PETALING JAYA: Universiti Malaysia Terengganu (UMT) menawarkan khidmat kepakaran kepada Tourism Malaysia bagi menarik lebih ramai pelancong, sambil merancakkan kempen pemuliharaan alam sekitar.
Majlis menandatangani kerjasama itu telah diadakan di Putrajaya, semalam.
Naib Canselor UMT, Prof. Dr. Mazlan Abd. Ghaffar berkata, kolaborasi itu mampu memberi impak besar dalam pengukuhan aktiviti pelancongan domestik dan antarabangsa.
Beliau berkata, melalui kerjasama itu pelbagai projek dan program strategik telah dirangka, antaranya cadangan penyelidikan antara UMT dan Tourism Malaysia.
“Hasil penyelidikan sebenarnya dilihat mampu meningkatkan budaya keusahawanan, membuka peluang pekerjaan, membangunkan produk pelancongan baharu di kalangan komuniti serta berupaya memberikan impak positif bagi peningkatan ekonomi kualiti taraf hidup komuniti.
“Dengan adanya kolaborasi ini, pihak universiti dapat memperkasakan penawaran EduPelancongan (EduTourism) kepada pelancong tempatan mahupun luar negara sekali gus berupaya mempromosikan keunikan pelancongan marin di Terengganu,” katanya dalam kenyataan.
Menurut Mazlan, antara inisiatif penyelidikan UMT yang boleh diketengahkan ialah Turtle Lab dan Program Sukarelawan SEATRU, Program Kraftangan Kercut Beting Lintang di bawah projek Mek Flora Setiu, Bengkel Coral Restoration dan pelbagai lagi program di bawah seliaan penyelidik UMT.
Kebanyakan penyelidikan dijalankan di empat Stesen Penyelidikan Alami UMT Pulau Bidong, Chagar Hutang Pulau Redang, Tasik Kenyir dan Tanah Bencah Setiu, katanya.
“Pemeteraian perjanjian kolaborasi itu memperkasakan lagi usaha dan inisiatif penyelidikan serta dapat memberikan manfaat kepada kedua-dua pihak sekali gus memartabatkan inisiatif sektor pelancongan ke tahap yang lebih tinggi,” tambah beliau. – UTUSAN










