Kasih Nabi SAW kepada umat - Utusan Malaysia

Kasih Nabi SAW kepada umat

KASIH Nabi Muhammad SAW kepada umatnya adalah tiada tara dan salah satu buktinya adalah baginda memohon doa agar diberikan syafaat kepada kita di akhirat kelak.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Bulan Rabiulawal belum berakhir dan umat Islam masih membincangkan dalam ceramah dan forum tentang kelebihan Nabi SAW, hikmah dakwah, uswah hasanah dan sunnah yang ditinggalkan.

Seperkara yang patut dibincangkan adalah berkaitan sayang nabi kepada umatnya. Ini terbukti melalui beberapa gambaran dalam sirah nabi dan sabda Baginda SAW.

Pengkaji ilmu sirah merekodkan tidak terdapat mana-mana keterangan daripada seorang Nabi yang terdahulu amat menjaga umat atau kasih dan sayang kepada umat mereka sebagaimana Nabi Muhammad SAW kasih kepada umatnya.

Benarlah firman Allah SWT: Sesungguhnya telah datang kepada kamu seorang Rasul daripada kalangan kamu sendiri. Baginda sangat prihatin terhadap segala kesusahan yang kamu tanggung dan dia begitu inginkan kebaikan terhadap kamu, serta Baginda amat sayang juga kasih kepada orang yang beriman. (al-Taubah: 128)

Dr. Wahbah al-Zuhaili menyatakan maksud “prihatin terhadap segala kesusahan yang kamu tanggung” ialah nabi prihatin terhadap perkara kesusahan yang kamu hadapi di dunia dan akhirat.

Baginda merasai kepedihan yang kamu hadapi dan gembira dengan kegembiraan yang kamu perolehi.

Maksud “inginkan kebaikan terhadap kamu” pula ialah baginda amat mahukan kamu miliki hidayah hingga sampai kepada kamu kebaikan di dunia dan akhirat.

Tafsir al-Sa’di pula menjelaskan, baginda amat menyayangi umatnya melebihi sayang ibu bapa kepada mereka. Justeru kasih kepada nabi mesti didahulukan daripada mengasihi segala makhluk.

Wajib kepada umat beriman kepadanya, memuliakanya dan memberi hak kasih sayang kepadanya.”

Pengkaji sirah Nabi SAW mendapati beberapa gambaran dan contoh menunjukkan Nabi SAW amat mengasihi umatnya.

Pertama: Nabi selalu berdoa kepada umatnya. Aisyah r.ha berkata: Satu Ketika aku melihat Nabi SAW berada dalam keadaan yang baik situasinya lantas aku berkata: Wahai Rasulullah, doakanlah untukku.

Rasulullah berdoa: Ya Allah ampunilah Aisyah segala dosanya yang terdahulu dan dosanya yang kemudian, dosanya yang tersembunyi dan dosanya yang terang.

Mendengarkan doa nabi, Asiyah r.ha ketawa sehingga kepalanya jatuh ke ribanya. Nabi SAW bersabda: “Adakah kamu gembira dengan doaku ini?” Aisyah r.ha menjawab: “Kenapakah aku tidak suka kepada doa mu ya Rasulullah?” Rasulullah SAW bersabda: “Demi Allah sesungguhnya itulah doa ku untuk umatku yang aku baca setiap kali solat.” (Riwayat Ibn Hibban).

Kedua: Allah SWT mengurniakan setiap nabi dengan satu doa yang mustajab. Semua nabi memohon doa tersebut di dunia. Sebaliknya, Nabi SAW mahukan anugerah doa tersebut untuk umatnya di akhirat nanti yang akan mendapat syafaat.

Abu Hurairah r.a meriwayatkan hadis yang masyhur dalam hal syafaat.

Sabda Nabi: “Wahai Muhammad, angkatlah kepada mu, mintalah nescaya akan diberi, mintalah syafaat nescaya akan diberi syafaat. Lalu aku berkata “Umat ku wahai Tuhan-ku, umat ku wahai Tuhan-ku.” Lalu dikata: “Wahai Muhammad, masukkanlah ke syurga di kalangan umat mu mereka yang tidak dihisab melalui pintu kanan dari pintu syurga.. (Riwayat al-Bukhari)

Abu Hurairah r.a meriwayatkan hadis Nabi SAW: Setiap nabi mempunyai doa yang mustajab dan mereka telah berdoa dengan doa tersebut. Sesungguhnya aku simpan doa ku untuk syafaat umat ku pada hari akhirat. Doa tersebut akan dapat dicapai dengan izin Allah kepada sesiapa yang meninggal dunia di kalangan umat ku yang tidak syirik kepada Allah dengan sesuatu.” (Riwayat Muslim)

Ketiga: Rasulullah SAW menolak kemudaratan atau kesusahan kepada umatnya. Baginda amat mementingkan amalan yang dilakukan agar tidak memberatkan umatnya.

Terkadang baginda meninggalkan amalan iaitu kelebihan atau fadhail sedangkan baginda amat suka lakukan hanya kerana takut dijadikan kefarduaan sekali gus akan memberatkan umatnya.

Sebagai contoh dalam perkara siwak (bersugi) sebelum solat. Sabda Nabi SAW: Kalaulah tidak memberatkan umat ku nescaya aku menyuruh mereka melakukan siwak setiap kali solat dan nescaya aku aku melewatkan solat Isyak di sepertiga akhir malam. (Riwayat Tirmizi)

Keempat: Dalam bacaan al-Quran, Nabi SAW meminta kepada Allah agar diberi keringanan untuk umatnya membaca al-Quran dengan banyak wajah (cara) kerana mereka terdiri dari pelbagai kaum, bangsa dan lidah pertuturan agar mereka dapat membaca al-Quran.

Sabda Nabi SAW ketika mana Jibril berkata kepadanya: “Sesungguhnya Allah mengarahkan kamu agar kamu membaca Quran kepada umat kamu dengan satu wajah bacaan (huruf).”

Sabda Nabi SAW: “Aku mohon kepada Allah kesejahteraan dan keampunan, sesungguhnya umatku tidak mampu demikian.” Kemudian Jibril datang kali kedua dan berkata: “Sesungguhnya Allah mengarahkan kamu agar kamu membaca al-Quran kepada umat kamu dengan dua wajah bacaan (dua huruf).”

Sabda Nabi SAW: “Aku mohon kepada Allah kesejahteraan dan keampunan, sesungguhnya umatku tidak mampu demikian.” Kemudian Jibril datang kali ketiga dan berkata: “Sesungguhnya Allah mengarahkan kamu agar kamu membaca al-Quran kepada umat kamu dengan tiga wajah bacaan (tiga huruf).”

Sabda nabi SAW: “Aku mohon kepada Allah kesejahteraan dan keampunan, sesungguhnya umatku tidak mampu demikian.” Kemudian Jibril datang kali keempat dan berkata: “Sesungguhnya Allah mengarahkan kamu agar kamu membaca Quran kepada umat kamu dengan tujuh wajah bacaan (tujuh huruf). Mana-mana wajah yang mereka baca maka bacaan mereka betul.” (Riwayat Muslim)

Ulama berbeza pendapat tentang makna tujuh huruf dalam hadis di atas. Sheikh Abdul Fattah al-Qadhi memilih pendapat Imam Abu al-Fadl al-Razi iaitu tujuh huruf ialah:

1. Perbezaan kata nama sama ada mufrad, muthanna atau jama’,

2. Perbezaan kata kerja sama ada madi, mudhari atau amr,

3. Perbezaan wajah ‘irab seperti marfu’ dan mansub,

4. Perbezaan dari sudut ithbat dan hazf,

5. Perbezaan taqdim dan takhir,

6. Perbezaan Ibdal iaitu menggantikan huruf dengan huruf yang lain,

7. Perbezaan pada lahjah seperti fath, imalah, idgham, izhar dan lain-lain.

Kelima: Nabi SAW rindu untuk melihat umat Islam yang beriman selepas zamannya. Anas Ibn Malik r.a meriwayatkan satu hadis bahawa Nabi SAW bersabda: “Aku merindui untuk berjumpa dengan saudara-saudaraku”. Para sahabat berkata: “Tidakkah kami adalah saudara-saudara kamu?” Sabda Nabi: “Kamu adalah sahabat ku. Saudara-saudaraku ialah mereka yang beriman dengan ku tetapi tidak melihat ku.” (Musnad Ahmad)

Sayang dan kasih Nabi SAW kepada umatnya adalah lebih banyak daripada kasih umat kepada Nabi SAW kerana sabda Nabi SAW yang amat masyhur pada hari kiamat ialah “umat ku, umat ku.”

  • PM Dr Khairul Anuar Mohamad, Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah, USIM
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×