangan, untuk mengurangkan pergantungan kepada tenaga buruh.

“Sime Darby Plantation menerajui penciptaan semula operasi perladangan dan akan terus meningkatkan usaha untuk mengubah sifat bekerja di ladang.

“Kami juga mempergiatkan usaha untuk mengambil lebih ramai pekerja tempatan. Ketika berusaha meningkatkan inisiatif mekanisasi, kami menjangka dapat menarik lebih ramai rakyat Malaysia yang berkemahiran tinggi,” katanya.

Dalam pada itu, SD Plantation menjangkakan harga MSM kekal tinggi sekurang-kurangnya sehingga akhir tahun sebelum kemungkinan menurun pada suku kedua 2022 apabila bekalan dijangka bertambah baik.

Katanya, harga yang tinggi akan membantu mengimbangi kesan kekurangan buruh terhadap pengeluaran huluan Kumpulan di Malaysia.

“Kumpulan menjangkakan permintaan akan kekal kukuh kerana lebih banyak negara melonggarkan sekatan Covid-19, mengembalikan semula permintaan. Kumpulan menjangkakan keseluruhan tahun kewangan yang kukuh untuk 2021,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×