Tanpa kempen terbuka PRN Melaka paling mencabar - Utusan Malaysia

Tanpa kempen terbuka PRN Melaka paling mencabar

ANGGOTA tentera beratur untuk pengundian awal di SK Terendak 2, Melaka, semalam. – UTUSAN/RASUL AZLI SAMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka boleh dikatakan paling mencabar dalam sejarah perjalanan pilihan raya negara ini sejak 1955.

Sebelum ini, mana-mana kempen pilihan raya boleh dilakukan secara bebas, sebaliknya PRN itu menyaksikan sekatan kempen sekali gus menghadkan pergerakan calon dan jentera parti untuk bertemu pengundi.

Langkah itu diambil ekoran keputusan Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk mengelakkan penularan virus Covid-19 dan tidak mengulangi kes situasi PRN Sabah meskipun kadar vaksinasi keseluruhan penduduk mencapai 76.1 peratus.

Pemerhati politik justeru itu menyifatkan pilihan raya ‘norma baharu’ telah menyukarkan jentera parti untuk mengetahui mood atau kecenderungan pengundi menjelang hari pengundian pada Sabtu ini.

Perkara sama juga diakui pemimpin parti politik ketika ditemui Utusan Malaysia apabila mereka mengeluh untuk berkempen secara bebas manakala sebarang pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) boleh dikompaun dengan serta-merta.

Malah para media yang berkampung di negeri ini juga sukar membuat ramalan terhadap kehendak pengundi dan parti manakah yang akan menang dalam pilihan raya itu apabila calon mengambil langkah berkempen secara dalam talian.

Jika sebelum ini, kecenderungan pengundi terhadap parti mana bakal diundi boleh diketahui pada minggu awal kempen pilihan raya, sebaliknya situasi berbeza dalam PRN Melaka ini.

Sehingga kini, masih sukar untuk membuat ramalan dan jangkaan awal terhadap parti yang berpotensi menang dan menyebabkan ramai calon buntu dalam tempoh kempen berbaki tiga hari.

Halangan ceramah bersemuka dan kempen secara fizikal iaitu mengunjungi rumah ke rumah pengundi telah memberikan kesan besar kepada calon dan jentera untuk mengajak pengundi agar turun mengundi mereka.

Hal ini kerana kebanyakkan mood atau kecenderungan pengundi hanya boleh diketahui dengan hasil tinjauan jentera menerusi aktiviti kempen ke rumah dan ini boleh memberikan gambaran awal kepada potensi masing-masing.

Kemungkinan sudah tibanya calon dan jentera parti wajar memikirkan kaedah baharu untuk mengenali sejauh mana kecenderungan pengundi terhadap calon bertanding.

PRN Melaka boleh dijadikan medan eksperimen dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan calon diketengahkan bagi memperhalusi semula gerak kerja agar peratusan keluar mengundi tidak terjejas ekoran SOP yang ketat ini. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×