PETALING JAYA: AEON CO. (M) BHD. (AEON) dan AEON Malaysia meraikan perayaan Deepavali dengan mengadakan program kemasyarakatan bagi membantu golongan yang memerlukan.
Di bawah program tanggungjawab korporat itu, seramai 93 keluarga sekitar Bandar Baru Klang menerima sumbangan berbentuk Kotak AEON Bersamamu mengandungi barang-barang keperluan harian bernilai RM100.
AEON turut menghulurkan sumbangan berjumlah RM10,000 kepada dua pertubuhan iaitu rumah perlindungan kanak-kanak, Rumah Kebajikan SVP Klang dan Persatuan Kuil Sri Subramaniyar Devasthanam.
Penyerahan sumbangan diadakan di AEON Mall Bukit Raja sempena Deepavali `Festival of Light’ kelmarin.
Majlis itu turut dihadiri Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif AEON, Shafie Shamsuddin dan Presiden Yayasan AEON Malaysia, Datin Noryahwati Mohd. Noh.
“Dengan nilai sumbangan berjumlah RM40,000, AEON turut menyumbang Kotak AEON Bersamamu kepada 307 keluarga B40 sekitar Selangor, Pulau Pinang dan Perak. Sumbangan disampaikan melalui enam cawangan AEON,” katanya dalam kenyataan.
Ketua Pegawai Operasi AEON, Sunny Setiawan berkata, AEON sentiasa prihatin akan cabaran yang dilalui sesetengah golongan masyarakat di waktu yang getir ini.
“Program yang dijalankan seiring dengan aspirasi Sayap Bagimu untuk mendorong setiap lapisan masyarakat menyokong di antara satu sama lain dan terbang tinggi bersama dalam membina hari esok yang lebih baik,” katanya. – UTUSAN










