TANGGAL 1 September 2020 mungkin hanya peralihan dari bulan ke bulan seterusnya bagi kebanyakan orang. Namun tidak kepada seorang Penolong Penguatkuasa Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), Shazrin Hafeez Fadzlan.
Pada tarikh itu, dia sedang melakukan tugas hakikinya, memeriksa petak tempat letak kenderaan berkupon di bawah kawasan pentadbiran MBJB sebelum terdengar jeritan meminta tolong dari seorang wanita.
Mungkin tidak semua daripada kita mampu membuat keputusan dan tindakan pantas ketika berhadapan dengan situasi mencemaskan seperti itu tetapi Shazrin Hafeez bingkas ‘beraksi’ sehingga berjaya menumpaskan seorang peragut.

Tindakan pantas Shazrin Hafeez ketika dia berdepan dengan seorang lelaki itu secara tidak langsung berjaya menyelamatkan mangsa daripada mengalami kerugian.
Mengimbau semula peristiwa yang sudah setahun berlalu, ujar anak jati kelahiran Johor Bahru itu, tindakan tersebut turut terhasil daripada ilmu pertahanan diri yang dipelajari sejak bangku sekolah lagi.
“Saya tidak fikir langsung apa akan terjadi, saya tidak kisah asalkan pada waktu itu dapat tangkap peragut. Saya terdengar jeritan minta tolong seorang wanita dan pada masa sama, ternampak peragut terjatuh dari motosikal selepas meragut wanita terbabit.
“Sebenarnya saya tidak melakukan flying kick seperti kelihatan dalam video tular itu. Sebaliknya, saya terus berlari ke arah peragut dan terus terkam sehingga kami terjatuh bagi mengunci pergerakannya,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Tubuh kecil tetapi perkasa
Ramai warganet yang melihat aksi Shazrin Hafeez, 27 yang dirakam melalui kamera litar tertutup (CCTV) di sebuah premis perniagaan berdekatan memuji tindakan beraninya walaupun hanya bertubuh kecil.
Tindakan spontannya itu bukan secara semberono kerana dia adalah pemegang tali pinggang hitam dalam seni pertahanan diri Taekwondo.
“Saya mula belajar taekwondo ketika di sekolah rendah sehingga berjaya memiliki tali pinggang hitam sewaktu berada di sekolah menengah.
“Tidak dinafikan tindakan spontan yang dibuat selepas melihat jenayah ragut itu turut didorong dan dibantu dengan kemahiran yang dipelajari dalam Taekwondo.
“Ia secara tidak langsung meningkatkan keyakinan diri, bukan sahaja dalam situasi seperti itu, tetapi juga dalam urusan harian lain,” katanya.

Tambah Shazrin Hafeez, dia turut menasihati orang ramai khususnya generasi muda untuk mempelajari seni pertahanan diri.
“Seni pertahanan diri ini bukan dipelajari bertujuan untuk terlibat dalam pergaduhan, tetapi lebih kepada persediaan menghadapi apa-apa masalah.
“Selain itu, ia juga melatih diri untuk menjadi seorang individu yang lebih sihat dan berdisiplin,” katanya sambil memberitahu tindakannya itu dibuat atas dasar keprihatinan kepada masyarakat.
Menurutnya lagi, kanak-kanak khususnya boleh mempelajari pelbagai jenis cabang seni pertahanan diri tanpa mengira perbezaan latar belakang mereka.
Rezeki mencurah
Selepas ‘diangkat’ masyarakat sebagai hero apabila rakaman video tindakan pantasnya tular di media sosial, dia turut diberikan anugerah khas oleh MBJB yang disampaikan sendiri Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad dalam satu majlis beberapa hari kemudian.
Selain menerima sijil penghargaan, Shazrin Hafeez turut menerima wang tunai RM1,000 dan tawaran jawatan tetap sebagai Pembantu Kesihatan Awam di pihak berkuasa tempatan (PBT) itu.
Kerja sambilan yang dilakukannya sebagai penjual burger bagi menambah pendapatan ketika itu turut menerima tempias apabila gerainya diserbu orang ramai.
Menurutnya, perniagaan yang diusahakan di Taman Johor Jaya itu bermula pukul 7 malam hingga 11.30 malam setiap hari.
“Sebelum kejadian, secara purata sehari saya menjual sekitar 60 hingga 70 biji burger, namun sehari selepas video berkenaan tular, gerai kami terus diserbu orang ramai selepas mereka mengetahui saya turut meniaga burger pada sebelah malam.
“Malah selepas kejadian tersebut juga dianggarkan lebih daripada 200 biji burger terjual dalam sehari,” ujarnya yang turut mengucapkan terima kasih kepada masyarakat kerana menghargai tindakannya itu.
Bagaimana menurutnya Shazrin Hafeez, dia kini tidak lagi mengendalikan gerai burger tersebut bagi memberi tumpuan sepenuhnya kepada kerjaya hakikinya dengan MBJB.
Menurutnya, dia sangat bersyukur dengan kejadian tersebut yang mana ia telah merubah kehidupannya ke arah lebih baik apabila mendapat tawaran sebagai kakitangan tetap MBJB.
“Saya lihat perkara yang berlaku itu telah ditakdirkan Allah SWT dan saya sangat bersyukur dengan tawaran pekerjaan dan maklum balas positif daripada masyarakat berhubung perkara itu,” jelasnya.








