Perkukuh ekonomi bumiputera di pusat beli-belah GLC - Utusan Malaysia

Perkukuh ekonomi bumiputera di pusat beli-belah GLC

Kerajaan akan memperkukuhkan ekonomi bumiputera di pusat beli-belah milik GLC- Gambar hiasan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan berhasrat menyemak semula pengurusan pusat beli-belah yang dimiliki syarikat milik kerajaan (GLC) supaya diuruskan syarikat tempatan dalam memastikan peniaga-peniaga bumiputera dapat menjalankan perniagaan di situ.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ini kerana golongan bumiputera didapati masih rendah dari segi pemilikan premis perniagaan di pusat beli-belah berprestij dan lokasi-lokasi tumpuan pelancongan.

Beliau berkata, walaupun ada antara pusat beli-belah dimiliki GLC, namun peniaga bumiputera masih kurang berkemampuan mendapatkan ruang perniagaan di premis berkenaan kerana kadar sewa tinggi selain faktor persaingan.

Perkara itu dibincangkan dalam Mesyuarat Majlis Kemakmuran Bumiputera (MKB) menerusi sidang video semalam dipengerusikan Perdana Menteri bagi membincangkan usaha memperkasa dan memperkukuh pembangunan ekonomi dan sosioekonomi bumiputera.

“Mesyuarat turut mencadangkan agar kuota jumlah premis perniagaan milik bumiputera di lokasi-lokasi strategik diwujudkan selaras dengan usaha meningkatkan daya saing dan mengukuhkan ekonomi bumiputera.

“Namun kuota ini akan diuruskan dengan cara telus dan adil agar matlamat utama untuk membantu perniagaan bumiputera yang layak dan berpotensi tercapai, tanpa disalah guna sehingga tersasar daripada objektif sebenar, sejajar dengan aspirasi Keluarga Malaysia,” kata beliau dalam kenyataan semalam.

Langkah kerajaan itu kesinambungan meningkatkan ekonomi bumiputera seperti dilakukan kerajaan menerusi Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang diperkenalkan pada tahun 1970.

Teras dalam DEB memberi tumpuan terhadap usaha membasmi jurang kemiskinan antara kaum dan menyusun struktur ekonomi dalam usaha memastikan bumiputera dapat memainkan peranan dalam ekonomi moden.

Perdana Menteri yang juga Pengerusi Majlis Kemakmuran Bumiputera berkata, penglibatan golongan itu dalam perolehan kerajaan juga didapati memperoleh sebanyak 80 peratus daripada nilai kontrak tahunan keseluruhan agensi kerajaan.

Pada masa sama, kata beliau, kerajaan komited untuk memastikan GLC dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) turut menyokong aspirasi penglibatan syarikat bumiputera dalam perolehan mereka.

Ismail Sabri memberitahu, peluang penyertaan syarikat bumiputera terbuka luas dalam projek-projek pembangunan sistem rangkaian 5G oleh sebuah syarikat milik penuh kerajaan.

“Syarikat bumiputera akan mendapat manfaat sehingga 60 peratus daripada anggaran keseluruhan kos projek bagi tempoh 10 tahun pelaksanaannya.

“Sistem perolehan akan diurus dengan telus dan adil supaya hanya syarikat bumiputera yang layak atas merit akan mendapat manfaat tersebut,” katanya.

Bagi menambahbaik tadbir urus serta penyampaian perkhidmatan mandat dan fungsi berkaitan bumiputera, Perdana Menteri berkata, kerajaan akan menubuhkan Unit Pemerkasaan Agenda Bumiputera (UPAB) di setiap kementerian dan agensi kerajaan bagi menyelaras semua inisiatif, dasar dan agenda bumiputera seperti yang diputuskan di peringkat MKB.

TERAJU selaku sekretariat MKB, jelas beliau, turut membentangkan persiapan pelancaran Tindakan Pembangunan Bumiputera 2030 (TPB2030) yang dijadualkan berlangsung pada 6 Disember ini di Kuala Lumpur.

Katanya, fungsi dan peranan TERAJU akan diperkasa dalam memastikan agenda bumiputera akan terus relevan dan kompetitif dengan perkembangan ekonomi semasa.

Turut dibincangkan dalam mesyuarat berkenaan ialah isu-isu berkenaan penglibatan bumiputera dalam projek nasional berskala besar seperti 5G, Bank Digital, polisi perolehan GLC dan GLIC serta isu-isu berkaitan ekuiti bumiputera yang masih rendah.

Selain itu, kata Perdana Menteri, mesyuarat turut membincangkan kadar peratusan pemilikan aset bumiputera, khususnya dalam pemilikan perumahan dan premis komersial, namun menerusi Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12), kerajaan menetapkan untuk membina lebih 500,000 rumah mampu milik untuk golongan bersasar khususnya bumiputera.

Justeru, kata beliau, kerajaan akan memastikan rumah yang dibina bukan sekadar mampu milik tetapi lebih berkualiti dengan lokasi lebih strategik. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×