Keganasan rumah tangga ibarat api dalam sekam yang membakar marak dalam diam.
Sekiranya perbuatan jahat itu terus dibiarkan, maka jadilah ia seperti ancaman yang lebih membahayakan. Selain sikap panas baran pasangan dan tekanan hidup, keganasan rumah tangga berpunca daripada masalah penagihan dadah, masalah kewangan, pasangan kahwin muda dan sebagainya.
Minggu ini saya kongsikan kisah Zeera (bukan nama sebenar) yang menjadi mangsa kezaliman suami sendiri selama lebih tiga tahun.
Walaupun episod hitam itu sudah hampir sedekad berlalu, niat Zeera hanya satu, mahu kisahnya jadi iktibar.
Terutamanya kepada para isteri yang menjadi mangsa keganasan rumah tangga supaya lebih berani dan tahu hak mereka.
Akuinya dalam membuat keputusan berkahwin, ia bukanlah boleh dibuat main atau sekadar cinta semata.
Banyak perkara yang perlu difikirkan termasuk mengenali latar belakang keluarga pasangan, keadaan kesihatannya selain tanggungjawab dan ilmu rumah tangga.
Akui Zeera, ramai orang yang mahu tunjukkan perkara yang baik-baik sahaja tentang diri mereka.
Tabiat buruk, penyakit, sikap panas baran semuanya mahu disembunyikan.
Bila semua perkara terbongkar satu demi satu, isterilah yang terpaksa menanggung derita.
Memulakan cerita, Zeera berumahtangga dengan Kamal (bukan nama sebenar) selama tiga tahun dan mempunyai seorang anak.
Kamal seorang yang panas baran. Perkara itu disedari Zeera sejak sebelum mereka berkahwin lagi.
Zeera pernah mahu memutuskan perhubungan, namun Kamal berkali-kali merayu dan tidak mahu mereka berpisah. Kamal turut menabur janji akan mengubah perangai buruknya itu.
Demi menunjukkan rasa cinta dan kasih, akhirnya hubungan yang terjalin sejak lima tahun itu dimeterai menerusi satu majlis pernikahan sederhana tetapi meriah.
Malangnya, selepas berkahwin perangai Kamal masih tidak berubah, malah semakin teruk.
Zeera sering menjadi mangsa kemarahan Kamal yang tidak diketahui puncanya.
Dia juga turut dimalukan dengan kata-kata kesat oleh Kamal, tidak kira tempat walaupun ketika berada di khalayak ramai termasuk di depan saudara mara.
Kelahiran anak sulung pasangan ini pada Jun 2008 diharap mengubah sikap panas baran Kamal. Namun ia hanya mampu bertahan seketika sahaja.
Sikap buruk Kamal berulang sebaik usia anaknya Zura (bukan nama sebenar) mencecah tiga bulan.
Kali ini, Zeera bukan sahaja menjadi mangsa penderaan mental dan emosi bahkan fizikal.
Kamal semakin berani menghayun kaki tangan ke muka dan badan Zeera.
Zeera mendakwa dipukul hampir keseluruhan anggota badan. Ini termasuk di bahagian kepala, tangan, perut dan bibir sehingga meninggalkan kesan luka dan lebam.
Paling mengejutkan, Kamal turut menggunakan objek seperti kayu, besi malah kerusi untuk memukulnya.
Sepanjang tempoh itu Zeera seolah-olah ‘terperangkap’ di rumah sendiri.
Ungkapan ‘rumahku, syurgaku’ bertukar menjadi ‘rumahku, nerakaku’.
Ini kerana tidak wujud lagi kebahagiaan dan ketenangan apabila saban hari dia sering menjadi mangsa insan yang diharap menjadi pelindung kepadanya.
Akui Zeera, walaupun dia boleh meninggalkan rumah dan hidup bersama ibu bapa di kampung, namun perasaan takut yang menyelubungi menjadi penghalang dirinya untuk keluar daripada cengkaman Kamal.
Zeera sangat tertekan ketika itu. Mengenangkan nasib Zura yang ketika itu masih kecil dia cuba bertahan dan bersabar.
Seminggu, sebulan setahun, dua tahun Zeera sanggup bertahan membiarkan tubuh kecilnya disakiti dan mentalnya dihina.
Sehinggalah sampai kemuncaknya, memasuki tahun ketiga Zeera mendapat kekuatan melarikan diri dan melaporkan kes keganasan rumah tangga yang berlaku kepada pihak berwajib.
Dia nekad dengan keputusan itu selepas Kamal terus bertindak memukul dirinya yang ketika itu hamil anak kedua.
Akibat sikap panas baran Kamal yang sukar dikawal itu juga menyebabkan kandungannya berusia 12 minggu itu keguguran.
Kali ini dia tidak berpaling lagi selepas memikirkan keselamatan diri dan anaknya.
Akui Zeera, apalah ertinya kasih sayang jika tidak ada lagi keserasian dan saling memahami antara satu sama lain.
Apa yang ada hanyalah keberanian untuk menyelamatkan diri dan nyawa.
Sebelum mengakhiri perbualan, Zeera sempat menitip pesan kepada wanita senasib agar tidak mudah pasrah dengan menerima apa sahaja perlakuan keganasan oleh pasangan mereka.
Akui Zeera, wanita perlu tegas dan kuat untuk membuat laporan polis agar tindakan seterusnya boleh diambil. Ketepikan perasaan malu pada orang sekeliling.
Sambungnya, tiada siapapun yang dapat membantu termasuk masyarakat, agensi penguatkuasa mahupun undang-undang, melainkan diri sendiri.
Mereka juga perlu sedia untuk dibantu dan berani membuat keputusan menyelamatkan diri.
Kisah Zeera membuktikan, walaupun berstatus suri rumah dia berani untuk bangkit menamatkan penderitaan yang ditanggung.
Memilih untuk dilepaskan, bukanlah satu pengakhiran kepada Zeera.
Sebaliknya ia merupakan satu permulaan untuknya memulakan kehidupan baru tanpa perlu bertahan dengan kesakitan yang sama.
Demi melindungi nyawa sendiri dan anak, dia tiada pilihan lain kecuali berani bersuara dan keluar dari kepompong keganasan yang dicipta oleh insan yang disayangi.
Ingatlah firman Allah yang bermaksud:
Dan di antara tanda-tanda kekuasaannya, dia mencipta untukmu isteri-isteri dari jenis kamu sendiri supaya kamu cenderung dan merasakan tenteram kepadanya dan dijadikannya antara kami rasa kasih sayang dan bertimbang rasa. (al-Rum: 21)










