Malaysia dapat gred D dalam Indeks Integriti Pertahanan Kerajaan - Utusan Malaysia

Malaysia dapat gred D dalam Indeks Integriti Pertahanan Kerajaan

ANGGOTA Angkatan Tentera Malaysia (ATM) membuka kawat duri yang dipasang di sekitar kawasan Putra Point, Nilai, Negeri Sembilan yang sebelum ini dikenakan PKPD sejak 28 Oktober lalu. -UTUSAN/MUHAMMAD IZZAT TERMIZIE
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia sekadar meraih 45 mata atau gred D dalam Indeks Integriti Pertahanan Kerajaan (GDI) bagi tahun 2020, hasil penyelidikan Transparency International (TI) Pertahanan dan Keselamatan yang berpusat di United Kingdom.

Presiden TI-Malaysia, Dr. Muhammad Mohan berkata, GDI menilai negara-negara dan institusi pertahanan mereka serta menilai sejauh mana kawalan dalam menguruskan risiko rasuah merentasi lima bidang risiko utama pertahanan iaitu penggubalan dasar dan hal ehwal politik, kewangan, pengurusan kakitangan, operasi ketenteraan dan perolehan.

“Malaysia mendapat 45 atau penarafan D yang menunjukkan daya tahan institusi yang lemah terhadap rasuah. Di peringkat global, New Zealand menduduki tempat teratas dengan skor 85 dan negara yang lebih teruk ialah Sudan dengan skor 5.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kami menggesa kerajaan untuk melihat secara serius risiko rasuah yang tinggi dalam sektor pertahanan dan mengambil langkah segera untuk mengurangkan risiko ini,” katanya dalam kenyataan.

Muhammad Mohan menjelaskan, terdapat beberapa punca Malaysia mencatatkan mata yang rendah dalam GDI.

“Ketelusan belanjawan, misalnya, telah lama dihadkan. Belanjawan pertahanan yang diterbitkan hanya menyediakan satu angka umum dan bukannya pecahan secara menyeluruh perbelanjaan merentasi semua fungsi.

“Antara pemerhatian lain mengapa skor Malaysia rendah adalah pengawasan undang-undang yang lemah terhadap belanjawan, bidaan berdaya saing rendah untuk perolehan, tiada ombudsman bebas untuk menangani aduan dan kurang ketelusan data,” katanya.

Muhammad juga menggesa kerajaan membuat pendedahan penuh mengenai kelewatan penghantaran kapal Littoral Combat Ship dan helikopter McDonnell MD503G kerana menganggap projek-projek ini telah lama tertangguh.

“Ketelusan yang tinggi dan akauntabiliti dalam kedua-dua kes ini akan menunjukkan bahawa kerajaan serius terhadap tadbir urus yang baik dalam sektor pertahanan,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini