Sekitar 1 peratus sahaja kena gangguan seksual - Zed Zaidi - Utusan Malaysia

Sekitar 1 peratus sahaja kena gangguan seksual – Zed Zaidi

ZED ZAIDI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Zed Zaidi mengakui pihaknya tidak menerima banyak aduan rasmi berkaitan jenayah seksual dalam industri seni tempatan.

Zed atau nama sebenarnya, Rozaidi Abdul Jamil berkata, jumlah aduan bertulis yang direkodkan adalah terlalu sedikit berbanding cerita-cerita yang tular dalam kalangan penggiat seni tempatan.

“Saya anggarkan sekitar satu peratus sahaja. Ini kerana mangsa tidak membuat aduan secara rasmi kepada kami.

“Kalau mangsa anggap perkara ini serius, mereka perlu tampil membuat aduan secara rasmi.

“Tanpa aduan bertulis, kita tak dapat sahkan sejauh mana kesahihan dakwaan yang dibuat,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Mengulas lanjut, Zed berkata terdapat beberapa faktor yang mungkin menyebabkan mangsa enggan membuat aduan.

“Mungkin mangsa takut nak kedepan. Ini melibatkan maruah. Mungkin juga mereka khuatir hilang tawaran berlakon dan sebagainya,” ujarnya.

Dalam pada itu, Zed menggesa mana-mana artis yang berdepan gangguan seksual ketika bekerja segera tampil membuat aduan.

Jelasnya, tindakan itu perlu agar salah laku seksual melibatkan penggiat seni dapat dibanteras dan ditanggani sebaiknya.

“Kadang kita hanya mendengar cerita, tiada aduan secara rasmi. Jadi susah untuk ditetapkan sejauh mana kebenaran dakwaan yang dibuat.

“Seniman memandang serius perkara ini dan kami ikut saluran serta prosedur undang-undang yang betul.

“Mangsa boleh datang ke pejabat kami. Kami akan bantu mereka, mengikut prosedur yang betul,” jelasnya.

Selain, Zed berkata aduan rasmi secara bertulis penting untuk menentukan jenis tindakan susulan yang akan diambil.

“Bila aduan diterima, kita akan bawa kepada pihak berkuasa. Kalau gangguan diterima di media sosial, kita bawa kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) manakala Kalau berlaku di set penggambaran dan sebagainya, kita rujuk kepada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) dan pihak polis,” tambahnya.

Pada masa yang sama, Zed juga memberitahu Seniman telah melantik jawatankuasa disiplin yang antara lain juga menilai jenis tindakan yang boleh diambil terhadap pesalah-pesalah seksual yang terdiri dalam kalangan penggiat seni.

“Kita akan ambil tindakan berdasarkan hukuman yang dijatuhkan oleh mahkamah terhadap pelaku,” tegasnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×