MUKADIMAH
Pas Melaka mempunyai hubungan baik dengan UMNO dalam Muafakat Nasional (MN). Namun atas perkembangan terkini yang berlaku, rakan gagasan yang terbentuk sebelum ini kini menjadi seteru politik dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Bagaimana Pas mahu berdepan dengan situasi ini, wartawan Meor Harman Meor Shakri menemubual Pesuruhjaya Pas Melaka, Datuk Kamaruddin Sidek bagi mengupas persoalan yang rumit ibarat ‘ditelan mati emak, diluah mati bapa’.
Bagaimana Datuk melihat peluang Pas?
Kamaruddin: Pas sudah buat persiapan awal sebab ura-ura sebelum ini pun kita digembar gembur Pilihan Raya Umum (PRU) akan berlaku bila-bila masa. Jadi tiada masalah besar. Dari segi jentera Perikatan Nasional (PN), Bersatu ada jentera sendiri, begitu juga Pas. Jadi kita gabung sahajalah. Lagipun kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang kita bertanding adalah DUN yang pernah kita tandingi dahulu. Kita memang ada asas kukuh di situ.
Apakah strategi Pas?
Sekarang semua parti mengalami masalah, sama ada Pakatan Harapan (PH), PN dan Barisan Nasional (BN). Sebab kita terima SOP yang kita rasakan ketat. Jadi kami terpaksa memikirkan strategi baharu. Calon kena kreatif. Senjata paling ampuh ialah media sosial.
Kita beri hampir 80 peratus kempen kita kepada media sosial. Oleh kerana ziarah fizikal terhad, jadi kita lepak di kedai-kedai kopi. Kita bertemu rakyat di situ secara kebetulan. Kita juga buat ceramah iklan secara digital. Kita akan keluarkan ucapan calon-calon untuk tatapan pengundi-pengundi.
Siapakah calon-calon Pas yang bertanding?
Daripada lapan calon bertanding, tiga merupakan muka lama bertanding di DUN Duyong, Serkam dan Merlimau. Yang lain muka-muka baharu berlatarbelakangkan golongan pendidik, pegawai bank dan jurutera dan selebihnya lulusan universiti pendidikan agama.
Saya boleh katakan kita boleh menang beberapa kawasan DUN. Namun, seperti yang sama sebut dari awal, semua parti akui dalam suasana sekarang yang menyaksikan pertandingan lebih daripada tiga penjuru, semua parti tidak mampu membentuk kerajaan sendiri.
Bagaimana dengan masa depan Muafakat Nasional (MN) di Melaka?
Apabila keputusan dibuat oleh Majlis Syura, kita ahli parti kena akur. Cuma saya tidak nafikan usaha untuk menyelamatkan MN tetapi akhirnya menemui jalan buntu. Saya jalankan usaha sehingga dapat keputusan di kedua-dua pihak. Di peringkat negeri okey, cuma di peringkat pusat gagal. Pas sebenarnya dari awal kita terbuka. Sebab kita telah letakkan Pas ini berpolitik matang. Pas telah banyak bertoleransi.
Di peringkat Pusat macam mana?
Saya difahamkan di peringkat pusat, kita tidak boleh putuskan sebab itu agenda penyatuan Melayu. Tak bolehlah sebab pilihan raya kita nak putuskan. Mungkin kita panas sementara, dan selepas pilihan raya seperti saya sebut kita boleh bergabung balik di bawah kerajaan campuran.
Keutamaan ‘serangan’ (politik) kita kepada PH. Agenda Pas untuk beri keutamaan menghalang PH daripada berkuasa semula di Melaka. Sebab itu Pas akan menggunakan pendekatan tidak menyerang UMNO terlalu agresif sangat. Tapi apabila dah bertembung, kita sebutlah orang panggil ala kadar. – UTUSAN










