Orang Melayu kuasai ilmu bedil - Utusan Malaysia

Orang Melayu kuasai ilmu bedil

Kitab Ilmu Bedil yang disimpan oleh Pusat Dokumentasi Melayu (PDM), Dewan Bahasa dan Pustaka.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Benarkah orang Melayu sudah menguasai teknologi ilmu bedil berdasarkan catatan dalam manuskrip Melayu?

Antara yang tidak terlepas daripada catatan sejarah manuskrip tersebut adalah penglibatan orang Melayu dalam teknologi persenjataan seperti yang dinyatakan dalam Kitab Ilmu Bedil yang disimpan oleh Pusat Dokumentasi Melayu (PDM), Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Kitab tersebut yang didaftarkan sebagai MS101 dan dirujuk sebagai Kitab Tib yang bermaksud ubat dalam bahasa Arab.

Naskhah tersebut mengandungi 790 patah perkataan yang ditulis dalam kepingan kertas dalam bentuk akordian di atas kertas Eropah berwarna krim.

Kedua-dua muka hadapan dan belakang diperbuat daripada kulit dengan ilustrasi halus dan gaya hiasan Arabes Melayu menggunakan dakwat emas.

Tengku Abdullah Tengku Ahmad yang merupakan keluarga diraja Kelantan adalah orang terakhir yang memiliki manuskrip tersebut yang kemudiannya diserahkan kepada DBP pada 1965.

Kitab Ilmu Bedil adalah sebuah manuskrip Melayu yang dikategori sebagai genre ilmu tradisional, ditulis pada pertengahan abad ke-19 tentang ilmu persenjataan Melayu.

Antara kandungan kitab tersebut adalah kaedah membuat senjata teknik, kemahiran menembak, kedudukan menembak tepat dan membuat peluru dengan panduan ilmu makrifat.

Wan Mohd. Dasuki Wan Hasbullah.

 

Menurut pengkaji ilmu bedil tempatan, Wan Mohd. Dasuki Wan Hasbullah, manuskrip ilmu bedil tersimpan di merata tempat seperti Perpustakaan Negara dan DBP.

Meskipun begitu katanya, penilaian agak sukar dibuat sama ada orang Melayu dahulu sudah menguasai ilmu tersebut, kerana sukar memperoleh buktinya.

Namun kata beliau, berdasarkan manuskrip-manuskrip itu, jelas menunjukkan orang Melayu mengetahui cara penggunaan senjata api dan membuat ubat bedil secara spesifik menurut aturan-aturan yang tertentu.

Berkemungkinan menurut beliau, orang Melayu memang membuat sendiri ubat bedil, tetapi lama-kelamaan mereka lebih selesa bergantung kepada sumber bekalan daripada orang Barat.

Ini kerana membuat ubat bedil terutama penggalak bukan kerja yang mudah.

Sejak abad ke-18, orang Melayu bergantung kepada import ubat bedil tetapi secara kecil-kecilan mereka masih juga membuatnya.

Menurut beliau, sebenarnya sudah ada tulisan-tulisan orang Eropah zaman dahulu yang menyebut tentang kepandaian orang Melayu menggunakan bedil.

Contohnya, William Marsden yang menulis History of Sumatra menyebut tentang kepandaian orang Minangkabau membidik burung di atas pokok, dan pandai membuat senapang.

“Persoalan­nya sekarang ialah maklumat-maklumat seperti ini berada dalam bahan-bahan langka (jarang berlaku) yang memerlukan orang tertentu untuk mencari, membaca dan mendedahkannya.

“Justeru masyarakat atau orang awam tidak ramai yang tahu dengan jelas, kerana mereka mungkin kurang membaca, dan sukar hendak mendapatkan bacaan-bacaan langka begini, ‘’ ujar beliau.

Misalnya, bahan tersebut mungkin terdapat di perpustakaan khusus seperti pusat manuskrip atau arkib.

Malangnya orang ramai jarang pergi ke tempat-tempat seperti ini. Mereka tentu mengharapkan ahli akademik.

“Ketika saya mula menjalankan kajian ini pada 2007, sangat kurang bahan-bahan bacaan mengenai perkara ini, (berbanding) sekarang, telah semakin banyak ditemukan.

“Ia bukanlah seperti yang ramai orang fikirkan bahawa perkara-pekara seperti ini sengaja disembunyikan, melainkan tidak dapat memperolehinya kerana kurang mengkaji atau membaca,” katanya.

Keadaannya sama seperti dalam hal teknologi senjata api Melayu ini, iaitu proses untuk merungkai faktanya satu demi satu sedang dilakukan, dan ia bukan suatu kerja yang boleh diselesaikan dengan cepat.

Berkongsi lebih lanjut, beliau berkata, terdapat dua jenis sistem persenjataan Melayu yang diketahui pada hari ini iaitu senjata tajam dan senjata api.

Senjata tajam melibatkan pergerakan libas, tetak, tikam, pancung, rejam manakala senjata api pula untuk menembak, sama ada dengan penggunaan senapang mahu pun artileri.

Selain itu, beliau percaya bahawa orang Melayu juga tentulah turut menggunakan alat-alat pembakar dan letupan seperti periuk api, sebagaimana yang diamalkan oleh bangsa-bangsa lain di dunia ini.

Amalan seperti itu dapat dikesan menerusi teks-teks hikayat atau sastera lisan yang bercerita tentang kisah-kisah peperangan.

Malah dalam tradisi lisan, bukan hanya tertulis dalam manuskrip-manuskrip, penggunaan bacaan-bacaan (mantera) tertentu juga dalam sebuah kompleks ritualnya berlaku, yang bermula dengan cara memegang senapang,

memasukkan peluru dan melepaskan tembakan, yang perlu difahami dalam konteks kepercayaan tradisional.

“Jika kita mempelajari sejarah, maka ubat bedil sehingga kini terbukti datang dari China.

Ia merupakan penemuan tidak sengaja.

“Salah satu teori menyebut bahawa jumpaan itu berkait dengan penyusunan resipi untuk membuat eliksir (elixir). Kemudian resipi ubat bedil dimajukan oleh orang Arab dan kembali pula kepada orang China,” kata beliau.

Juara sebenarnya adalah orang Eropah kerana berkat kesungguhan, mereka menjadi juara persenjataan sampai ke hari ini.

Kejayaan manuskrip tersebut menerima pengiktirafan Memory of The World Commitee For Asia and The Pacific (MOWCAP) pada 2016 sebenarnya memiliki banyak signifikan.

Kejayaan tersebut direkodkan secara rasmi oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-bangsa Bersatu (Unesco).

“Salah satu teori menyebut bahawa jumpaan itu berkait dengan penyusunan resipi untuk membuat eliksir (elixir). Kemudian resipi ubat bedil dimajukan oleh orang Arab dan kembali pula kepada orang China,” kata beliau.

Juara sebenarnya adalah orang Eropah kerana berkat kesungguhan, mereka menjadi juara persenjataan sampai ke hari ini.

Kejayaan manuskrip tersebut menerima pengiktirafan Memory of The World Commitee For Asia and The Pacific (MOWCAP) pada 2016 sebenarnya memiliki banyak signifikan.

Kejayaan tersebut direkodkan secara rasmi oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-bangsa Bersatu (Unesco).

Bedil dan peluru berbeza

Menurut Wan Mohd. Dasuki Wan Hasbullah, pada zaman dahulu, ubat bedil dan peluru merupakan entiti yang berbeza.

Katanya, ubat bedil merujuk kepada serbuk hasil campuran bahan sendawa, arang dan belerang yang dihancurkan dan digaul menurut nisbah tertentu.

Ia kemudian dikeringkan dan akhirnya wujud berupa serbuk.

“Dalam bahasa Inggeris ia dipanggil gun powder, warnanya kelabu-gelap dan berbau sulfur,” ujar beliau.

Ubat bedil sebenarnya terbahagi dua iaitu yang pertama dikenali sebagai penggalak.

Penggalak merupakan sejenis ubat yang halus butirannya (fine powder) dan berwarna lebih cerah yang digunakan untuk mencucuh bedil. Ia dimasukkan ke lubang penggalak yang terdapat pada pangkal bedil.

Lubang penggalak itu bersambung liangnya dengan bahagian dapur-dapur bedil.

Bahagian kedua adalah ubat bedil atau dipanggil ubat oleh orang Melayu yang dimasukkan ke dalam laras bedil melalui muncung senapang, sebelum dimasukkan peluru.

Sesudah dimasukkan ubat itu, lepas itu peluru, yang kadang-kadang dibalut dengan penebat.

Penebat selalunya diperbuat daripada kertas atau sabut kelapa, atau perca kain yang disobek kecil-kecil untuk membalut peluru.

Kemudian ia akan diradak masuk sampai ke pangkal bedil dan berada di bahagian dalam iaitu pada dapur-dapur bedil.

Penggalak yang terbakar akibat pencucuhan senapang akan merebak masuk ke dapur-dapur bedil, justeru menjangkiti ubat dalam dapur-dapur berkenaan.

Itulah yang menjadikan letusan senapang dan memaksa peluru keluar. Peluru pula ialah butiran kecil berbentuk bulat, selalunya dalam berbagai saiz yang dibuat daripada plumbum atau timah.

Kadang-kadang peluru juga terdiri daripada batu, kaca dan sebagainya .

Pada zaman sekarang ubat bedil itu telah berada dalam kelongsong peluru, iaitu pada bahagian tengah.

Pada bahagian pangkalnya ada fius, dahulunya digunakan sebagai penggalak yang apabila peluru itu diketuk akan jadi panas.

Apabila panas, ubat bedilnya terbakar dan menyebabkan ada tenaga muncul untuk melepaskan butir (anak) peluru keluar mencari sasaran tembakannya. Kelongsong peluru itu dilepaskan keluar daripada kebuk atau ruang (chamber) bedil.

Dalam pada itu Wan Mohd Dasuki memberitahu, beliau sedang meneliti ramuan ubat bedil dan menyesuaikannya secara fizikal menurut penisbahan sebagaimana yang tercatat dalam manuskrip.

“Tetapi saya belum lagi merancang untuk menguji sejauhmana efektifnya campuran itu, ‘’ ujarnya.

“Orang Melayu patut bangga dengan perkara itu, tetapi berbangga sahaja tidak mencukupi, apakah perkara-perkara yang dapat kita usulkan, adaptasi, perbaharui, atau bangunkan sesuai dengan apa yang kita dapat daripada warisan teknologi itu,’’ kata beliau.

Beliau memberi contoh di Jepun, senjata api tradisional turut dilibatkan dalam sektor pelancongan dengan adanya Festival Tanegashima.

Orang Melayu sebenarnya tidak perlu pergi lebih jauh apabila bercakap tentang soal senjata api.

Beliau mempersoalkan apa telah berlaku dan ke mana perginya senjata-senjata yang orang Melayu miliki sekarang seperti keris, badik, sundang, lawi ayam?

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×