#KisahSiswa cetus semangat, inspirasi - Utusan Malaysia

#KisahSiswa cetus semangat, inspirasi

MAHDZIR Khalid (kiri) dalam majlis pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara Mara Corp dan Talent Corp di ibu negara, baru-baru ini. – UTUSAN/MOHD. FARIZWAN HASBULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MARA Corporation Sdn. Bhd. (Mara Corp) mewujudkan 2,000 peluang pekerjaan profesional dan melahirkan kira-kira 64,000 graduan setahun yang mampu memenuhi tuntutan industri dan mempunyai daya kebolehpasaran tinggi di alam pekerjaan.

Menurut Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid, peluang pekerjaan profesional diberikan kepada graduan Majlis Amanah Rakyat (Mara) di bawah Institusi Pendidikan Mara (Ipma) serta pelajar tajaan agensi itu.

Saya berpeluang menemu bual tiga pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang mengikuti program #KisahSiswa anjuran Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp) dan Mara Corp untuk mengetahui kelebihan dan faedah yang mereka peroleh.

Ryan Juman Freddy berkata, program berkenaan membantunya meningkatkan skil komunikasi terutama dengan rakan pelajar dan pengurusan UiTM.

“Tambahan pula, #KisahSiswa memberi pendedahan dalam mengendalikan sesuatu acara secara lebih profesional.

“Bukan itu saja, sebagai duta program ini, saya juga berupaya untuk membina hubungan dan rangkaian dengan rakan-rakan dari pelbagai latar belakang, kepakaran dan bidang pengajian,” katanya.

Ryan Juman kini mengikuti jurusan Ijazah Sarjana Muda Pengajian Bahasa Gunaan (Kepujian) Bahasa Inggeris Komunikasi Antara Budaya. Pengajiannya sudah bermula 12 Oktober lalu.

Baginya, jurusan tersebut amat menarik dari segi penguasaan bahasa Inggeris serta pengetahuan budaya khususnya dalam aspek global dan tempatan.

Jurusan itu juga baginya mampu melahirkan sikap keterbukaan dan toleransi bersama masyarakat dunia dan tempatan. Setiap komuniti mempunyai identiti dan tradisi tersendiri yang berkemungkinan sama atau berbeza dengan budaya masyarakat Malaysia

Dalam pada itu, Muhammad Faiz Nordin memberitahu, ada tiga perkara utama yang dipelajarinya dalam #KisahSiswa.

Pertama, rangkaian. Jelasnya, program tersebut membuka rangkaian baharu, segar dan bermanfaat dengan ramai individu berbakat dari pelbagai industri. Peluang sedemikian amat-amat jarang diperoleh di tempat lain.

Kedua, pengurusan majlis. “Saya diajar mengendalikan sesuatu program besar dari A hingga Z dengan bantuan kakitangan TalentCorp dan peserta-peserta #KisahSiswa lain. Saya teruja dapat melihat bagaimana sesuatu program itu bermula dari kosong hingga berjaya sepenuhnya,” katanya.

Ketiga, pengalaman korporat. Meskipun pandemik Covid-19 mengehadkan pergerakan hingga terpaksa dilakukan secara dalam talian, dia diajar bagaimana organisasi seperti TalentCorp dapat mengekalkan prestasi. Ini membuka mindanya bagaimana dunia korporat boleh kekal dalam perubahan global.

Muhammad Faiz berhasrat untuk berkhidmat dalam sektor swasta selepas tamat pengajian. Dia bercita-cita membentuk bidang pembangunan modal insan yang lebih berkualiti dan dapat membina hubungan baik sama ada di dalam ata dengan organisasi di luar atau dalam negara.

Dia bersyukur kerana keluarga dan rakan-rakan amat menyokong segala usaha yang dilakukannya. Malah dia menyifatkan sokongan sedemikian membuatkannya lebih bertenaga dan bersemangat untuk menjayakan segala aspirasi.

Bagi Nuradriana Alwi Alhady, menyertai program #KisahSiswa memberi kesan positif dalam kehidupannya sebagai seorang pelajar. Bertemu ramai pelajar dari pelbagai latar belakang memberikannya banyak idea baharu.

Dia berupaya meningkatkan keupayaan diri semasa mengepalai projek seperti skil komunikasi dan skil kepimpinan termasuk kreativiti dan skil pemikiran kritikal.

“Program ini juga membantu saya untuk lebih yakin terutama dalam berkongsi dan mengetengahkan idea-idea.

“Saya boleh katakan sepanjang enam bulan program ini memberi banyak manfaat dalam pelbagai perkara,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×