Mara jalin kerjasama lahir bumiputera profesional - Utusan Malaysia

Mara jalin kerjasama lahir bumiputera profesional

MAJLIS menandatangani kerjasama antara Mara, ACCA dan MICPA di Kuala Lumpur, kelmarin.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Majlis Amanah Rakyat (Mara) memeterai memo­randum persefahaman (MoU) dengan Persatuan Akauntan Bertauliah Berkanun (ACCA) dan Institut Akauntan Awam Bertauliah Malaysia (MICPA) bagi melahirkan lebih ramai pelajar profesional di samping memastikan kebolehpasaran graduan membina kerjaya dalam bidang perakaunan.

MoU itu ditandatangani oleh Ketua Pengarah Mara, Datuk Azhar Abdul Manaf sementara ACCA diwakili Pemangku Ketua Portfolio ACCA Maritim Asia Tenggara, Andrew Lim dan MICPA diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Novie Tajuddin.

Majlis tersebut disaksikan oleh Pengerusi MARA, Datuk Seri Azizah Mohd. Dun; Pemangku Ketua ACCA Malaysia, Hishamuddin Abdul Jalil dan Naib Presiden MICPA, Datuk Gan Ah Tee.

Kerjasama itu antara lain memberi fokus dalam memantau proses pembelajaran dan prestasi para pelajar bagi mencapai objektif, memberi latihan sokongan dan pembangunan bagi persediaan kerjaya serta menggunakan rangkaian perhubungan industri badan profesional dalam kebolehpasaran pelajar-pelajar tajaan Mara.

“Kerjasama yang mempunyai nilai tambah kepada pelajar di bawah tajaan MARA ini akan memberi peluang pekerjaan yang berimpak tinggi untuk meningkatkan taraf hidup bumiputera terutamanya daripada kalangan B40,” kata Azizah dalam kenyataan.

Sebelum ini, Mara melalui Kolej Profesional Mara Ayer Molek dan ACCA berkolaborasi dalam melaksanakan program ACCA-X sebagai blended learning sehingga melahirkan para pelajar yang melakar kejayaan dalam peperiksaan bukan sahaja di Malaysia, malahan di peringkat dunia.

Sementara itu, Hishamuddin berkata, pihaknya percaya penerapan nilai-nilai kepimpinan dan kepertanggungjawaban di peringkat awal meningkatkan kebolehpasaran para pelajar selepas menamatkan pengajian.

“Malahan ada yang telah disunting majikan meskipun belum menamatkan pengajian mereka,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×