Negara paling banyak kena bom - Utusan Malaysia

Negara paling banyak kena bom

GURU di Laos kreatif menggunakan bangkai bom sebagai gong gergasi yang berfungsi sebagai loceng menghiasi pintu masuk sekolah. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEBANYAKAN negara ASEAN berkongsi persamaan dari segi perjuangan menentang penjajah asing yang rakus lagi zalim. Puluhan ribu, bahkan jutaan manusia mati demi membebaskan bumi mereka yang tanahnya ditakluk, hasil buminya dirompak dan adat serta agamanya tidak dihormati.

Antara negara yang paling terkesan sehingga ke hari ini ialah Laos yang juga merupakan satu-satunya negara di Asia Tenggara yang tidak mempunyai akses ke laut.

Tahukah anda, Laos atau Republik Demokratik Rakyat Laos merupakan negara paling banyak bom dijatuhkan dalam sejarah dunia? Sebanyak dua juta tan bom tidak meletup (UXO) digugurkan oleh Amerika Syarikat (AS) antara 1964 hingga 1973.

Menurut Legacy Of War (LOW), sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berpusat di AS, kira-kira 30 peratus bom bersaiz bola tenis yang dijatuhkan tidak meletup di 17 wilayah Laos.

Apa yang lebih menyedihkan, bom-bom yang menunggu masa untuk meletup ini terletak di wilayah-wilayah miskin yang menyukarkan rakyat mereka untuk mengusahakan tanah seperti bercucuk tanam dan berladang sekali gus menutup sumber pendapatan dan meningkatkan lagi jumlah kemiskinan tegar di negara tersebut.

Ekonomi Laos terletak pada sumber pertanian dan kira-kira 85 peratus penduduknya bekerja sebagai petani atau peladang.

Fakta lain yang perlu diketahui, sekurang-kurangnya 20,000 orang terbunuh atau tercedara akibat UXO sejak perang tamat. Mereka yang tercedera pula selalunya cacat seumur hidup seperti kehilangan tangan, kaki, buta, hilang pendengaran dan lain-lain. Ramai mangsa terdiri daripada anak-anak muda dan petani. Sebanyak 40 peratus mangsa UXO terdiri daripada kanak-kanak.

Sementara itu, secara keseluruhan, lebih 270 juta bom kluster dijatuhkan AS di Laos sekali gus merekodkannya lebih banyak dibandingkan 210 juta bom yang digugurkan di Iraq pada 1991, 1998 dan 2006.

Sejak 40 tahun lalu, hanya satu peratus UXO berjaya dimusnahkan! Bom-bom ini bersaiz 64 hingga 69 milimeter dengan pelbagai bentuk. Ada yang tersorok dalam tanah dan ada juga yang berada di atas permukaan jalan. Pasti para pembaca tertanya-tanya, bagaimana bom-bom ini dijatuhkan?

Pertama sekali, jet pejuang akan menjatuhkan sebuah bom kluster besar yang di dalamnya terdapat ratusan bom kecil. Sebaik sahaja kluster bom itu melayang di udara, penutupnya secara automatik terbuka dan menjatuhkan kesemua bom bersaiz bola tenis itu ke tanah. Namun, malangnya majoriti yang menjadi mangsa adalah dalam kalangan orang awam.

Bom-bom tersebut dijatuhkan bagi menyekat kemaraan tentera merah yang merentasi sempadan Laos bagi membantu membebaskan saudara-saudara mereka di Vietnam daripada cengkaman penjajah AS dan sekutunya.

Begitulah hakikat kehidupan masyarakat di Laos yang sekalipun peperangan sudah tamat berpuluh tahun lamanya, namun mereka masih takut untuk bergerak secara bebas mencari rezeki. Hampir setiap tahun pasti kedengaran pelbagai berita tentang letupan UXO yang sudah menjadi kebiasaan. Ternyata UXO adalah cabaran utama dalam mengurangkan masalah kemiskinan di Laos.

Program Pembangunan Mampan Laos 18 (SDG 18) meletakkan empat sasaran untuk dicapai pada 2030. Pertama, sifar kematian tahunan akibat UXO. Kedua, mengosongkan kesemua pencemaran oleh UXO di kawasan utama seperti perkampungan.

Ketiga, memenuhi keperluan kesihatan mangsa-mangsa UXO yang dikenal pasti dan keempat, memastikan aktiviti pembersihan saki-baki UXO dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan.

MELETUP
Pada 17 November 2017, Khongthong, 28, seorang pemuda di wilayah Xieng Khouang bangun awal pagi dan menuju ke ladang padinya bagi membakar rumput-rumput yang telah dipotongnya sebelum itu. Kira-kira 20 minit kemudian, pada pukul 6 pagi, rumput-rumput yang sedang dibakarnya itu tiba-tiba meletup.

Abangnya yang mendengar letupan tersebut terus bergegas ke tempat kejadian. Khongthong yang cedera parah segera dihantar ke hospital dan doktor terpaksa memotong ibu jari kirinya dan merawat kecederaan di bahagian dada dan kaki.

Menurut laporan, letupan itu disebabkan UXO. Disebabkan peningkatan mangsa UXO di Laos, maka pada 1997, kerajaan Laos menerusi Kementerian Kesihatan mencapai kata sepakat dengan sekumpulan NGO seperti POWER, World Vision dan Sekolah Prostetik dan Ortotik Kemboja menubuhkan Cooperative Orthotic and Prosthetic Enterprise (COPE) bertujuan memberi khidmat pemulihan fizikal kepada mereka yang kehilangan anggota badan.

COPE berjaya membantu memudahkan urusan ribuan mangsa dengan membekalkan prostetik dan ortotik seperti tangan dan kaki palsu.

Selain itu, Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP) dengan kerjasama kerajaan Laos menjalankan program pembersihan UXO dengan penggunaan alat teknologi moden serta memberi latihan kepada penduduk tempatan untuk menjalankan tugas berbahaya ini.

Sejak 1996, program ini berjaya membersihkan lebih 61,000 hektar tanah dan memusnahkan lebih 1.8 juta unit UXO.

Rakyat Laos begitu kreatif dengan menjadikan bangkai-bangkai bom kluster tersebut sebagai tiang rumah atau stor tempat simpan padi. Mereka juga mengeksport bahagian daripada bangkai bom itu ke negara luar atau mengubah suai besi-besi yang terdapat di dalamnya sebagai alat-alat yang berguna.

AS sedar akan ‘dosa-dosanya’ terhadap Laos dan negara jirannya. Pelbagai bentuk program dan sumbangan dijalankan, namun ia bukanlah dalam skala besar sebaliknya pihak Laos pula yang perlu menggunakan sumber pendapatan sendiri untuk membersihkan tanah-tanah mereka.

Begitulah sikap negara-negara kuasa besar yang bersikap penindas dan rakus.

Saya menyeru kepada para pembaca supaya menjalankan lebih banyak pengkajian berkenaan isu ini supaya kita lebih peka tentang negara-negara jiran dan menyematkan sikap cintakan tanah air sendiri. Buat para aktivis, mulakan langkah anda menuju ke bumi Laos serta jalankan bantuan dan sumbangan bagi meringankan bebanan mereka di sana!

PENULIS ialah pemerhati isu tempatan dan antarabangsa.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×