PORT DICKSON: Kerajaan disaran memula dan mengukuhkan hubungan dua hala dengan pemerintahan di Afghanistan.
Ketua Dewan Pemuda Pas, Khairil Nizam Khirudin berkata, cadangan itu apabila melihat teknik diplomatik aras tinggi Malaysia yang diyakini mampu menyesuaikan penerimaan komuniti antarabangsa terhadap Afghanistan.
“Pemuda Pas mencadangkan kepada kerajaan untuk memula dan mengukuhkan hubungan dua hala dengan pemerintahan Taliban.
“Ini berasaskan rekod Malaysia yang mempunyai teknik diplomatik aras tinggi dan diyakini mampu menyesuaikan penerimaan komuniti antarabangsa terhadap Afghanistan melalui prinsip tadbir urus yang inklusif dan kesyumulan Islam.
“Konflik berterusan tidak akan menguntungkan sesiapa melainkan segelintir ‘military- industrial-complex’ yang dahagakan darah demi tembolok mereka sahaja. Jika China komunis boleh menghulurkan tangan kepada Afghanistan di bawah Taliban, mengapa tidak kita sebagai saudara seIslam?” soalnya.
Beliau berkata demikian sewaktu berucap dalam Muktamar Tahunan Dewan Pemuda Pas Kali Ke-62 2021 di sini hari ini.
Sebelum ini, Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, Malaysia mengambil pendirian berhati-hati dan sedang meneliti perkembangan terkini di Afghanistan selepas Taliban mengambil alih Kabul pada 15 Ogos lepas.
Katanya, terdapat beberapa pertimbangan atau faktor yang perlu diperhalusi sebelum kerajaan membuat keputusan muktamad berhubung isu pengiktirafan termasuk tahap penerimaan rakyat Afghanistan sendiri terhadap penguasaan dan penubuhan kerajaan oleh Taliban di negara itu.











