MELAKA: Langkah mencalonkan Pengerusi DAP Melaka, Datuk Tey Kok Kiew menggantikan penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bemban, Datuk Dr. Wong Fort Pin di kawasan majoriti Melayu menimbulkan seribu persoalan.
Apakah sifir yang diguna pakai kepemimpinan utama DAP meletakkan calon heavyweight seperti Kok Kiew di situ, sedangkan Fort Pin seorang doktor perubatan yang mempunyai klinik di Bemban sememangnya amat dikenali masyarakat.
Mungkinkah DAP meramalkan kerusi berkenaan bakal ditandingi calon UMNO, seperti desakan dibuat UMNO Bahagian Jasin yang mahu MCA berundur dari situ?
Jika dilihat pengumuman calon Barisan Nasional (BN) di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur semalam, MCA diberikan mandat untuk merampas kembali Bemban melalui Datuk Koh Chin Han.
Ini bermakna, undi kira-kira 7,000 pengundi bukan Melayu di Bemban akan terpecah dan situasi sedemikian bukanlah sesuatu yang selamat untuk DAP.
Atau lebih mudah untuk difahami, percaturan DAP di Bemban boleh diibaratkan seperti ‘bunuh diri’.
Perikatan Nasional (PN) pula meletakkan calon Melayu daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Dr. Yadzil Yaakub yang juga Pengarah Pilihan Raya PN Melaka.
Secara kasarnya, PN mempunyai kelebihan berbanding BN dan Pakatan Harapan (PH), mempertaruhkan seorang profesional Melayu untuk meraih undi daripada hampir 11,500 pengundi Melayu di kerusi tersebut.
Dalam pada itu, Fort Pin ketika dihubungi berkata, Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka adalah medan ujian untuk melihat sentimen rakyat, juga ramalan tentang apa yang akan berlaku dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Katanya, meskipun tidak dicalonkan kembali, parti tetap diutamakan dan beliau memberi jaminan akan bekerja keras memastikan PH memenangi semua kerusi di Melaka.
“Saya suka menggalakkan semua penyokong kami untuk mengundi PH pada PRN akan datang.
“Ia akan menentukan sama ada kita akan mempunyai kerajaan berbilang kaum atau satu kaum. Kerajaan yang cekap, akauntabiliti, telus dan bersih akan membawa kemajuan kepada Malaysia,” katanya. – UTUSAN ONLINE










