PETALING JAYA: SEDANIA Innovator Berhad (SEDANIA), melalui anak syarikatnya, Offspring Inc Sdn. Bhd. (Offspring) mengumumkan pembukaan pasaran baharu di Vietnam.
Pembukaan pasaran di Vietnam, negara yang mencatatkan perkembangan ekonomi terpantas di Asia, susulan kejayaan syarikat membuka pasaran di negara-negara Asia Pasifik termasuk Singapura, Brunei, Filipina, Kemboja dan Thailand.
Pengembangan Offspring di rantau Asia Pasifik adalah usaha penting syarikat dalam meneruskan langkah menakluki pasaran global. Offspring kini berada di tiga benua iaitu Asia, Eropah dan Amerika Utara, kata syarikat itu dalam kenyataan.
Pengasas dan pengarah urusan SEDANIA, Datuk Azrin Mohd. Noor berkata, perancangan pengembangan pasaran kami di rantau Asia Pasifik adalah bersasar dan dirancangkan tepat pada masanya.
“Perancangan ini akan menjadi penyumbang utama kepada objektif kewangan dan operasi Kumpulan secara keseluruhan.
“SEDANIA melaporkan kadar kelahiran bayi di Vietnam direkodkan seramai 1.7 juta bayi baru lahir pada tahun 2020. Berdasarkan maklumat ini, Offspring menyasarkan untuk memperoleh bahagian pasaran berjumlah lebih RM55 juta setahun,” katanya.
Menurut Azrin, Vietnam adalah antara tiga negara tertinggi dari segi potensi bahagian pasaran di antara negara Asian.
Pihaknya menjangkakan Vietnam akan menjadi salah sebuah negara yang akan menjadi penyumbang utama kepada pendapatan Offspring.
“Kami sangat teruja untuk memasarkan rangkaian barangan Offspring yang berkualiti tinggi, bebas bahan kimia dengan aspirasi untuk menjadikan Vietnam sebagai pusat pengedaran di Asia Tenggara,” katanya.
SEDANIA memiliki 51 peratus kepentingan dalam Offspring, syarikat teknologi kesihatan yang memberi tumpuan khusus pada penjagaan awal kanak-kanak, antaranya menghasilkan produk bayi organik berkualiti tinggi.
Offspring adalah perintis dalam produk berasaskan organik di rantau ini, yang menawarkan lampin bayi mesra alam, tisu basah terbiodegradasi, barangan penjagaan kulit, dan barangan isi rumah berasaskan bahan bukan toksik, organik, dan berasaskan tumbuhan.
Baru-baru ini, SEDANIA melaporkan keputusan kewangan untuk suku kedua berakhir 30 Jun 2021 dengan pendapatan Kumpulan melonjak hampir 10 kali ganda kepada RM10.84 juta berbanding RM1.11 juta tempoh yang sama 2020. Keuntungan selepas cukai Kumpulan melonjak kepada RM8.11 juta untuk separuh pertama 2021. – UTUSAN










