KUALA LUMPUR: Duopharma Biotech Berhad (Duopharma Biotech) mencatatkan pertumbuhan kukuh pada suku ketiga 2021 dengan peningkatan 21 peratus dalam keuntungan sebelum cukai (PBT) kepada RM22.48 juta.
Pertumbuhan itu disokong oleh permintaan yang lebih tinggi daripada sektor penjagaan kesihatan pengguna dan kesihatan awam.
Menurut Dyopharma Diotech, keuntungan bersihnya (PAT) pada suku dilaporkan meningkat 20 peratus kepada RM16.96 juta.
“Ia menghasilkan pendapatan sesaham yang lebih tinggi sebanyak 1.80 sen, berbanding 1.52 sen pada tahun sebelumnya. Secara kumulatif, keuntungan bersih melonjak 18 peratus dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun ini kepada RM49.97 juta, berikutan peningkatan hasil sebanyak 13 peratus berjumlah RM493.73 juta,” katanya dalam kenyataan.
Mengulas pencapaian tersebut, Pengarah Urusan Kumpulan Duopharma Biotech, Leonard Ariff Abdul Shatar berkata, penekanan yang lebih besar oleh kerajaan kepada industri utama seperti farmaseutikal di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) yang diumumkan baru-baru ini, memberi petanda baik bagi pendapatan masa depan syarikat.
Kata beliau, peningkatan peruntukan untuk penjagaan kesihatan di bawah Bajet 2022 juga merupakan satu lagi perkembangan positif.
“Tidak dinafikan bahawa penjagaan kesihatan dan farmaseutikal akan terus menjadi sektor penting dalam kehidupan kita. Kami kekal yakin dengan prospek jangka panjang syarikat walaupun berdepan keadaan yang mencabar pada 2021,” katanya.
Beliau menambah, jangkaan bahawa ekonomi akan beransur pulih pada suku-suku akan datang apabila lebih banyak sektor perniagaan kembali beroperasi, seterusnya merangsangkan lagi sentimen dan kepenggunaan dalam kalangan orang ramai.
Dalam pada itu, pengedaran vaksin Covid-19 dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan Duopharma Biotech bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021.
Syarikat farmaseutikal itu pada Oktober lalu, mula mengedar vaksin Covid-19, COVILO daripada Sinopharm. Ia menyumbang kepada kempen vaksinasi kebangsaan.
Duopharma Biotech memiliki dan mengendalikan tiga kilang pembuatan berpangkalan di Klang, Bangi dan Glenmarie, Selangor.
Duopharma Biotech turut mempunyai anak syarikat di Filipina dan Singapura. Sebuah anak syarikat Duopharma Biotech mempunyai pejabat perwakilan di Jakarta, Indonesia. – UTUSAN










