Kodi Rasheed tidak putus asa - Utusan Malaysia

Kodi Rasheed tidak putus asa

Kodi Rasheed.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Tiada siapa cakap bergelar pelakon itu mudah. Senang melonjakkan nama di arena seni hiburan tempatan.

Pelakon, Kodi Rasheed bukanlah satu nama baharu dalam industri drama dan perfileman. Malah pembabitannya kini sudah enam tahun.

“Alhamdulillah setakat hari ini saya amat berpuas hati. Saya percaya enam tahun yang berbaloi walaupun ada rintangannya.

“Kalau pelakon lain mungkin ada lebih dari 10 tahun baru menyerlah. Tapi kalau saya pada tahun pertama dan kedua berjaya menjulang trofi Pelakon Harapan Lelaki Terbaik dan Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik, usah untuk saya merungut lagi, kerana apa yang saya dapat hari lalu dan mendatang rezeki daripada Allah.

“Dalam perjalanan sebagai pelakon ini juga, banyak perkara yang saya belajar dan kenali ramai orang, sungguh saya tidak menyesal,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Tidak dinafikan sepanjang tempoh itu, Kodi atau nama lengkapnya Mohd Shazmeer Mohd Rasheed, 31, pernah melalui fasa di mana dia ditolak daripada stesen TV hanya gara-gara pengikut di Instagram tidak begitu memikat hati atau pun pihak produser sudah dapat yang lebih sesuai.

Tapi, itu bukanlah satu alasan jejaka manis ini mengundurkan diri dari pentas lakonan.

“Sekarang saya sudah lali dan tidak kejar populariti, kalau kejar, saya sudah buat perkara-perkara pelik. Tetapi itu tidak akan menjamin masa depan saya. Lebih baik saya fokus kualiti daripada kuantiti.

“Lagi pun, penonton sekarang sudah bijak menilai, bukan pandang pengikut. Kalau tengok dalam Twitter, ramai orang bercakap naskhah hari ini berulang (karya sama).

“Bagaimanapun, stesen TV selalu kata itu yang penonton mahukan. Tapi bagi saya itu satu suapan, jadi hendak dan tidak mahu mereka terpaksa tonton,” luahnya.

Tambah Kodi, menerusi pengamatannya sepanjang dua tahun kebelakangan ini, majoriti penonton sudah kurang menonton drama cinta dek kepesatan penstriman digital.

Selektif naskhah untuk kualiti
Apabila berbicara mengenai perkembangan kerjaya seni lakonan. Kodi berterus terang, dia sudah mula selektif dalam pemilihan karya untuk dipersembahkan kepada penonton.

Tidak dinafikan, pemilihan naskhah dan watak perwatakan yang sesuai pasti membuahkan hasil dan membekas di hati sang penonton. Justeru, penonton akan ingat nama dan bakat Kodi.

Selain itu kata Kodi, berbeza semasa di awal pembabitannya seakan-akan mahu menyambar semua lakonan semata-mata untuk dikenali umum.

Tetapi, disebabkan dia juga pernah melalui episod di mana orang ambil kesempatan, hal itu membuatkan dia lebih waspada.

“Kalau saya sudah suka pada sebuah naskhah dan watak, soal bayaran memang jatuh nombor dua.

“Begitu pun, kalau sebelum berurusan tentang bayaran dan sudah ada yang tidak kena, saya mula mengesyaki sesuatu. Bukan sekali dua, banyak kali sudah terkena.

“Jadi pengajarannya, saya akan lebih berhati-hati dan cuba cari jalan penyelesaian dan kesepakatan untuk kedua belah pihak, sama-sama puas hati.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×