Kenali potensi pemasaran media sosial - Utusan Malaysia

Kenali potensi pemasaran media sosial

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Pada era kemajuan teknologi digital hari ini, kebanyakan kita pasti ada memiliki sekurang-kurangnya satu akaun media sosial. Ia menjadi platform menjalin silaturrahim dalam talian bersama saudara dan rakan-rakan mahupun membina jari­ngan kenalan baharu tanpa me­ngira jarak dan lokasi.

Media sosial kini telah menjadi platform orang ramai berkumpul dan berinteraksi secara maya setiap hari sehingga mempengaruhi pelbagai aspek kehidupan. Atas faktor tersebut, ia turut menarik ramai para usahawan dan entiti perniagaan untuk meneroka potensi dalam memperkukuh establishment industri, hubungan pelanggan serta prospek pasaran.

Mengenal pasti platform media sosial yang bersesuaian dengan aspirasi keusahawanan dapat menyokong usaha memperkukuhkan lagi prospek pasaran dan perniagaan. Oleh itu, enam platform ini adalah antara pilihan yang boleh anda manfaatkan di Malaysia.

LinkedIn. Bagi usahawan dan para profesional serta mereka yang komited membina kerjaya, platform LinkedIn menjadi landasan terbaik dalam memperluaskan lagi jaringan profesional. Pada platform ini anda boleh membina perhubungan de­ngan pemimpin industri, pakar serta ahli dalam pelbagai bidang pekerjaan. Ia adalah platform media sosial profesional yang diiktiraf seluruh dunia dan membantu dalam memperkukuh prospek pasaran industri.

Facebook. Penggunaan Facebook juga terus meningkat dan turut menjadi pilihan para peniaga dalam memperkukuh hubu­ngan pelanggan dan pasaran pengguna. Memanfaatkan Facebook peribadi sudah cukup baik untuk memulakan inisia­tif keusahawanan, namun bagi komitmen yang lebih bersasar, kelebihan Facebook Page boleh dijadikan landasan rasmi. Melalui strategi media sosial yang terancang dapat membantu mencapai prospek pasaran yang disasarkan.

YouTube. Platform ini semakin popular dan mendapat liputan meluas dalam pelbagai bidang industri pada masa kini. Antara kelebihan YouTube adalah ciri-ciri kandungan dalam format video yang boleh dipertonton serta dikongsikan di kebanyakan platform digital dalam menyokong pelbagai inisiatif pemasaran. Melalui pengisian blog yang kreatif juga mampu menjadi aset dalam membina kepercayaan pelanggan dan prospek pasaran terus ke hati mereka.

Twitter. Berdasarkan panda­ngan ramai pakar industri, Twitter mempunyai kelebihan dalam menyebarkan maklumat melalui status ringkas sebagai awareness dan reminder dalam mencetus minat prospek terhadap sesuatu kempen dan promosi. Ia juga mempunyai kekuatan dalam menjayakan kempen pemasaran jika dilaksanakan secara terancang dan konsisten.

Instagram. Mempunyai kele­bihan dalam pengeditan imej, Instagram sesuai bagi sebahagian besar perniagaan yang melibatkan kepentingan gambar dan video pendek. Ia mampu membina personal communication melalui perkongsian status bergambar, video pendek, Ig story dan Ig live berkaitan perniagaan, produk atau perkhidmatan da­lam menarik minat pelanggan secara santai dan kreatif.

TikTok. Menawarkan video berdurasi pendek dengan format pengeditan yang unik, TikTok boleh dimanfaatkan sebagai platform promosi melalui penciptaan video pendek yang krea­tiviti dan tersendiri. Video pendek tersebut juga boleh dimuat turun untuk kegunaan pelbagai saluran media sosial dan komunikasi digital yang lain untuk tujuan pemasaran dan promosi.

Justeru itu, manfaatkan potensi media sosial agar tidak tercicir dalam arus persaingan industri dan trend pasaran yang terus berkembang pantas. Setiap platform media sosial ini boleh anda daftar dengan mudah dan percuma, malah jika dikendalikan dengan teknik pemasaran media sosial, ia mampu memberi impak yang besar untuk kebaikan kerjaya serta perniagaan.

Penulis adalah perunding pemasaran bertauliah.  – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×