PUTRAJAYA: Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) menyasarkan RM204 bilion nilai eksport untuk sektor agrikomoditi mampu dicapai sehingga hujung tahun ini.
Menterinya, Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, sasaran itu berdasarkan jumlah semasa yang direkodkan dalam tempoh lapan bulan bagi tahun ini.
Menurutnya, pada tahun lalu, sektor agrikomoditi telah menjana pendapatan eksport negara sebanyak RM152 bilion.
“Sehingga Ogos 2021 sahaja, nilai eksport untuk sektor agrikomoditi telah pun mencapai RM137.4 bilion.
“Jadi, bagi tahun ini kementerian menyasarkan nilai eksport bagi sektor agrikomoditi adalah RM204 billion,” katanya pada majlis perasmian Keluarga Malaysia: Minggu Agrikomoditi 2021 di Putrajaya, semalam.
Beliau berkata, di bawah subsektor sawit, nilai eksport sawit telah menyumbang sebanyak RM72.8 billion kepada negara pada 2020 dan sehingga Ogos 2021 sahaja, subsektor ini telah mencatatkan sebanyak RM63.7 billion.
Katanya lagi, bagi industri perkayuan dan perabot, daerah Muar telah diisytiharkan sebagai Bandar Perabot Malaysia yang menjadi lokasi kepada 700 syarikat pengusaha perabot.
“Usahawan perabot ini telah mempunyai rantaian kilang yang besar dan nilai eksport perabot dari Muar sahaja adalah hampir RM7 billion setahun.
“Begitu juga industri koko yang telah menyumbang sebanyak RM6.2 billion kepada pendapatan eksport negara pada 2020 dan sehingga Ogos 2021 sahaja pendapatan eksport koko telah pun mencecah RM4.5 billion,” jelasnya.
Zuraida berkata, ramai yang menganggap pekerjaan di sektor agrikomoditi terutamanya di sektor perladangan sebagai pekerjaan 3D (Dirty, Difficult & Dangerous).
Tambahnya lagi, namun hakikatnya sektor itu berupaya untuk menjana pendapatan yang lumayan dan juga berpotensi untuk terus berkembang.
“Ketika kita semua berdepan dengan pandemik Covid-19, sektor agrikomoditi terus menjadi penyumbang ke-2 terbesar kepada pendapatan eksport negara,” ujarnya. – UTUSAN









